Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 August, 2009

Daftar tanah NCR milik OKU, nasihat Mong


Caption: PRIHATIN...Mong (tengah) bersama ketua jabatan dan ketua kaum bergambar kenangan bersama penerima kerusi roda pada majlis itu semalam.

fact n Pix : Whelton Lumpoi, JASA Parlimen P.202 Sri Aman (http://www.temuai.blogspot.com)


SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) – Ketua Kaum harus ‘turun padang’ untuk mendaftarkan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) milik golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di agensi kerajaan yang berkaitan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata tindakan ini amat penting bagi mengelakkan tanah NCR milik golongan OKU ditipu oleh golongan pemaju tanah yang tidak bertanggungjawab.

“Ketua kaum itu juga harus membantu golongan OKU yang ingin memajukan tanah NCR masing-masing dengan syarikat pemaju luar dengan merujuk permohonan mereka di agensi kerajaan berkaitan terlebih dahulu.

“Lagipun dengan memperkuatkan lagi kepentingan tanah NCR golongan berkenaan, ketua kaum juga harus bertindak memastikan golongan ini mengikut prosedur kerajaan jikalau mereka melibatkan diri dalam projek skim tanaman komersial tertentu,” menurut beliau.
Beliau berkata demikan ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman bertempat di Rumah Gading, Rumah Panjang Ran, Sri Aman semalam.

Selain itu golongan OKU menurut Mong juga digalak untuk mendaftarkan diri dalam Pertubuhan Orang Cacat Sarawak.

Tindakan mendaftarkan diri dalam Pertubuhan Orang Cacat Sarawak menurut beliau amat penting bagi memastikan kebajikan golongan terbabit terus terpelihara dari masa ke semasa.

“Golongan OKU di Sarawak terutamanya dalam daerah Sri Aman perlu mengambil peluang ini memandangkan Pertubuhan Orang Cacat Sarawak menyediakan banyak kemudahan atau bantuan untuk golongan tersebut.

“Justeru mereka (OKU) yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi Presiden Pertubuhan Orang Cacat Sarawak iaitu Jatan Kidu menerusi talian 082-255244 bagi tujuan pendaftaran dan pertanyaan lanjut,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Tadbir Sarawak (SAO), Thomas Geoffery Kendawang, SAO Douglas Amut, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Sherit, Pegawai Penerangan JASA Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, para wakil ketua jabatan dan ketua kaum dalam daerah ini.Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan berjumlah RM4,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rumah Gading manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang tersebut.


Selain itu juga, beliau turut menyampaikan dua buah kerusi roda kepada dua orang penduduk rumah panjang terbabit iaitu kepada Maka anak Atit dan Sima anak Jayan.
Tamat...


Apa kata penduduk tentang Merdeka?




Mugshot:

1. EDWIN....Muafakat

2. SHUKOR...Bersyukur

SRI AMAN, Sabtu (29 Ogos) - Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-52 yang bakal diraikan secara besar-besaran oleh kesemua penduduk di seluruh negara pada 31 Ogos ini bakal menandakan bermulanya era baru dalam menuju zaman kegemilangan bersempena dengan Wawasan 2020.

Sehubungan itu, sambutan Hari Kebangsaan Malaysia Ke-52 telah memberikan satu kesedaran yang menuntut agar satu bentuk kerjasama lebih erat di antara kerajaan dan golongan penduduk tempatan dibentuk bagi merealisasikan impian untuk mempertingkatkan proses pembangunan negeri.

Tinjauan Utusan Sarawak di sini hari ini mendapati bahawa rata-rata golongan penduduk tempatan menyokong perlu wujudnya satu bentuk jalinan kerjasama yang cukup erat di antara mereka dan kerajaan bagi memastikan setiap projek pembangunan yang dilaksanakan berjalan dengan lancar.

Seorang penjawat awam iaitu Edwin anak Ancheh berpendapat bahawa semua penduduk tempatan di negeri ini harus ikhlas menghulurkan kerjasama mereka terhadap pelbagai projek pembangunan yang kini sedang giat dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri merangkumi aspek ekonomi dan sosial.

“Kerajaan melakukan yang terbaik untuk memajukan taraf hidup penduduk di negeri ini seperti melaksanakan projek perindustrian, pertanian serta pembangunan sosial dan saya lihat tidak ada sebab untuk rakyat tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan dalam merealisasikan kejayaan ini,” katanya.

Katanya, sekiranya penduduk tidak memberikan kerjasama kepada kerajaan sebaliknya menentang segala usaha pembangunan di negeri ini nescaya Sarawak tidak akan dapat mencapai impian sebagai salah sebuah negeri yang maju dalam Malaysia menjelang Wawasan 2020.

Shukor bin Saidi, dari Kampung Hulu golongan penduduk tempatan hari ini harus berasa bersyukur kerana menikmati pelbagai hasil pembangunan hasil usaha gigih selama 52 tahun kerajaan negeri memajukan negeri ini daripada tahap mundur ke tahap kemajuan yang lebih baik.

Jelasnya, kepelbagaian projek pembangunan yang dilaksanakan secara seimbang merangkumi kawasan dalam dan luar bandar oleh pihak kerajaan negeri sejak sekian lama telah membolehkan penduduk tempatan mengecapi hasil limpahan kemajuan seperti mana yang diidamkan oleh golongan penduduk.

“Pada zaman dahulu, taraf kehidupan penduduk di negeri ini amat mundur di mana kita mengalami kekurangan kemudahan infrastruktur merangkumi pendidikan, perhubungan dan sebagainya tetapi tidak bagi zaman sekarang. Semuanya sudah berubah maju dan kita harus berterima kasih kepada kerajaan ke atas semua ini,” katanya.

Justeru beliau berharap agar pihak kerajaan negeri yang memimpin pada masa sekarang terus berusaha membangunkan negeri ini melalui perlaksanaan pelbagai projek pembangunan dengan kerjasama penduduk tempatan bagi memastikan sarawak maju menjelang tahun 2020.

Tamat.





Simoi tertarik lihat juadah Bazar Ramadhan


TERTARIK...Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri (kanan) kelihatan sedang tertarik melihat juadah kuih-muih sambil beramah mesra dengan seorang peniaga Program Bazaar Ramadhan 2009 di Jalan Main Bazaar, bandar Sri Aman baru-baru ini. Program Bazaar Ramadhan 2009 edisi ke-3 yang telah dirasmikan oleh Simoi pada 27 Ogos lalu melibatkan penyertaan sejumlah 80 orang peniaga dari bandar ini. Program ini yang menelan kos penganjuran sebanyak RM40,000 bakal berakhir pada 21 September semenjak ia berlangsung pada 22 Ogos lalu. - 29 Ogos

Sedia hadapi perubahan - Shamshuddin

Caption: TINJAU...Shamshuddin (tengah) bersama Rabaie (kiri) ketika sedang mengiringi Simoi (kanan) untuk memantau aktiviti niaga di Bazaar Ramadhan petang kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (28 Ogos) – Bandar Sri Aman bakal mengalami perubahan besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan terbinanya Stesen Pemerhatian Benak dan Tebingan Sungai Sri Aman ini nanti.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji berkata Stesen Pemerhatian Benak yang menelan kos pembinaan sebanyak RM5.1 juta sebelum ini akan siap penghujung bulan September nanti manakala Tebingan Sungai Sri Aman (Fasa I) pula sudah pun mula digunakan pada masa sekarang.

“Bandar Sri Aman akan menjadi pusat penganjuran beberapa aktiviti pelancongan yang utama dengan terbinanya Stesen Pemerhatian Benak dan Tebingan Sungai Sri Aman dalam bandar ini.

“Justeru penduduk di sini terutamanya golongan peniaga kecil perlu bersiap sedia untuk menghadapi perubahan yang bakal berlaku dalam bandar ini terutama sekali dari segi penyampaian khidmat mereka terhadap pelancong luar di masa akan datang,” menurut beliau.

Shamshuddin berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bazaar Ramadhan 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman di situ semalam.

Selain itu beliau juga mengalakkan penduduk tempatan termasuk peniaga kecil untuk mencari peluang mempertingkat taraf ekonomi keluarga masing-masing apabila bandar ini menjadi pusat pelancongan utama selepas ini.

“Bagaimanapun harapan saya ialah semua penduduk berbilang kaum dalam bandar ini memberikan sepenuh kerjasama dalam penganjuran pelbagai program termasuk pelancongan di masa akan datang.

“Mereka terutamanya sekali peniaga kecil harus bersedia sekarang untuk melangkah setapak ke hadapan apabila bandar kita (Sri Aman) mengalami transformasi pembangunan seperti yang saya sebutkan sebelum ini,” menurut beliau.

Aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang menelan kos penganjuran sebanyak RM40,000 itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Hadir sama ialah Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Abang Rabaie Abang Muhi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Tamat.



RTM agih 1,000 bubur kepada penduduk

Caption: BERAMAL...Abang Sulaiman (kiri) sedang menyampaikan Bubur Lambok kepada seorang penerima (kanan) ketika berlangsungnya majlis itu semalam.

Fact n Photo: ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Jumaat (28 Ogos) – Sejumlah 1,000 bungkusan Bubur Lambok diagihkan kepada penduduk dalam bandar Sri Aman menerusi Program Pengagihan Bubur Lambok Secara Percuma bertempat di perkarangan Surau RTM Sri Aman petang kelmarin.

Majlis pengagihan Bubur Lambok hasil anjuran Majlis Musyawarah RTM Sri Aman ini telah diagihkan oleh pengawal penyiaran stesen berkenaan iaitu Abang Sulaiman Abang Joh bermula jam 3.15 petang.

Beliau ketika ditemui semalam berkata program ini adalah merupakan salah satu usaha kerajaan untuk menghubungkan orang awam dengan jabatan kerajaan di sekitar daerah Sri Aman disamping memeriahkan lagi suasana sambutan Bulan Ramadhan.

“Selain usaha untuk merapatkan lagi hubungan di antara orang awam dan jabatan kerajaan, program ini juga dikenalpasti sebagai satu peluang bagi pihak kita untuk membuat amal kebajikan ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan di Sri Aman.

Selain itu katanya Program Pengagihan Bubur Lambok secara percuma ini juga adalah merupakan tanda penghargaan daripada pihak mereka terhadap para pendengar setia RTM Sri Aman selama ini.

Malahan program ini juga menurut beliau menjadi satu peluang bagi pihak mereka untuk membuat amal kebajikan terhadap penduduk sekitar bandar ini ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan di Sri Aman.

“Lagipun sambutan yang diberikan oleh penduduk sekitar bandar Sri Aman terhadap Program Pengagihan Bubur Lambok hari ini cukup memberansangkan apabila mereka mula membanjiri kawasan Surau RTM seawal jam 3 petang,” katanya.

Justeru Sulaiman berharap agar pihaknya dapat mengadakan semula Program Pengagihan Bubur Lambok ini menjelang sambutan Bulan Ramadhan pada tahun akan datang.

Tamat.


Bazaar Ramadhan- langkah praktikal untuk peniaga kata Rabaie

SRI AMAN, Jumaat (28 Ogos) – Penganjuran Bazaar Ramadan 2009 di Sri Aman dilihat sebagai langkah praktikal untuk mengalakkan minat suka berniaga dikalangan penduduk tempatan dalam bandar ini.

Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat Sarawak, Abang Rabaie bin Abang Muhi berkata Bazaar Ramadan 2009 anjuran KEMAS dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman ini mampu menjadi platform untuk penduduk mencuba bakat niaga masing-masing.

“Penganjuran Bazaar Ramadhan berkenaan adalah salah satu cara pihak KEMAS untuk mendidik para peniaga kecil disini untuk menonjolkan segala produk keluaran mereka kepada pelanggan dalam bandar ini.

"Dari aktiviti Bazaar Ramadhan ini pihak kita boleh melihat bahawa para peniaga berpeluang untuk memajukan rangkaian niaga masing-masing berbanding ketika mereka berniaga di kampung sebelum ini,” menurut beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Bazaar Ramadhan 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman di situ semalam.

Selain itu penganjuran Bazaar Ramadhan ini menurut Rabaie juga turut memberi peluang kepada penduduk berbilang kaum dalam bandar ini mengenali pelbagai produk keluaran tempatan dengan lebih dekat.

“Pelanggan menerusi Bazaar Ramadhan ini boleh mendapatkan pelbagai jenis produk makanan tradisional termasuk lain-lain produk kraftangan yang ditawarkan oleh peniaga dalam bazaar itu.

“Produk makanan tradisional atau kraftangan amat jarang ditemui pada hari biasa. Justeru saya berharap agar orang ramai dalam bandar ini tidak melepaskan peluang masing-masing untuk mengunjungi aktiviti Bazaar Ramadhan sehingga 21 September kelak,” katanya.

Aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang menelan kos penganjuran sebanyak RM40,000 itu telah dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Tamat...

Mong kesal didakwa rampas tanah rakyat

Mugshot: MONG ANAK DAGANG

SRI AMAN, Jumaat (28 Ogos) - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong Dagang melahirkan perasaan kesal terhadap sesetengah pihak yang mendakwa bahawa beliau merampas dan menjual tanah penduduk di kawasan pentadbirannya sebelum ini.

Penduduk di kawasan DUN Bukit Begunan menurut beliau tidak seharusnya percaya seratus peratus terhadap dakwaan seumpama itu memandangkan ia adalah merupakan taktik pembangkang untuk mengelirukan pemikiran penduduk itu sendiri.

“Semua ini tidak benar sama sekali. Kerajaan sebelum ini hanya mengambil tanah penduduk bagi tujuan pembangunan...ia pun hanya setelah melalui prosedur tertentu seperti pembayaran pampasan kepada pemilik tanah terbabit,” menurut beliau.

Mong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak Bahagian Sri Aman bertempat di Rumah Gading, Rumah Panjang Ran, Sri Aman hari ini.

Menurut beliau kerajaan terlebih dahulu meminta izin pemilik tanah itu sendiri sebelum membayar pampasan dan mengambilalih tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan yang boleh mendatangkan untung terhadap penduduk dalam kawasan terbabit.

“Penduduk di kawasan saya harus tahu bahawa kerajaan amat memerlukan tanah bagi tujuan pembangunan yang semua pihak ketahui selama ini hanya boleh dilaksana atas tanah dan bukannya atas langit.

“Tanah milik penduduk yang sudah diambilalih ini akan dimajukan dengan pelbagai jenis projek termasuk penanaman komersial seperti sawit, penyediaan kemudahan infrastruktur, kemudahan perhubungan dan sebagainya,”menurut Mong.

Justeru katanya adalah amat penting untuk penduduk khususnya dalam kawasan beliau sendiri untuk memahami sesuatu isu itu sedalam-dalamnya sebelum bertindak membenci wakil rakyat sendiri.

Mong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan berjumlah RM4,000 kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Rumah Gading manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang tersebut.

Selain itu juga, beliau turut menyampaikan dua buah kerusi roda kepada dua orang penduduk rumah panjang terbabit iaitu kepada Maka anak Atit dan Sima anak Jayan.
Tamat...

27 August, 2009

Bazaar Ramadhan tonjol potensi peniaga kata Simoi




Caption: RASMI...Simoi (tengah) sedang menyempurnakan majlis dengan memotong reben sambil disaksikan oleh Shamshuddin (kanan) dan Rabaie (kiri) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Khamis (27 Ogos) – Potensi niaga penduduk mampu ditonjolkan menerusi penganjuran aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang berlangsung di Jalan Main Bazaar, Sri Aman semenjak 20 Ogos lalu.

Ini kerana penganjuran aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 ini telah memberi peluang kepada penduduk dalam bandar Sri Aman untuk memulakan aktiviti niaga berskala kecil sebelum mereka berpengalaman sepenuhnya untuk memulakan aktiviti niaga pada skala besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri berkata demikian ketika berucap merasmikan Bazaar Ramadhan 2009 anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dengan kerjasama Pejabat Residen Sri Aman di situ hari ini.

“Penduduk bandar Sri Aman harus memanfaatkan peluang ini sepenuhnya dengan melaksanakan aktiviti niaga bagi menjana sumber pendapatan tambahan keluarga masing-masing.

“Ia sesuai dengan hasrat kerajaan kita untuk melihat penduduknya yang mampu berdikari, berdaya saing dan seterusnya mempertingkatkan kualiti hidup masing-masing,” katanya.

Beliau menerusi ucapannnya pada majlis itu juga mahu semua peniaga Bazaar Ramadhan ini untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada setiap pelanggan yang berkunjung ke gerai mereka.

Malahan Simoi juga mahu setiap peniaga di situ untuk mengamalkan sikap mesra pelanggan bagi memberi gambaran baik terhadap penganjuran Bazaar Ramadhan ini di tahun akan datang.

“Impaknya cukup besar walaupun aktiviti niaga di Bazaar Ramadhan berlangsung pada skala kecil. Apa yang kita mahukan adalah penyatuan semua penduduk berbilang kaum dalam bandar ini menerusi aktiviti terbabit.

“Justeru saya berharap agar para peniaga Bazaar Ramadhan dapat menimba pengalaman baru dalam hidup masing-masing untuk lebih berjaya di masa akan datang,” katanya sambil menambah bahawa aktiviti ini adalah rahmat yang ditonjolkan acapkali berlangsungnya bulan Ramadhan pada setiap tahun.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pengarah KEMAS Negeri Sarawak, Abang Rabaie Abang Muhi, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, para wakil jabatan kerajaan dan ketua kaum dalam bandar ini.

Simoi bersama rombongan telah meluangkan masa selama 30 minit untuk meninjau suasana aktiviti niaga di Bazaar Ramadhan itu sebaik sahaja selesai majlis perasmian terbabit.

Tamat.



Jangan cepat melenting - Nyalau


Caption: SELAMAT DATANG...Nyalau bersalam dengan penduduk-penduduk rumah panjang sebaik sahaja tiba dalam majlis itu.


LUBOK ANTU, Khamis (27 Ogos) – Penduduk rumah panjang tidak harus cepat melenting sekiranya kerajaan lambat menunaikan permintaan mereka selama ini demikian menurut Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Kata beliau rata-rata penduduk rumah panjang bersifat emosional apabila permintaan mereka lambat ditunaikan kerajaan dan seterusnya bertindak menyokong pembangkang disebabkan perkara itu.

“Apabila mereka (penduduk rumah panjang) ‘merajuk’, pihak pembangkang akan bertindak mengeksploitasi keadaan ini untuk meraih sokongan politik mereka bagi menghadapi musim pilihan raya.

“Akibatnya ialah penduduk rumah panjang akan bertindak menentang kerajaan iaitu Barisan Nasional (BN) apabila menjelangnya pilihan raya di negeri ini,” katanya ketika berucap merasmikan Maljis Pemimpin Bersama Rakyat di rumah panjang Ungkie, Lubok Antu baru-baru ini.

Penduduk rumah panjang sebaliknya menurut Nyalau harus faham bahawa permintaan mereka terhadap kerajaan akan melalui pelbagai prosedur sebelum permintaan mereka itu diluluskan.

“Permintaan penduduk rumah panjang itu juga akan diteliti secara terperinci oleh kerajaan lebih-lebih lagi jika ianya membabitkan hal pembangunan di kawasan mereka itu sendiri.

“Dengan kata lain proses ini akan mengambil masa. Justeru saya berharap agar penduduk rumah panjang lebih bersabar untuk menunggu permintaan mereka ditunaikan oleh kerajaan dan bukannya bertindak emosional dengan menyokong pembangkang,” kata beliau.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh dan para ketua kaum dalam daerah ini.

Tamat….




Tangkal engkerabun jadi perhatian

SRI AMAN, Khamis (27 Ogos) – Kisah mengenai pengunaan tangkal ‘Engkerabun’ mula menarik perhatian sesetengah penduduk dari kawasan Kuching semenjak cerita mengenai penggunaan tangkal berkenaan tersiar di akhbar tempatan dalam negeri ini pada hari Selasa lalu.

Ia terbukti apabila terdapat segelintir penduduk dari kawasan Kuching bertindak menghubungi saudara mara mereka di Lubok Antu untuk memastikan kebenaran mengenai penggunaan tangkal ‘ajaib’ tersebut.

“Tangkal Engkerabun mula terkenal semenjak kisah mengenai penggunaan azimat itu dikalangan penduduk dalam daerah Lubok Antu tersiar dalam akhbar tempatan dalam negeri ini semenjak hari Selasa lalu.

“Saya misalannya telah dihubungi oleh anak saya di Kuching yang mahu memastikan kebenaran mengenai cerita tersebut sebelum bertindak memesan tangkal terbabit daripada saya sendiri,” kata seorang penduduk dari Lubok Antu yang hanya mahu dikenali sebagai Sindun, 65.

Manakala itu seorang bekas ketua kaum dari daerah Lubok Antu juga bertindak memakai tangkal berkenaan di kawasan pergelangan tangannya setelah berita terbabit di siar di dada akhbar tempatan dalam negeri ini.

Walaupun tidak pasti terhadap kemujaraban tangkal berkenaan namun bekas ketua kaum itu tetap memakainya di pergelangan tangannya sendiri dengan harapan agar dia tidak terkena jangkitan wabak maut tersebut.

“Saya terpaksa memakai tangkal Engkerabun di pergelangan tangan memandangkan penularan wabak H1N1 itu kini kian membimbangkan penduduk dalam negeri ini termasuk saya.

“Bagaimanapun saya tidak pastu sejauh mana keberkesanan penggunaan tangkal ini. Janji tangkal Engkerabun ini berkesan untuk mengelakkan saya terkena jangkitan H1N1...itu saja,” menurut beliau.

Tangkal ‘Engkerabun’ yang diperbuat dari tali merah dan tumbuhan ‘Lemba Kumang’ mula digunakan secara meluas oleh penduduk daerah Lubok Antu apabila seorang penduduk menerusi mimpinya mendakwa penggunaan tangkal berkenaan dapat mengelakkan diri dari terkena jangkitan wabak Influenza A atau H1N1.

Tamat.

26 August, 2009

Aki Manang bakal tampil dengan album baru


Caption: BAKAL HIT...Aki Manang dan Via Edward menunjukkan gaya possing masing-masing selepas ditemuramah mengenai kemunculan album terbarunya tidak lama lagi.

- 26 Ogos


Artis sensasi dari syarikat rakaman Galaxy Sound Production iaitu Aki Manang bakal tampil dalam sebuah album baru yang diberi judul Gerenti Nyeraoh pada penghujung bulan Oktober ini nanti.

Beliau ketika yang ditemui Utusan Sarawak hari ini berkata album Gerenti Nyeraoh itu nanti bakal turut menampilkan dua orang lagi penyanyi iaitu Lemambang Lemai dan Via Edward.

“Lemambang Lemai sebelum ini pernah terkenal dengan Babe (keluaran syarikat Era Music Iban tahun 2005) manakala Via Edward pula adalah juara Pertandingan Karaoke yang diadakan bersempena sambutan Pesta Ikan Tapah di Pantu, Sri Aman pada bulan April tahun ini.

“Album Gerenti Nyeraoh bakal menampilkan pelbagai jenis rentak musik yang semestinya boleh diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di negeri ini antaranya ialah Rock, Cha Cha, Balada, Bollydut, Joget dan sebagainya,” menurut beliau.

Aki Manang atau juga dikenali sebagai DJ Joukoq berkata album ini bakal menampilkan 12 buah lagu antaranya ialah Sulu Bekau Jalai Lipan, Dunya Petang Asai Terang, Udah Ngeresap, Dara Boss...?, Indu Gerobi, Sulu Lari Nepan Pusun, Mun Kamek Taok, Aku Nemu Dirik, Anang Ngumpan, Idup Begulai Sama, Bedau Bisi Nama dan Aku Mati Rotax.

Lagu Sulu Bekau Jalai Lipan, Dunya Petang Asai Terang, Udah Ngeresap, Dara Boss...?, Indu Gerobi, Sulu Lari Nepan Pusun dan Mun Kamek Taok dalam album ini akan dibawa oleh beliau sendiri manakala lagu Aku Nemu Dirik dan Anang Ngumpan pula akan di bawa oleh Via Edward.

Lemambang Lemai menerusi album ini akan membawa lagu Bedau Bisi Nama disamping berduet dengan Aki Manang menerusi lagu berjudul Aki Mati Rotax. Aki Manang juga akan berduet dengan Via Edward membawa lagu Idup Begulai Sama.

“Kesemua lagu dalam album ini telah digubah oleh saya sendiri, Jesly Jabu, komposer muda yang meniti populariti iaitu Roland Latoi anak Senlulau, Cikgu Lin dan Mummy Rika.

“Album ini masih proses pengambaran di Kuching dan Sri Aman. Justeru saya berharap agar para peminat musik Iban tempatan di negeri ini untuk memberikan sokongan terhadap album Gerenti Nyeraoh apabila ianya berada di pasaran menjelang akhir Oktober ini nanti,” katanya.

Aki Manang juga turut menasihatkan para peminat lagu Iban di negeri ini untuk mendengar lagu Iban yang menampilkan muzik asli kaum Iban itu sendiri dan bukannya ‘muzik celup’ yang kemudiannya diubahsuai menjadi lagu Iban.

Beliau juga turut menambah bahawa album ini nanti secara tidak langsung akan mempromosi anak jati kelahiran daerah kecil Pantu, Sri Aman iaitu Via Edward dalam persada muzik Iban tempatan.

“Via juga merakamkan penghargaan terhadap wakil rakyat di kawasan beliau iaitu Snowdan Donald Lawan dan Masir Kujat kerana telah menganjurkan Pesta Ikan Tapah di Pantu pada bulan April lalu yang secara tidak langsung memberi peluang kepada Via untuk menjadi juara karaoke pada pesta berkenaan sebelum ini,” katanya.

Tamat.


Pemeriksaan kesihatan percuma CNI dapat sambutan







Caption: UJI KESIHATAN...Zulia Haji Jemat (kanan) sambil diperhatikan rakannya Morgan Alban (tengah) sedang menjalani ujian tekanan darah yang dikendalikan oleh Choong semalam.

SRI AMAN, Rabu (26 Ogos) – Seramai 35 orang penduduk mengambil peluang untuk menjalani program pemeriksaan kesihatan secara percuma bertempat di Pusat Pengedaran Creative Network International (CNI) cawangan Sri Aman, Jalan Hospital semalam.

Pemeriksaan kesihatan secara percuma yang berlangsung dari jam 8 pagi hingga 5 petang itu adalah merupakan program yang dilaksanakan bawah Projek Komuniti Penyayang CNI.

Pengurus pengedaran CNI cawangan Sri Aman, Thien Shiew Chiang ketika ditemui berkata kesemua 35 orang penduduk ini menjalani ujian saringan BMI, saringan lemak, saringan gula dalam darah dan saringan tekanan darah pada program itu.

“Penyakit Kencing Manis, Tekanan Darah Tinggi dan Kolestrol Tinggi adalah merupakan tiga masalah kesihatan yang paling umum dikalangan rakyat Malaysia pada masa sekarang.

“Justeru program ini merupakan salah satu usaha pihak kami untuk menyedarkan penduduk akan betapa pentingnya aspek penjagaan kesihatan diri masing-masing dari masa ke semasa,” menurut beliau.

Bagi menjayakan program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini, pihaknya telah menjemput dua orang Pengurus Agensi Milion Diamond CNI dari Kuala Lumpur dan Serian iaitu Choong Mun Fok, Voon Sin Siaw dan Chin Jun Fah.

Ketiga-tiga mereka ini menurut beliau telah mengendalikan program pemeriksaan secara kesihatan secara percuma ini dikalangan orang ramai yang hadir bagi tujuan program berkenaan.

“Secara keseluruhannya pihak kami berasa amat berpuashati terhadap minat yang ditunjukkan oleh orang ramai dalam program pemeriksaan kesihatan secara percuma di premis CNI ini.

“Diharap agar program pemeriksaan kesihatan secara percuma di CNI pada masa akan datang dapat menarik lebih ramai minta penduduk demi menyedarkan mereka tentang aspek kesihatan dalaman dan luaran badan,” katanya.

Kakitangan Utusan Sarawak yang hadir bagi membuat liputan mengenai program itu turut dijemput untuk menjalani program pemeriksaan kesihatan secara percuma ini lewat petang kelmarin.

Tamat.




25 August, 2009

Pesta Benak Sri Aman pertengahan Oktober ini !

SRI AMAN, Rabu (26 Ogos) – Pesta Benak Sri Aman dijangka akan berlangsung pada pertengahan bulan Oktober ini demikian menurut Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji.

Bercakap kepada pemberita sebaik selesai merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang di sini pagi tadi, satu mesyuarat yang melibatkan para wakil rakyat dari daerah Sri Aman akan diadakan di Pejabat Residen Sri Aman pada 3 September ini bagi mendapatkan maklumbalas mereka berhubung penganjuran pesta itu.

“Pihak kita mahu mendapatkan pendapat serta maklumbalas daripada semua YB (wakil rakyat) menerusi mesyuarat itu nanti berhubung hasrat untuk menganjurkan Pesta Benak Sri Aman pada pertengahan bulan Oktober tahun ini.

“Justeru pihak kami berharap agar Pesta Benak Sri Aman dapat dianjurkan pada tahun ini demi memenuhi permintaan orang ramai dari sekitar bandar Sri Aman,” katanya.

Bagaimanapun kata Shamshuddin berkata pihaknya hanya mempunyai sejumlah RM50,000 bagi tujuan penganjuran Pesta Benak di bandar Sri Aman pada pertengahan bulan Oktober ini.

Penganjuran Pesta Benak Sri Aman menurut beliau memerlukan sekurang-kurangnya RM150,000 bagi menjayakan semua acara atau program yang berlangsung dalam pesta itu kelak.

“Peruntukan bernilai RM50,000 dari pihak Kerajaan Negeri kini sudah pun berada dalam tangan pihak kita manakala selebihnya baki keperluan kos penganjuran pesta itu akan kita usahakan kelak,” katanya.

Sebagai persediaan untuk penganjuran Pesta Benak Sri Aman itu nanti, pihaknya menurut Shamshuddin telah pun meminta pihak Jabatan Saliran dan Peparitan (DID) Sri Aman untuk mengarahkan pihak pemaju menyiapkan segera Stesen Pemerhatian Benak Bandar Sri Aman yang terletak di sebelah Kubu Alice Sri Aman sebelum ini.

“Kita telah meminta pihak DID Sri Aman untuk mengarahkan pemaju menyiapkan projek tersebut pada penghujung bulan September ini bagi membolehkan penganjuran Pesta Benak Sri Aman di Taman Tebingan Sungai Sri Aman dan Stesen Pemerhatian Benak Bandar Sri Aman.

“Saya percaya dengan siapnya Stesen Pemerhatian Benak Bandar Sri Aman ini nanti, pelbagai acara menarik dapat ditambah dalam penganjuran Pesta Benak Sri Aman ini nanti,” katanya.

Tamat.





Sambutan merdeka di sri aman tampak hambar - Shamshuddin




Caption: UNTUKMU...Shamshuddin (tengah) menyampaikan bendera Jalur Gemilang kepada Penolong Jurutera Bahagian Sri Aman, Nasseruddin Abu Jabar (kanan) sambil disaksikan oleh Charles (kiri) ketika berlangsungnya kempen hari ini.

SRI AMAN, Rabu (26 Ogos) – Musim sambutan perayaan Hari Kemerdekaan Malaysia Ke-52 dilihat masih hambar dalam bandar ini berikutan kurangnya tindakan peniaga yang mahu memasang bendera Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing sehingga masa kini.

Justeru Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji mengalakkan para peniaga meluangkan masa masing-masing untuk membeli dan seterusnya memasang bendera Jalur Gemilang sebelum tibanya sambutan Hari Merdeka pada 31 Ogos ini.

“Anda boleh lihat sendiri betapa hambarnya suasana sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia dalam bandar Sri Aman pada waktu sekarang apabila hampir tiada peniaga yang bertindak memasang bendera Jalur Gemilang di premis perniagaan masing-masing ketika ini.

“Sudah tentunya saya berasa sedikit kecewa melihat keadaan ini kerana apa yang kita mahukan ialah seluruh warga rakyat Sri Aman terutamanya para peniaga menunjukkan sifat Nasionalisme masing-masing dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang di kediaman atau premis perniagaan masing-masing dalam bandar ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Jabatan Penerangan Sarawak Sri Aman bertempat di hadapan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman di sini hari ini.

Selain itu ketua kaum dari sekitar kawasan daerah Sri Aman ini menurut Shamshuddin juga bakal menerima bendera Jalur Gemilang bagi menyemarakkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Bendera Jalur Gemilang ini menurut beliau dijangka akan tiba pada minggu ini dan seterusnya diagihkan kepada setiap kampung atau rumah panjang menerusi ketua kaum masing-masing.

“Justeru saya berharap agar setiap kampung atau rumah panjang yang menerima bendera Jalur Gemilang ini kelak dapat memarakkan lagi suasana sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos nanti,” katanya.

Terdahulu Shamshuddin telah diberi penghormatan untuk mengedar sejumlah 200 buah bendera mini Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi.

Disamping itu 50 buah bendera Jalur Gemilang bersaiz standart juga telah diedarkan kepada pemilik premis perniagaan dan jabatan kerajaan dalam bandar Sri Aman bersempena dengan pelancaran kempen tersebut.


Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat anak Ason, Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sri Aman, Wan Esmanto Wan Rosli dan para ketua jabatan yang lain dalam bandar ini.


Tamat.

250 bendera jalur gemilang diagih kepada penduduk




Caption:

1.SELAMAT HARI MERDEKA...Shamshuddin sedang memasang bendera mini Jalur Gemilang di atas cermin kenderaan milik penduduk sambil disaksikan oleh Charles (kiri beliau) ketika berlangsungnya kempen hari ini.

2. UNTUK ALBUM..Shamshuddin (tengah) bersama ketua jabatan sedang mengibarkan bendera Jalur Gemilang sebaik sahaja selesai kempen tersebut hari ini.

SRI AMAN, Rabu (26 Ogos) – Sejumlah 250 buah bendera Jalur Gemilang telah diedarkan kepada pengguna kenderaan, restoran, premis perniagaan dan jabatan kerajaan dalam bandar Sri Aman bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.

Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman / Betong, Charles Sigat anak Ason berkata 200 buah bendera daripada jumlah terbabit adalah merupakan bendera mini Jalur Gemilang yang diedarkan kepada pengguna jalan raya dalam bandar ini.

“Bendera mini ini telah diedarkan kepada pengguna jalan raya menerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang yang berlangsung di hadapan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman bermula dari jam 8.30 pagi hingga 9.30 pagi hari ini.

“Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji telah dijemput untuk menyempurnakan kempen terbabit dengan mengedarkan bendera mini Jalur Gemilang tersebut kepada para pengguna jalan raya di sini,” katanya ketika ditemui pemberita pada pelancaran kempen berkenaan.

Manakala itu kata Charles selebihnya 50 buah bendera lagi (saiz standart) bakal diedarkan kepada restoran, premis perniagaan dan jabatan kerajaan yang terdapat dalam bandar ini.

Ia menurut beliau bertujuan untuk membolehkan orang ramai bersama-sama mengibarkan bendera Jalur Gemilang bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-52 pada tahun ini.

“Malahan kempen ini juga diadakan bersempena dengan 46 tahun Sarawak maju dalam Malaysia,” kata beliau sambil menambah bahawa kempen ini juga bertujuan untuk menanam sifat bangga dikalangan orang ramai di sini kerana menjadi sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Justeru Charles berharap agar orang ramai dalam bandar ini dapat menghayati sambutan Hari Kemerdekaan atau Kebangsaan Malaysia yang Ke-46 ini dengan menghargai nikmat keamanan dan kesejahteraan yang mereka kecapi sekarang.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Shyennier Jean Serit, Ketua Cawangan Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sri Aman, Wan Esmanto Wan Rosli dan para ketua jabatan yang lain dalam bandar ini.

Tamat.



Kuatkuasa letak tanda harga bermula 1 September ini - Shamshuddin




Caption: BEGINI...Shamshuddin sedang menerangkan cara penggunaan kad tanda harga kepada seorang peniaga sambil dilihat oleh Esmanto (kiri beliau) ketika berlangsungnya kempen berkenaan hari ini.

SRI AMAN, Selasa (25 Ogos) – Tindakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga di bandar ini yang gagal meletakkan tanda harga pada barangan yang dijual secara runcit mulai 1 September ini.

Pengerusi Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pelancaran Kempen Tanda Harga bertempat di Pasar Tamu, Sri Aman hari ini.

Menurut beliau adalah menjadi satu kesalahan kepada para peniaga di bawah Seksyen 3 (1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Peruncit) 1993 jika gagal meletakkan tanda harga pada barangan jualan runcit masing-masing mulai tarikh tersebut.

“Jika disabitkan bersalah para peniaga di bawah akta berkenaan itu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM15,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-dua sekali.

“Justeru peniaga barangan runcit dinasihatkan berbuat demikian memandangkan pihak kami (Gerakan Pengguna) dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan sentiasa memantau penguatkuasaan undang-undang terbabit bermula 1 September ini,” menurut beliau.

Terdahulu Shamshuddin yang juga Residen Bahagian Sri Aman sambil diiringi oleh Ketua Cawangan KPDNKK Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari bersama dengan ahli Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman telah melancarkan Kempen Tanda Harga bertempat di Pasar Tamu Sri Aman bermula jam 9 pagi hari ini.

Beliau bersama ahli Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman pada majlis itu telah memantau aktiviti penjualan barangan runcit dikalangan peniaga di Pasar Tamu dan warung penjualan makanan serta minuman berdekatan sambil mengedarkan sekitar 200 keping kad tanda harga terhadap mereka menerusi majlis berkenaan.

Kempen terbabit yang bakal berakhir pada 31 Ogos ini mengkehendaki semua peniaga terbabit untuk mengisi nama barangan runcit, harga dan jumlah unit barangan runcit pada kad tanda harga yang telah mereka terima pada majlis itu.

Tamat.

Stok gula di Sri Aman ditambah hari ini - Shamshuddin


Musghot: ABANG SHAMSHUDDIN ABANG SERUJI

SRI AMAN, Selasa (25 Ogos) – Stok bekalan gula di bandar Sri Aman dijangka mencukupi hingga 2 atau 5 September kelak dengan adanya tambahan penghantaran sejumlah 7.5 tan gula dari Kuching pada hari ini.

Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji berkata penghantaran bekalan gula ini adalah berdasarkan permintaan dari syarikat Chop Tai Kung dan Lian Yi yang beroperasi di bandar ini.

“Kedua-dua syarikat terbabit iaitu Chop Tai Kung dan Lian Yii masing-masing telah menambah stok bekalan gula mereka sebanyak 5 ( Chop Tai Kung) dan 2.5 (Lian Yii) tan yang dibawa dari Kuching pada hari ini.

“Ini bertujuan bagi menambah bekalan stok gula yang diagihkan oleh mereka kepada kedai-kedai runcit dalam bandar Sri Aman ini sementara menanti penghantaran seterusnya dari Kuching pada 2 atau 5 September kelak,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin bin Abang Seruji berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai Majlis Pelancaran Kempen Tanda Harga bertempat di Pasar Tamu, Sri Aman hari ini.

Shamshuddin bagaimanapun menasihatkan para penduduk agar tidak membeli bekalan gula secara panik dengan adanya penghantaran stok tambahan bekalan gula di bandar Sri Aman pada hari ini.

“Penduduk sebaliknya perlu kekal membeli gula pada kadar biasa iaitu dua kilogram dan bukannya membeli lapan hingga 10 kilogram gula gara-gara bimbang akan kehabisan stok terbabit.

“Justeru saya berharap agar penduduk tidak berebut membeli bekalan gula masing-masing lebih-lebih lagi ketika menjelang musim perayaan pada waktu sekarang demi mengelak berlakunya krisis kekurangan bekalan gula selepas ini,” katanya.

Beliau juga menambah bahawa tiada had akan dikenakan terhadap pembelian bekalan gula dikalangan penduduk dalam bandar ini ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan ini.

Terdahulu Shamshuddin sambil diiringi oleh Ketua Cawangan KPDNKK Bahagian Sri Aman, Wan Roslan Esmanto bin Wan Johari bersama dengan ahli Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman telah melancarkan Kempen Tanda Harga bertempat di Pasar Tamu Sri Aman bermula jam 9 pagi hari ini.

Beliau bersama ahli Gerakan Pengguna Bahagian Sri Aman pada majlis itu telah memantau aktiviti penjualan barangan runcit dikalangan peniaga di Pasar Tamu dan warung penjualan makanan serta minuman berdekatan sambil mengedarkan sekitar 200 keping kad tanda harga terhadap mereka menerusi majlis berkenaan.

Kempen terbabit yang bakal berakhir pada 31 Ogos ini mengkehendaki semua peniaga terbabit untuk mengisi nama barangan runcit, harga dan jumlah unit barangan runcit pada kad tanda harga yang telah mereka terima pada majlis itu.

Tamat.


Bazar Ramadhan Sri Aman meriah!


Caption: MERIAH...Para penduduk kelihatan sedang sibuk membeli juadah makanan dari seorang peniaga iaitu Kak Ani (kiri) ketika berlangsungnya aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman hari ini.


Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Selasa (25 Ogos) - Penganjuran aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang berlangsung di kawasan berhampiran Tebingan Sungai Batang Lupar ternyata mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada penduduk berbilang kaum dalam bandar ini.

Tinjauan rambang Utusan Sarawak sehingga jam 6.45 petang kelmarin mendapati bahawa Bazaar Ramadhan 2009 kali ini dibanjiri lebih daripada 1,000 orang penduduk semenjak ianya bermula jam 1 petang pada 22 September lalu.

Utusan Sarawak menerusi tinjaun rambang terbabit mendapati bahawa aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 yang diadakan bersempena dengan sambutan Bulan Puasa pada tahun ini telah menawarkan pelbagai juadah makanan dan minuman kepada para penduduk di bandar ini.

Antara juadah makanan yang dapat diperoleh menerusi aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 kali ini seperti ayam dan ikan panggang, kuih-muih, mee goreng, nasi goreng, hidangan dan lauk-pauk yang beraneka jenis.

Disamping itu aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 ini turut menawarkan pelbagai jenis minuman yang sesuai bagi tujuan berbuka puasa oleh keluarga muslim seperti air tebu, air bandung, Air Batu Campur dan pelbagai lagi.

Seorang pengunjung, Wilson Embah Hearold, 19, ketika ditemui menjelaskan bahawa beliau amat tertarik terhadap jualan juadah makanan dan minuman yang amat jarang ditawarkan oleh peniaga pada hari-hari biasa.

“Tahniah di atas usaha Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dan Pejabat Residen Sri Aman kerana menganjurkan aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 demi memeriahkan suasana sambutan Bulan Puasa di bandar ini.

“Usaha sebegini pada pendapat saya amat baik kerana aktiviti Bazaar Ramadhan 2009 bukan sahaja dapat memeriahkan suasana sambutan Bulan Puasa tetapi secara tidak langsung dapat mempromosi pelbagai juadah makanan dan minuman kepada penduduk bukan Islam di bandar ini,” katanya.

Aktiviti Bazar Ramadhan yang terletak bersebelahan Tokong Cina dalam laluan Jalan Main Bazaar bakal berakhir pada 21 September ini dan telah melibatkan penyertaan seramai 80 orang peniaga dari sekitar bandar Sri Aman.

Tamat.

24 August, 2009

Pakai tangkal elak H1N1


Caption: ELAK H1NI...Beberapa kanak-kanak dari Lubok Antu memakai tangkal Engkerabun di pergelangan tangan masing-masing kerana percaya mereka dapat mengelak jangkitan wabak H1N1.

LUBOK ANTU, Isnin (24 Ogos) – Penularan wabak Influenza A atau H1N1 ternyata membawa kesan yang cukup besar terhadap kehidupan seharian penduduk di negeri ini khususnya dari kawasan Lubok Antu.

Ini terbukti apabila ribuan penduduk dari kawasan daerah terbabit mula memakai sejenis tangkal yang dikenali sebagai ‘Engkerabun’ bagi mengelak jangkitan wabak berkenaan dalam diri masing-masing.

Tangkal terbabit yang diamalkan oleh penduduk di situ dalam tempoh seminggu kebelakangan ini dipercayai bermula apabila seorang individu mendakwa bahawa beliau bermimpi tentang kaedah untuk mengelak jangkitan wabak berkenaan sebelumnya.

“Apabila tersebarnya mimpi tersebut, penduduk di kawasan Lubok Antu mula membuat tangkal Engkerabun milik masing-masing berasaskan seutas benang berwarna merah yang dililit bersama sejenis tumbuhan bergelar ‘Lemba Kumang’.

“Tumbuhan Lemba Kumang dan benang merah terbabit kemudian dibentuk menjadi sebuah gelang yang kemudiannya dipakai pada bahagian pergelangan tangan individu terbabit,” kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Santang ketika dihubungi hari ini.

Santang juga memberitahu bahawa penduduk di kawasan Lubok Antu masih sibuk membuat tangkal Engkerabun untuk dipakai oleh keluarga masing-masing hingga sekarang.

Berasaskan mimpi itu, penduduk Lubok Antu yakin bahawa tangkal Engkerabun mampu mengelakkan jangkitan wabak H1N1 ini terhadap mana-mana individu yang memakai tangkal tersebut pada pergelangan tangan masing-masing.

Wabak H1N1 yang dipercayai berasal dari negara Mexico kini telah mengorbankan lebih 70 penduduk di Malaysia.

Tamat.

Saya tak berdendam dengan pengundi - Mussen


Caption: KENANGAN…Mussen (tiga kiri) menerima cenderamata dari Tr Ungkie (kiri sekali) sambil disaksikan oleh Jampi (dua kiri) ketika berlangsungnya majlis terbabit.

LUBOK ANTU, Isnin (24 Ogos) – Wakil rakyat tidak harus menyimpan rasa dendam terhadap para penduduk yang tidak mengundi mereka pada pilihan raya sebelum ini demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh.

Menurut beliau pengundi mempunyai kebebasan dan hak untuk menyokong calon wakil rakyat dari pelbagai parti ketika menjelang pilihan raya memandangkan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi di negara ini.

“Malahan saya sendiri juga tidak pernah menyimpan dendam terhadap para pengundi-pengundi yang tidak menyokong saya pada pilihan raya kecil bagu kawasan DUN Batang Ai yang lalu.

“Kita hidup dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Jadi wakil rakyat haruslah bersifat ‘gentlemen’ (budiman) sekiranya menang dalam pilihan raya di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Panjang Ungkie, Tabau, Lubok Antu baru-baru ini.

Seseorang wakil rakyat itu kata Mussen haruslah mengajak semua rakyat di dalam kawasannya untuk saling bekerjasama menaiktaraf kebajikan hidup dan pembangunan diri masing-masing.

“Saya juga mengalu-alukan rakyat yang tidak mengundi saya pada pilihan raya kecil sebelum ini untuk tampil bertemu dengan saya sekiranya mereka mempunyai masalah masing-masing.

“Jangan malu berbuat demikian memandangkan saya bukan jenis orang yang berbendam dan enggan memberi bantuan kepada rakyat yang tidak menyokong saya dalam pilih raya kecil lalu,” katanya.

Justeru Mussen berharap agar rakyat di kawasan Batang Ai menghulurkan kerjasama terhadap dirinya dan Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak bagi mempertingkatkan taraf pembangunan kawasan terbabit di masa akan datang.

Mussen menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Biro Wanita Rumah Panjang Tr Ungkie. Hadir sama ialah Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera (PBB) Bersatu N.29 Batang Ai, Jampi Tutong dan pembantu khas kepada Ahli Parlimen Lubok Antu iaitu Zainie.

Tamat….

Komersialkan tanaman - Rayong


Caption: RASMI…Dr Rayong (tiga kanan) dan Nyalau (dua kiri) merasmikan tapak rumah panjang baru Nudong, Murad, Skrang sambil disaksikan oleh Mujah (dua kanan) dan Tr Nudong (tengah) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SKRANG, Isnin (24 Ogos) – Golongan petani dalam kawasan pedalaman boleh mempertingkat hasil pendapatan keluarga masing-masing sekiranya mereka melaksanakan aktiviti bercucuk tanam secara komersial.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata amalan bercucuk tanam secara komersial dilihat lebih releven pada masa sekarang berbanding amalan bercucuk tanam secara tradisional.

“Peningkatan kualiti taraf hidup pada masa sekarang menuntut golongan petani dari kawasan luar bandar untuk lebih berdikari ketika mencari nafkah hidup dengan mengurangkan pergantungan terhadap amalan bercucuk tanam ala tradisional.

“Petani kawasan luar bandar sebaliknya perlu mempertingkat kapasiti pengeluaran penanaman masing-masing (secara komersial) agar lebihan hasil itu nanti mampu dijual di pasaran bagi menampung pendapatan keluarga mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis Program Pemimpin Bersama Rakyat anjuran Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian N.28 Engkilili bersama JKKK Nudong di Rumah Nudong, Murat, Skrang, Sri Aman baru-baru ini.

Rayong menerusi ucapannya mengalakkan golongan petani di kawasan ini untuk mencontohi golongan petani di negara Amerika Syarikat yang mampu menjadi jutawan hasil daripada amalan aktiviti bercucuk tanam secara komersial masing-masing.

“Petani tidak harus malu kerana memegang ‘profession’ ini memandangkan mereka juga mampu meraih pendapatan lebih lumayan daripada kakitangan kerajaan sekiranya mereka tahu langkah yang betul untuk melaksanakannya,” menurut beliau.

Rayong menerusi majlis itu mengumumkan peruntukan kerajaan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bernilai RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Nudong manakala RM5,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Giri, Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu Geoffery Baja Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh dan para kakitangan kerajaan sekitar daerah ini.


Tamat.

Ikuti pemeriksaan kesihatan percuma oleh CNI pada 25 Ogos ini

SRI AMAN, Isnin (24 Ogos) – Orang ramai dipelawa untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di Pusat Pengedaran Creative Network International (CNI) cawangan Sri Aman yang beralamat di alamat No.6 Jalan Hospital, Sri Aman bermula dari jam 10 pagi hingga 5 petang pada 25 Ogos ini.

Program pemeriksaan secara percuma yang akan berlangsung di Pusat Pengedaran CNI cawangan Sri Aman ini adalah merupakan program di bawah Projek Komuniti Penyayang CNI.

“Penyakit Kencing Manis, Tekanan Darah Tinggi dan Kolestrol Tinggi adalah merupakan tiga masalah kesihatan yang paling umum dikalangan rakyat Malaysia pada masa sekarang.

“Asas sebab ini CNI telah tampil untuk menawarkan pemeriksaan kesihatan secara percuma terhadap orang ramai dalam bandar ini bermula dari tarikh dan waktu yang dinyatakan kepada mereka,” menurut pengurus cawangannya iaitu Thien Siew Chiang.

Orang ramai menerusi program ini katanya berpeluang untuk mengikuti ujian saringan BMI, saringan lemak, saringan gula dalam darah dan saringan tekanan darah disamping menerima khidmat nasihat dalam pemeriksaan kesihatan berkenaan.

Justeru pemeriksaan kesihatan secara percuma ini menurut Thien adalah merupakan satu peluang keemasan yang tidak seharusnya dilepaskan oleh orang ramai dalam bandar Sri Aman ini.

Tamat.

23 August, 2009

PERSONALITI MINGGU INI


1.POSISI DUDUK TENGAH:

Nama: Edwin Nanggah

Umur: 32

Tinggi: 178 cm

Profession: Juruhebah bahagian Iban, RTM @ RaSA FM Sri Aman.

Asal: Skrang, Sri Aman

Hobi: Memancing ikan, buaya, siput laut dan ikan paus.


2. POSISI BERDIRI KIRI:

Nama: Tarang Ambon

Nama timangan: Akai, Cikgu, Bunyau

Umur: 37 tahun

Tinggi: 165 cm

Profession: Pemandu lori

Asal: Temudok, Sri Aman

Hobi: Palau


3. POSISI BERDIRI KANAN

Nama: Vyonnie Maclean Pugie

Nama samaran: Jang, Jangput

Tinggi: 172 cm

Profession: Guru, SMK Melugu

Asal: Skrang

Hobi: Menghias kereta, menghias rumah dan menghias bilik (auw)


4. POSISI BELAKANG:

Nama: Yakub Zamahari

Nama samaran: Akob

Tinggi: 170 cm

Profession: Unit penguatkuasa Jabatan Tanah dan Survei, Sri Aman

Asal: ?

Hobi: Bercucuk tanam

21 August, 2009

Penduduk boleh mohon peruntukan dari jabatan kerajaan bukan dari Yb sahaja - Snowdan


Caption: UNTUK PENDUDUK...Snowdan (tengah) sambil dibantu oleh pegawai kerajaan dan penduduk ketika menguji mesin pelerai padi di Kampung Menyan A baru-baru ini.

BALAI RINGIN, Sabtu (22 Ogos) – Penduduk tidak semestinya perlu mensasarkan permohonan atau permintaan mengenai peruntukkan pembangunan atau lain-lain projek daripada wakil rakyat di kawasan masing-masing demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Ini kerana selain wakil rakyat menurut beliau, penduduk juga boleh menghantar permohonan atau permintaan terhadap agensi atau jabatan kerajaan yang menyediakan peruntukkan berkaitan dengan kehendak masing-masing.

“Selain YB (Yang Berhormat), penduduk juga mempunyai banyak saluran untuk mendapatkan peruntukkan pembangunan dan salah satunya ialah daripada agensi serta jabatan kerajaan di kawasan masing-masing.

“Justeru kita harus faham bahawa tidak kesemua bentuk bantuan ataupun pembangunan dari segi apa jua aspek tertumpu kepada seorang wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Mesin Pelerai Padi yang mencatatkan nilai berjumlah RM10,000 bertempat di Kampung Menyan A, Balai Ringin, Serian baru-baru ini.

Selain itu Snowdan juga menasihatkan para ketua kaum di sini agar mengamalkan sikap ingin tahu tentang saluran yang boleh mereka manfaatkan bagi tujuan permohonan projek pembangunan di kawasan masing-masing.

Para ketua kaum ini menurut beliau boleh memdapatkan maklumat daripada pejabat daerah, pejabat residen, pusat khidmat, kaunter perkhidmatan, tele-khidmat, e-khidmat dan banyak lagi bagi tujuan berkenaan.

“Menerusi saluran ini para ketua kaum boleh berkongsi segala maklumat yang mereka perolehi daripada agensi-agensi kerajaan bersama para penduduk di kawasan pegangan masing-masing.

“Ia secara tidak langsung boleh mengurangkan pergantungan penduduk terhadap wakil rakyat di kawasan masing-masing sekiranya mereka ingin memohon peruntukan bagi tujuan pembangunan selepas ini,” katanya.

Snowdan menerusi majlis itu telah memperuntukan sebanyak RM5,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Menyang A manakala RM2,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang terbabit.

Hadir sama ialah Penolong Pengarah Pertanian Samarahan, Annuar John dan Penolong Pegawai Pertanian Serian, Tedwin Beti.

Tamat.

RM15 juta untuk bina bangunan baru SK Lubok Antu -


Caption: SELAMAT DATANG...Kedatangan Nyalau disambut oleh kakitangan SESCO dan guru sebelum bermulanya majlis tersebut semalam.

pix n fact by Edwin Raoh

LUBOK ANTU, Sabtu (22 Ogos) – Sekolah Kebangsaan (SK) Lubok Antu di sini bakal berubah wajah dalam tempoh satu tahun setengah mulai sekarang apabila kerajaan telah memperuntukan sebanyak RM12 juta bagi tujuan pembinaan bangunan baru di sekolah terbabit tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kem Kecemerlangan dan Motivasi Calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2009 bertempat di SESCO Township, Lubok Antu semalam.

Menurut beliau pembinaan bangunan baru SK Lubok Antu itu amat penting bagi menampung keperluan pembelajaran murid-murid di situ disamping mempertingkat kemudahan prasarana pendidikan sekolah berkenaan pada tahun akan datang.

“Disamping itu ia juga merupakan kewajipan pihak kerajaan untuk mempertingkatkan taraf pendidikan penduduk luar bandar dalam negeri ini khususnya di kawasan Lubok Antu.

“Justeru diharap agar pembinaan bangunan baru terbabit akan memacu taraf peningkatan pendidikan penduduk di Lubok Antu ini selain mengejar matlamat kerajaan untuk melahirkan golongan modal insan yang lebih cemerlang di masa akan datang,” kata beliau.

Selain itu Nyalau juga menasihatkan para pelajar yang gagal memasuki institusi pengajian am agar tidak mudah berputus asa memandangkan golongan itu juga boleh memasuki institusi kemahiran di negara.

Golongan terbabit menurut beliau boleh menyambung pembelajaran di kebanyakkan institusi kemahiran terutamanya MARA untuk merebut peluang pekerjaan yang sedia ada sekarang atau pada masa hadapan.

“Jangan terus bekerja di kedai kopi kerana gagal masuk ‘U’ (universiti). Ini kerana gagal memasuki ‘U’ tidak bererti anda gagal dalam hidup memandangkan portfolio kerja pada masa sekarang banyak menjurus kepada bidang kemahiran.

“Oleh itu saya menggesa pelajar yang tidak berjaya ke U agar merebut peluang pembelajaran ke institusi kemahiran yang terdapat di negeri ini demi masa depan masing-masing,” katanya.

Tamat.
.

wataniah dan lembaga amanah kpg lemanak jayakan gotong royong bersih kubur


Caption:

UNTUK ALBUM...Nasaruddin (berdiri tengah bertopi) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama anggota askar wataniah dan penduduk Kampung Hulu ketika berlangsungnya aktiviti tersebut baru-baru ini.


Fact n pix by :ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Sabtu (22 Ogos) – Suasana menyambut kedatangan Bulan Ramadhan di Sri Aman dimeriahkan lagi dengan aktiviti gotong-royong membersihkan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu yang dijayakan oleh Batalion Ke-2, Askar Wataniah dengan kerjasama Lembaga Amanah Kampung Lemanak di sini baru-baru ini.

Pengerusi Lembaga Amanah Kampung Lemanak, Nasaruddin Abu Jabar ketika ditemui berkata aktiviti gotong-royong ini melibatkan penyertaan lebih 80 orang ahli dari kedua-dua pihak terbabit.

“Tujuan utamanya aktiviti membersihkan tanah perkuburan Islam dan masjid ini dilaksanakan adalah untuk memeriahkan suasana sambutan Bulan Ramadhan pada tahun ini

“Dengan adanya aktiviti seumpama ini maka keadaan Tanah Perkuburan Islam Kampung Hulu akan sentiasa bersih bersesuaian dengan bulan bagi umat Islam menunaikan ibadat puasa mereka bagi tahun ini,” katanya.

Selain itu katanya aktiviti ini juga secara tidak langsung mampu mewujudkan semangat kerjasama dikalangan penduduk dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di masa akan datang.

Malahan kata beliau aktiviti ini turut mampu mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim dan semangat kekitaan dikalangan penduduk dan anggota tentera lebih-lebih lagi ketika menjelangnya sambutan Bulan Ramadhan di bandar ini.

Justeru beliau berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diadakan lagi di masa akan datang demi memuliakan sambutan kedatangan Bulan Ramadhan di Bahagian Sri Aman.

Tamat.






Bazar Ramadhan Sri Aman kembali daa! 22 Ogos - 21 Sept


Caption: MERIAH...Gambar bertarikh 2 September 2008 ini menunjukkan suasana kemeriahan penganjuran Bazaar Ramadhan tahun lepas dan kemeriahan yang sama bakal dirasai bagi suasana sambutan Bazaar Ramadhan tahun ini.


SRI AMAN, Jumaat (21 Ogos) – Sambutan Bulan Puasa di bandar Sri Aman dijangka akan lebih meriah dengan adanya penganjuran aktiviti Bazaar Ramadhan bertempat di Jalan Main Bazaar bermula hari ini (22 Ogos) hingga 21 September ini.


Aktiviti Bazaar Ramadhan edisi ke-3 ini adalah merupakan anjuran Pejabat Residen Bahagian Sri Aman dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Bahagian Sri Aman.


Jurucakap Pejabat Residen Bahagian Sri Aman ketika dihubungi memberitahu persiapan pendirian khemas bagi tujuan aktiviti Bazaar Ramadhan ini telah bermula semenjak dua hari yang lepas.


“Aktiviti Bazaar Ramadhan bersempena dengan sambutan bulan puasa yang secara rasminya akan bermula esok ini akan melibatkan penyertaan seramai 80 orang peniaga dari kawasan bandar Sri Aman.


“Aktiviti Bazaar Ramadhan ini dijangka akan menarik ratusan orang pengunjung pada setiap hari yang ingin membeli pelbagai juadah makanan dan minuman yang ditawarkan oleh peniaga di situ,” katanya.


Selain itu katanya aktiviti jualan makanan dan minuman di Bazaar Ramadhan yang terletak bersebelahan dengan kawasan Tokong Cina Sri Aman ini akan bermula pada jam 1 petang hingga jam 6 petang pada setiap hari.


Bazar Ramadhan, yang dianggap antara aktiviti tahunan paling menarik di bandar Sri Aman ini akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri bermula jam 3.30 petang pada 27 Ogos.


Tamat...

20 August, 2009

Kedai jam di Jalan Kelab hampir musnah terbakar


Caption: TERKAWAL...Seorang anggota bomba kelihatan sedang memasuki premis kedai jam berkenaan untuk mengawal api kebakaran yang berlaku malam tadi.

SRI AMAN, Jumaat (21 Ogos) – Sebuah kedai jam yang terletak di laluan Jalan Kelab dalam bandar ini nyaris musnah dijilat api menerusi kejadian yang dipercayai bermula malam tadi.

Kedai berkenaan ialah Hua Kong Watch Dealer dipercayai mula terbakar sekitar jam 10 malam apabila beberapa orang penduduk yang melalui kawasan berkenaan tercium bau benda hangus yang keluar dari dalam kedai berkenaan.

“Asap kemudiannya dilaporkan keluar dari dalam kedai terbabit dan menyebabkan orang ramai yang berada berdekatan dengan kedai tersebut bertindak menghubungi pemilik kedai jam tersebut,” kata sumber.

Beberapa orang penduduk kata sumber juga bertindak meminta bantuan para pekerja hotel yang berada berdekatan dengan kedai terbabit untuk menghubungi pihak bomba bagi tindakan selanjutnya.

Terdahulu jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Sri Aman ketika dihubungi hari ini menjelaskan bahawa pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian tersebut pada jam 11 malam.

“Pihak kami kemudiannya bertindak menghantar seramai tujuh orang anggota beserta dengan sebuah jentera trak pemadam kebakaran ke lokasi kejadian tersebut.,” menurut jurucakap terbabit.

Pihak bomba yang hadir di tempat kejadian kira-kira empat minit kemudian akhirnya berjaya mengawal api kebakaran di dalam kedai jam terbabit menjelang jam 11.30 malam.

Pemilik kedai jam berkenaan yang enggan namanya disiarkan di sini percaya bahawa api kebakaran tersebut berpunca dari masalah litar pintas yang berlaku di dalam kedai miliknya.

Pemantauan rambang Utusan Sarawak dalam kejadian itu mendapati bahawa api kebakaran tersebut hanya memusnahkan satu perempat kawasan dalam kedai jam terbabit.

Tamat.

Penjenayah pecah kereta balik dengan tangan kosong

SRI AMAN, Jumaat (21 Ogos) – Tindakan tiga orang penjenayah yang memecahkan cermin kenderaan pacuan empat roda milik seorang guru dalam bandar ini boleh dikatakan sia-sia apabila mereka hanya berhasil melarikan satu sampul surat kosong dalam kejadian tersebut semalam.

Sebelum berlakunya kejadian kata sumber, pemilik kenderaan pacuan empat roda berkenaan telah meletakkan kenderaannya di hadapan sebuah restoran dalam bandar ini sekitar jam 3 petang untuk berurusan di sebuah bank yang berdekatan.

“Tidak lama selepas itu, kenderaan pacuan empat roda milik guru terbabit yang parkir di hadapan restoran tersebut kemudiannya didatangi oleh tiga orang lelaki dengan menunggang motorsikal masing-masing.

“Kejadian itu berlaku cukup pantas. Seorang dari kumpulan lelaki ini bertindak menumbuk cermin kenderaan pacuan empat roda tersebut dengan mengenakan sejenis alatan khas dan bertindak mengambil satu sampul surat dalam kenderaan tersebut,” kata sumber.

Ketiga-tiga lelaki berkenaan kemudiannya bertindak melarikan diri menuju ke arah kawasan Temudok yang mana salah seorang daripada lelaki yang menumbuk cermin kenderaan tersebut menunggang motorsikal jenis Yamaha RXZ warna hitam.

Pemilik kenderaan tersebut yang tiba di tempat kejadian bagaimanapun melahirkan rasa lega apabila mendapati ketiga-tiga penjenayah tersebut hanya melarikan satu sampul surat kosong dari kenderaan milik beliau.

Guru terbabit kemudiannya tampil di Balai Polis Sri Aman untuk membuat laporan berhubung kejadian jenayah tersebut.

Tamat.

Menjelang sambutan Bulan Puasa di Simanggang; apa kata penduduk?







Mugshot:

1.AZLAN...Positif
2.ISMAIL...Disiplin
3.SHUKOR...Kawal nafsu

SRI AMAN, Jumaat (21 Ogos) – Umat Islam khususnya dalam bandar Sri Aman bakal menunaikan ibadat puasa masing-masing bermula esok iaitu 1 Ramadhan atau 22 Ogos untuk tempoh satu bulan ini.

Umat Islam akan berdepan dengan cabaran puasa dengan menahan keinginan hawa nafsu terutamanya makan serta minum masing-masing bermula dari terbitnya matahari pagi hinggalah terbenam matahari sepanjang tempoh waktu bulan Ramadhan terbabit.

Ismail bin Rosli, 30, dari Kampung Tengah, Sr Aman berpendapat bahawa amalan berpuasa dapat mempertingkatkan lagi disiplin dalam diri seseorang umat Islam lebih-lebih ketika berlangsungnya sambutan bulan Ramadhan di negara ini.

“Menerusi amalan berpuasa umat Islam dapat membiasakan diri dengan cara untuk mengawal nafsu pemakanan seseorang disamping mengajar setiap umatnya untuk mengawal segala nafsu lain yang bertentangan dengan ajaran agama,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Bagi Shukor bin Shaidi, 35, dari Kampung Hilir Sri Aman, amalan berpuasa secara tidak langsung mengkehendaki setiap umat Islam mengawal nafsu lain yang mencakupi akal serta minda.

“Dengan kata lain, amalan berpuasa ketika berlangsungnya bulan Ramadhan haruslah dijadikan sebagai satu peluang bagi setiap umat Islam untuk mempertingkatkan disiplin dalam diri masing-masing,” katanya.

Sementara itu Azlan bin Ahmad dari Kampung Hilir berpendapat penghayatan amalan berpuasa ketika sambutan Bulan Ramadhan boleh membentuk sikap positif dalam diri setiap umat Islam ke arah melahirkan masyarakat bersatu padu dan mentaati perintah Allah S.W.T untuk menjauhi segala laranganNya.

Katanya umat Islam perlu melakukan amalan yang baik sepanjang sambutan Bulan Ramadhan kerana ganjarannya adalah amat besar di sisi Tuhan berbanding dengan bulan-bulan lain.

“Para umat Islam jangan persia-siakan kedatangan bulan Ramadhan ini sebaliknya manfaatkanlah bulan terbabit dengan melakukan pelbagai amalan mulia dengan hati yang penuh ikhlas.

“Allah S.W.T memandang mulia setiap para umatnya yang mengerjakan pelbagai amalan baik ketika berlangsungnya sambutan Bulan Ramadhan dan memberikan pahala kepada umat yang mentaati perintahNya,” katanya.

Tamat.

Buah Naga ganjil di Batu Lintang, Sri Aman


Caption: GANJIL...Foo sedang menunjukkan Buah Naga yang bercantum dengan cadang pokok induknya ketika ditemui semalam.


fact n pix by ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Seorang pengusaha kebun di kawasan Undop, Batu Lintang, Sri Aman terkejut apabila tanaman Buah Naga miliknya tidak mengeluarkan buah dari bunga namun sebaliknya bercantum dengan pokok Buah Naga itu sendiri.

Foo Nam Sing ketika ditemui berkata beliau menyedari kejadian aneh berkenaan ketika sedang memantau perkembangan tanaman Buah Naga di kebun milik beliau seminggu yang lalu.

“Buah Naga biasanya terhasil dari bunga yang tumbuh di sepanjang pokok induknya sendiri namun kali ini tidak apabila Buah Naga yang saya perolehi ini bercantum pada bahagian hujung cabang pokok induknya sendiri.

“Saya menganggap kejadian ini sebagai aneh dan oleh itu saya berhasrat mahu menyimpan Buah Naga yang ganjil ini sebagai salah satu koleksi perhiasan di rumah,” katanya sambil menambah bahawa beliau tidak menjual Buah Naga terbabit kepada orang yang berminat untuk menyimpannya.

Beliau yang telah menanam sebanyak 30 buah pokok Buah Naga di kebun milik keluarganya juga mendakwa tidak pernah mendengar atau melihat Buah Naga yang bercantum dengan pokok induknya sebelum ini.

Utusan Sarawak ketika menemui beliau juga turut mendapati bahawa Buah Naga ganjil berkenaan telah bercantum dengan cabang pokok yang tumbuh di bahagian pangkal utama pokok Buah Naga berkenaan.

Dengan kata lain Foo secara keseluruhannya bukan sahaja memiliki Buah Naga yang ganjil malahan turut memiliki pokok induknya yang mengeluarkan cabang di kawasan pangkal pokok terbabit.

“Lazimnya cabang itu akan tumbuh di penghujung pokok induk itu sendiri. Namun Buah Naga yang ganjil ini terhasil menerusi cabang yang tumbuh di kawasan pangkal pokok induk itu sendiri,” katanya.

Tamat.


Pendam Temuai akan diperindahkan - Harden


Caption: ADAT...Harden (tengah) bersama Mong (kiri) ketika menghadiri upacara Miring sebelum bermulanya majlis tersebut di sini baru-baru ini.


Pix by ZULIA HAII JEMAT

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) dengan kerjasama Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman akan melaksanakan projek mengindahkan kawasan Kubur atau Pendam Temuai yang terletak di kawasan Jalan Paderi, Sri Aman dalam tempoh terdekat kelak.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata projek pengindahan semula kawasan kubur ‘lama’ berkenaan akan mencakupi pembinaan sebuah Tugu Peringatan Khas, tanaman bunga dan kawasan landskap yang lebih indah.

Tanpa menyatakan luas kubur berkenaan, pihak MDSA menurut beliau akan mengemukakan cadangan berhubung perlaksanaan projek terbabit kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman.

“Tidak ramai yang tahu mengenai kewujudan kubur lama ini. Justeru pihak MDSA dan persatuan itu akan melaksanakan projek pembinaan landskap ke atas kubur terbabit disamping membina Tugu Peringatan dan penanaman bunga bagi tujuan pengindahan.

“Objektif utamanya projek pengindahan kawasan Pendam Temuai ini ialah untuk menghapuskan tempat pembiakan Nyamuk Aedes disamping menambahkan keindahan landskap bagi kawasan bandar Sri Aman,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata kepada pemberita sebaik sahaja selesai merasmikan Majlis Gotong Royong Membersihkan Pendam Temuai anjuran MDSA dan Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu kawasan Pendam Temuai kini menurut Harden telah menempatkan sebanyak 105 mayat si mati yang telah berdaftar oleh keluarga dengan pihak Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman.

“Bagaimanapun jumlah si mati yang telah disemadikan di Pendam Temuai sebenarnya berjumlah lebih daripada 105 memandangkan selebihnya kubur di situ belum lagi didaftarkan oleh ahli keluarga si mati itu sendiri.

“Justeru saya menasihatkan mereka yang belum berbuat demikian agar berjumpa dengan Ketua Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman iaitu Pemanca Sameul Lawen untuk mendaftarkan nama si mati di situ agar nama si mati nanti dapat dipaparkan pada Tugu Peringatan yang bakal dibakal dibina di situ kelak,” menurut beliau.

Harden pada majlis itu mengumumkan peruntukan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Ketua Masyarakat Iban Sri Aman bagi membantu perlaksanaan projek berkenaan selepas ini.

Hadir sama ialah ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, Wali Kota Sri Aman, Piau anak Inggot, Pemanca Samuel Lawen, para pegawai kerajaan dan ketua masyarakat dari sekitar daerah ini.

Pendam Temuai adalah merupakan kawasan kubur yang dipercayai mula dibuka sekitar tahun 1960 dahulu untuk menempatkan si mati yang datang dari kawasan jauh dan meninggal di bandar Sri Aman ini.

Pendam ini yang tidak diketahui kewujudannya oleh sebilangan besar penduduk di kawasan bandar Sri Aman turut menempatkan mayat si mati yang pada ketika tahun itu tidak pernah dituntut oleh ahli keluarga dari hospital.

Faktor kekurangan kemudahan pengangkutan dan perhubungan sekitar tahun 1960 dan 1970-an dahulu dipercayai menyebabkan si mati kebanyakkan dari kawasan Lubok Antu, Ulu Engkari dan Sungai Tengak disemadikan di kubur terbabit.

Tamat.

Penubuhan CIU untuk basmi jenayah - Jusoh


Caption: TAHNIAH...Mat Jusoh (kanan) sedang menyampaikan sijil penghargaan kepada Mual Landa ketika berlangsung majlis pagi ini.

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Penubuhan Unit Pencegahan Jenayah (CIU) dijangka mampu membantu pihak polis dalam usaha mengurangkan lagi kadar kes jenayah yang berlaku dalam kawasan Sri Aman.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superitenden Police (DSP) Mat Jusoh bin Muhammad berkata CIU berperanan penting dalam mempertingkatkan lagi mutu khidmat penyampaian maklumat di antara pegawai atau anggota polis dan orang awam di daerah ini.

“Ia merupakan pendekatan yang kita gunakan untuk membenteras kes jenayah di daerah ini walaupun pihak Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman telah berjaya mengurangkan kadar kes jenayah melebihi 20 peratus bagi tahun 2009 berbanding tahun sebelumnya,” katanya.

“Justeru penubuhan CIU ini membolehkan pegawai atau anggota kita menerima maklumat berhubung kes jenayah yang berlaku di daerah ini secara lebih menyeluruh sebelum tindakan diambil untuk membenterasnya,” menurut beliau.

Mat Jusoh berkata demikian ketika berucap pada Upacara Kawad Bulanan dan Penyampaian Sijil Penghargaan yang berlangsung di padang kawat, IPD Sri Aman hari ini.

Selain itu Jusoh juga menasihatkan para pegawai dan anggotanya untuk lebih komited ketika melaksanakan tugas dalam kawasan daerah ini demi membendung kenaikan kadar kes jenayah di sini.

Malahan beliau juga mahu semua pegawai dan anggotanya untuk tidak melakukan sebarang kegiatan atau perkara yang boleh menjejaskan nama IPD Sri Aman itu sendiri dari masa ke semasa.

“Jika perkara ini berlaku maka orang awam di daerah ini akan hilang kepercayaan terhadap peranan kita dalam menjaga keselamatan mereka. Maka adalah lebih baik setiap pegawai dan anggota menjaga disiplin masing-masing selepas ini,” katanya.

Terdahulu beliau telah menyampaikan sijil penghargaan kepada lapan orang anggota IPD Sri Aman di atas prestasi cemerlang masing-masing ketika melaksanakan tugas mereka sebelum ini.

Penerimanya adalah Sarjan Ng Annam, Kopral Rapian Morshidi, Lans Kopral Mual Landa, Lans Kopral Ambi Ason, Lans Kopral Clif Tagong, Lans Kopral Wanita Sibia Nyogem, Lans Kopral Andrew Roland dan Konstabel Murali a/l Muniandy.

Wartawan dari akhbar International Times atau Berita Petang iaitu Lim Sui Khiong juga turut menerima sijil penghargaan pada majlis itu. Turut menerima sijil itu ialah penulis sampingan bagi akhbar Utusan Borneo cawangan Sri Aman iaitu Kelvin Lambai anak Jimmy Hansen.

Tamat.


Gotong royong bersihkan Surau Kampung Tengah


Caption: UNTUK ALBUM Kamasita (belakang enam kiri) bersama para penduduk sedang bergambar kenangan sebelum bermulanya gotong royong membersihkan Surau Kampung Tengah di sini baru-baru ini.


Pix by ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Khamis (20 Ogos) – Sejumlah 30 penduduk melibatkan diri dalam aktiviti gotong-royong membersihkan Surau Kampung Tengah di sini baru-baru ini.

Aktiviti gotong royong membersihkan Surau Kampung Tengah ini adalah merupakan anjuran Kumpulan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Stawang dengan kerjasama Perkumpulan Persatuan Wanita Sarawak (PPWS) Kampung Tengah dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ranting Kampung Tengah.

Pengerusi aktiviti gotong-royong terbabit, Kamasita Wasli berkata aktiviti membersihkan kawasan Surau Kampung Tengah yang melibatkan penyertaan 30 penduduk ini telah bermula seawal jam 8 pagi sehingga ianya berakhir kira-kira jam 11.30 pagi.

“Tujuan utamanya aktiviti membersihkan surau ini dilaksanakan adalah untuk memeriahkan suasana sambutan Bulan Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi,” katanya.

Selain itu katanya aktiviti ini juga secara tidak langsung mampu mewujudkan semangat kerjasama dikalangan penduduk dalam melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan di masa akan datang.

Malahan kata Kamiasita aktiviti ini mampu mengeratkan lagi hubungan tali silaturahim dan semangat kekitaan dikalangan penduduk lebih-lebih lagi ketika menjelangnya sambutan Bulan Ramadhan ini nanti.

“Bersempena dengan sambutan Bulan Ramadhan ini kelak pihak kami juga akan mengadakan aktiviti memasak dan mengagihkan bubur lambuk seperti mana yang pernah kami lakukan pada tahun sebelumnya.

Justeru beliau berharap agar aktiviti seumpama ini dapat diadakan lagi di masa akan datang demi memuliakan sambutan kedatangan Bulan Ramadhan di daerah Sri Aman.

Tamat.








19 August, 2009

Hamren rayu kerajaan selaras elaun pencen pesara kerajaan


Mugshot: HAMRIN ABANG NARUDDIN

SRI AMAN, Rabu (19 Ogos) – Kisah mengenai luahan seorang pesara kerajaan iaitu Kalamanathan, 51, dari Kuala Lumpur mengenai isu bayaran pencen sebanyak RM244.67 sebulan seperti mana yang disiarkan dalam akhbar Eastern Times bertarikh 8 Jun lalu sememangnya menarik perhatian seorang pesara kerajaan dalam bandar Sri Aman ini.

Hamrin bin Abang Naruddin, 64, dari Kampung Hilir, Sri Aman telah meluahkan masalah berhubung isu tersebut apabila beliau juga hanya menerima bayaran pencen berjumlah RM563 sebulan setelah berkhidmat selama 22 tahun dengan Jabatan Pendidikan Sri Aman.

“Saya juga seorang pesara kerajaan. Jadi saya bersama 400 orang pesara kerajaan yang lain dari daerah ini merasakan bahawa kami juga berhak menikmati bayaran pencen sebanyak RM720 sebulan walaupun ia cuma layak untuk pesara yang sebelum ini berkhidmat lebih daripada 25 tahun dalam jabatan kerajaan,” katanya ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini.

Beliau yang mempunyai empat orang anak hasil perkongsian hidup dengan Bedah binti Salam, 79, terpaksa bertindak menjual kuih-muih di bandar Sri Aman memandangkan bayaran pencen berjumlah RM563 ini tidak memadai untuk menampung keperluan seisi keluarganya.

“Golongan pesara kerajaan seperti kami walaupun hanya berkhidmat kurang daripada 25 tahun juga perlu diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan sepertimana mereka membantu memberikan pampasan terhadap golongan Orang Kurang Upaya di negara ini.

“Kami pernah berbakti terhadap kerajaan. Justeru adalah wajar bagi pihak Kerajaan Pusat untuk menyeleraskan bayaran pencen kami sebelum ini kepada RM720 sebulan sejajar dengan misi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang berkonsepkan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan,” katanya.

Hamrin telah berkhidmat di Jabatan Pendidikan Sri Aman bermula pada tahun 1976 dahulu sebelum besara dari jabatan terbabit pada tahun 1998 dengan hanya menerima bayaran pencen sebanyak RM563 sebulan.

Beliau bersama isteri sehingga kini masih menanggung perbelanjaan anak bongsu mereka dan jumlah bayaran pencen yang tidak mencukupi itu menyebabkan Hamrin terpaksa mencari alternatif lain untuk menambah perbelanjaan iaitu dengan menjual kuih.

Tamat.


Jangan halang tugas pemaju kata Rayong


Caption: SELAMAT ULANGTAHUN...Dr Rayong (dua kiri) bersama Nyalau (tiga kiri) dan Tr Ragai (kiri sekali) sedang memotong kek sebagai tanda menyambut ulangtahun ke-7 penubuhan JKKK rumah panjang terbabit baru-baru ini.

pix n story by Edwin Raoh

ENGKILILI, Rabu (19 Ogos) – Penduduk kaum Iban terutamanya mereka menetap di kawasan rumah panjang diingatkan agar tidak menghalau pihak pemaju atau syarikat yang hendak melaksanakan projek kerajaan di kawasan rumah panjang masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa berkata demikian ekoran tindakan penduduk yang cuba membantah tindakan pihak pemaju dalam melaksanakan sesebuah projek pembangunan yang melintasi kawasan tanah mereka.

“Perbuatan seumpama itu bukan sahaja kurang bijak malah amat merugikan kerana seluruh penduduk di rumah panjang tersebut akan berasa ‘kempunan’ untuk menikmati faedah projek pembangunan kerajaan gara-gara disebabkan oleh masalah yang ditimbulkan oleh seorang atau dua orang individu.

“Merasai faedah pembangunan adalah lebih baik daripada tiada. Justeru adalah wajar seluruh penduduk rumah panjang itu sendiri memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap pemaju untuk merasakan sesuatu projek pembangunan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Pemimpin Bertemu Rakyat bertempat di Rumah Ragai, Duri Bangat anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ragai dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sarawak N.28 Engkilili baru-baru ini.

Selain itu Rayong juga menasihatkan penduduk Iban di kawasan rumah panjang agar menilai sedalam-dalamnya kebolehan pihak pembangkang dalam memimpin perjuangan kebajikan hidup mereka selepas ini.

Pihak pembangkang menurut beliau masih belum mampu menyaingi kebolehan pihak Barisan Nasional (BN) dalam memimpin negeri ini dan ia telah menerusi bukti kepesatan pembangunan yang dinikmati oleh Sarawak pada masa sekarang.

Justeru penduduk kaum Iban menurut Rayong perlu ‘mempertahankan’ nikmat yang kini mereka kecapi agar Sarawak dapat melangkah setapak lebih ke hadapan dalam arus permodenan negeri pada masa hadapan.

Rayong menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM7,000 kepada JKKK Rumah Ragai dan RM3,000 lagi kepada biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Parlimen JASA P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA N.28 Engkilili, Edwin Ancheh dan para kakitangan kerajaan dari sekitar daerah ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak itu dihadiri oleh 40 orang Tuai Rumah dan 700 orang penduduk dari sekitar rumah panjang di daerah kecil Engkilili ini.

Tamat.





.