Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 July, 2009

sarawakupdate dakwa perang DAP-PKR gimik politik semata-mata

SRI AMAN, Selasa (14 Julai) – Laman sarawakupdate.com.my hari ini mendakwa ‘sengketa’ yang berlaku antara Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti KeAdilan Rakyat (PKR) di Selangor pada masa sekarang adalah merupakan satu gimik politik semata-mata.

Abdul Hakim Bujang ketika diminta untuk mengulas lebih lanjut mengenai kenyataannya di sarawakupdate.com mendakwa bahawa DAP dan PKR menjadikan perang politik ini sebagai satu strategi untuk memerangkap pihak Barisan Nasional (BN).

“Mereka mahu BN terlalu yakin bahawa kerajaan pakatan pembangkang kini kian rapuh. Apabila ianya berlaku mereka berharap agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan pilihan raya umum dan negeri secara serentak selepas ini.

“Bagi saya ini perangkap politik oleh pemimpin de facto mereka iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim. Mereka mahu BN tidak dapat memberi fokus terhadap semua kawasan pilihan raya di negara ini sehingga memberi laluan terhadap mereka untuk mengurangkan kuasa BN di parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.

Sengketa politik yang sama juga menurut beliau berlaku di Sarawak apabila Pengerusi PKR Kuching, Dominique Ng bertelagah dengan bekas rakan perjuangan DAP iaitu Chong Siew Chiang dan anaknya Chong Chien Jeng.

Perkelahian politik antara pihak pembangkang yang berlaku di Selangor, Kedah dan Sarawak ini menurut beliau menguatkan lagi dakwaannya bahawa pihak terbabit sedang mencuba senjata sulit politik mereka bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Lagipun sekarang ini stesen televisyen milik orang Arab iaitu Al Jazeera juga sering menyiarkan dokumentari yang memburuk-burukkan negeri Sarawak.

“Bagaimanapun yang amat peliknya di sini ialah stesen televisyen berkenaan mengupah ‘mat salleh’ untuk menjayakan dokumentari berkenaan sedangkan orang Arab di Iraq dan Afghanistan sekarang ini pun sedang teruk diperlakukan oleh orang Amerika Syarikat,” katanya.

Justeru Hakim berharap agar BN tidak mudah terpedaya dalam perangkap politik berkenaan lebih-lebih lagi ketika menjelangnya musim pilihan raya yang dijangka bakal berlangsung dalam tempoh satu atau dua tahun mulai sekarang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment