Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 July, 2009

Tiba masa orang Penan di Ulu Belaga berpindah - Rohani




Caption:

1.MANFAATKAN...Rohani sedang menyampaikan zakat kepada seorang penerima sambil disaksikan oleh Mohammad Che (kiri) dan Romie (kanan) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

2.RASMI...Rohani sedang menyempurnakan simbolik perasmian Agrobank cawangan Pusa dengan memotong reben sambil disaksikan oleh Mohammad Che (belakang) dan Romie (kiri) ketika berlangsungnya majlis hari ini.

PUSA, Jumaat (31 Julai) – Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim mencadangkan penduduk kaum Penan dari enam buah kampung dalam kawasan penempatan semula di Ulu Belaga dipindahkan ke lokasi penempatan yang baru ekoran masalah kekurangan bekalan makanan yang berlaku di situ semenjak tiga bulan lepas.

Terdahulu Timbalan Menteri Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar, Datuk Joseph Entulu anak Belaun semalam memberitahu seramai 3,000 orang penduduk dari perkampungan Lusong Paku, Long Avit, Long Kajang, Long Tanyit, Long Malim dan Long Laden berdepan dengan masalah kebuluran semenjak bulan Februari tahun ini.

Para penduduk ini kemudiannya memakan ‘Linut’ iaitu makanan tradisional dari tepung sagu untuk terus ekoran huma (sawah padi) dan kebun mereka musnah di serang oleh haiwan liar terutama monyet ketika musim menuai padi pada bulan berkenaan.

“Ini masa yang sesuai untuk mereka (penduduk kaum Penan) untuk berpindah ke lokasi yang baru (siap dengan tapak penanaman kebun) memandangkan kawasan tanaman mereka kini berdepan dengan ancaman binatang liar.

“Namun urusan penyediaan kawasan penempatan baru untuk 3,000 penduduk kaum Penan yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan makanan ini terletak bawah kuasa Kerajaan Negeri...saya hanya mencadangkannya sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Industri dan Asas Tani berkata demikian ketika bercakap kepada pemberita di sidang media sebaik sahaja selesai menyempurnakan Majlis Perasmian Kiosk Pusa dan Penyerahan Wang Zakat Agrobank bertempat di perkarangan luar bangunan Sabior Land District, Pusa, Betong hari ini.

Selain itu pihak kementerian beliau juga akan bersedia bagi membantu agensi-agensi kerajaan bagi menangani masalah kekurangan bekalan makanan yang melanda penduduk kaum Penan dari enam buah perkampungan dalam kawasan penempatan semula di Ulu Belaga tersebut.

“Pihak Menteri Industri dan Asas Tani boleh menghulurkan bantuan makanan berupa beras, gula dan sebagai kepada penduduk kaum Penan yang terjejas akibat masalah kekurangan bekalan makanan ini.

“Bagaimanapun pihak kementerian tidak ada kuasa untuk menangani ancaman haiwan liar terutamanya monyet yang merosakkan tanaman mereka selama ini kerana ianya terletak di bawah kuasa pihak perhilitan,” tambah beliau lagi.

Terdahulu Rohani telah menyempurnakan majlis penyampaian wang Zakat Agrobank yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM16,000 kepada 100 orang penduduk, dua buah sekolah, dua buah surau dan sebuah masjid di Pusa.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel, Ketua Pegawai Sokongan Korporat Agrobank, Mohammad Che Taib, Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Betong, Wilson Engkabang, para penerima zakat dan kakitangan Agrobank dari beberapa buah cawangan dalam negeri ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment