Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 July, 2009

SUPP kini mengalas cabaran - Harden

SRI AMAN, Selasa (7 Julai) – Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) kini berdepan dengan cabaran untuk membawa pembangunan asas terhadap rakyat di kawasan pedalaman terutama sekali menerusi perlaksaan Gelombang Kedua Politik Pembangunan di negeri ini.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata cabaran itu muncul apabila rakyat pada masa sekarang memperlukan perkhidmatan yang lebih berkualiti, cepat dan tepat di kawasan masing-masing.

“Rakyat pada hari ini berani bertanyakan hak mereka kepada kerajaan. Oleh itu kita haruslah mendekatkan diri terhadap rakyat dengan berpegang kepada slogan ‘Rakyat Didahului’ yang diketengahkan menerusi konsep 1 Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi SUPP cawangan Simanggang berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersempena dengan Ulangtahun Ke-50 Penubuhan Parti SUPP cawangan Lingga dan Simanggang bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Untuk menjadikan peranan diri masing-masing dengan lebih berkesan kata Harden, setiap ahli SUPP haruslah mempunyai ciri-ciri asas yang kukuh seperti semangat bekerjasama, berpasukan dan bertanggungjawab.

“Kita harus berpegang kepada cogan kata Sa’ati dan kebudayaan parti kita dengan membuat sesuatu keputusan itu secara menyeluruh demi kebaikan setiap ahli dan rakyat di bawah kita.

“Justeru atas sebab ini saya meminta semua rakan seperjuangan dalam SUPP untuk menunaikan segala percakapan kita terhadap rakyat agar mereka terus memberikan sokongan dan keyakinan terhadap parti sepanjang masa,” katanya.

Majlis Makan Malam bersempena dengan Ulangtahun Ke-50 Penubuhan Parti SUPP cawangan Lingga dan Simanggang bertempat di Dewan Suarah Sri Aman itu telah dirasmikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Presiden SUPP, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam.

Hadir sama ialah Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Kesihatan Awang, Datuk David Teng, Menteri Muda Perumahan, Datuk Dr Soon Choon Teck, para wakil rakyat BN, pemimpin parti peringkat cawangan dan pegawai kerajaan di daerah ini.

Majlis pada malam itu diserikan dengan persembahan kebudayaan, nyanyian lagu karaoke, penyampaian cenderamata kepada ahli veteran SUPP Simanggang, pelancaran buku sejarah pengenalan SUPP, majlis angkat sumpah bagi Ahli Jawatankuasa baru SUPP cawangan Simanggang dan Lingga.

Tamat.



No comments:

Post a Comment