Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 August, 2009

76 anggota RELA S.A dan L.A dilantik jadi renjer hutan


Caption: UNTUK ALBUM...Anggota HWLR dari Sri Aman dan Lubok Antu bergambar kenangan bersama Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji sebaik sahaja selesai majlis tersebut.

SRI AMAN, Jumaat (14 Ogos) – Seramai 76 anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Sri Aman dan Lubok Antu menerima sijil perlantikkan Renjer Hidupan Liar Kehormat (HWLR) menerusi majlis yang berlangsung di sebuah terkemuka di Kuching kelmarin.

Kesemua mereka menerima sijil perlantikkan HWLR terbabit daripada Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang sambil disaksikan oleh Pengerusi Perbadanan Forestry Sarawak Sdn Bhd, Datu Dr Haju Yusof Hanifah, Datuk Bandar MBKS, James Chan dan Ketua Warden Hidupan Liar, Wilfred Stephen Landong.

Para relawan dan relawati yang menerima sijil perlantikkan dalam HWLR terbabit pernah menjalani Program Renjer Kehidupan Liar Kehormat di Dewan Suarah Sri Aman bermula bulan November tahun lepas.

“Perlantikkan relawan dan relawati dari Sri Aman dan Lubok Antu sebagai HWLR pada majlis itu secara tidak langsung boleh menyumbang ke arah langkah pemuliharaan biodiversiti di daerah ini (Sri Aman).

“Kami, relawan dan relawati dari Sri Aman dan Lubok Antu akan melaksanakan tugas melindungi hidupan liar di kawasan ini dengan sebaik yang boleh sebagai usaha menyokong langkah kerajaan bagi tujuan terbabit,” menurut seorang anggota RELA Sri Aman yang dilantik menjadi HWLR iaitu Zulia Haji Jemat.

Beliau juga berpendapat bahawa langkah pemuliharaan biodiversiti di negeri ini perlu mendapat sokongan padu daripada semua pihak tanpa mengira usia mahupun latar belakang etnik individu berkenaan.

“Justeru perlantikkan RELA sebagai HWLR dianggap amat baik demi memberi kesedaran kepada kami (anggota RELA Sri Aman dan Lubok Antu) akan betapa penting melindungi hidupan liar di kawasan ini,” katanya.

Terdahulu Jabu ketika bercakap kepada media menyeru orang ramai agar menyokong program HWLR sebagai kekuatan dan sokongan kepada usaha kerajaan dalam melindungi hidupan liar di negeri ini.

Kesemua mereka yang dilantik menurut beliau perlu menjalani proses pemilihan yang ketat serta terperinci bagi memastikan kesemua ahli boleh dipercayai sebagai barisan hadapan dalam melindungi hidupan liar.

Tamat.

No comments:

Post a Comment