Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 July, 2009

Muafakat majukan kawasan - Masir


Caption:
TOPI PUN TOPILAH...Masir (tiga kanan) dan Harden (dua kiri) ketika sedang menerima cenderamata daripada Penghulu Jacob dan Tr Serit ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.Foto: ZULIA JACKMAN

SRI AMAN, Selasa (14 Julai) – Rakyat di sekitar daerah Sri Aman dinasihatkan agar sentiasa bermuafakat di antara satu sama lain sekiranya mereka ingin menikmati faedah pembangunan berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk sepanjang masa.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat berkata, sikap muafakat amat penting untuk diamalkan oleh semua golongan rakyat dalam daerah ini demi memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai pelan pembangunan yang mencakupi aspek politik, ekonomi dan sosial.

“Kerajaan di bawah teraju komponen parti Barisan Nasional (BN) telah merancang dan melaksanakan pelbagai pelan pembangunan yang mampu menaikkan taraf hidup penduduk di sekitar daerah ini termasuk projek penanaman sawit, pembinaan jalan kampung, pembinaan kemudahan sekolah dan pelbagai lagi.

“Tetapi rakyat di sini tidak akan dapat menikmati semua faedah pembangunan berkenaan sekiranya mereka tidak muafakat di antara satu sama lain dan sering bertelagah disebabkan oleh kepentingan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Tagang 2009 bertempat di Sungai Batang Undop, Batu Lintang, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu katanya terdapat segelintir kecil rakyat yang menentang rancangan kerajaan untuk melaksanakan pelan pembangunan di daerah ini disebabkan oleh hasutan sesetengah pihak tertentu yang tidak sukakan kerajaan BN.

“Gara-gara terlalu mengikut ‘telunjuk jari’ pihak anti kerajaan, golongan rakyat yang menerima hasutan seumpama ini akhirnya menanggung kerugian berbanding mereka telah yang bekerjasama dengan kerajaan untuk menerimanya.

“Suka atau tidak mereka yang tidak menerima pelan pembangunan kerajaan juga terpaksa akur bahawa projek pembangunan kerajaan memberikan tempias kepada mereka kerana nikmat pembangunan itu diterima oleh semua rakyat secara keseluruhannya,” katanya.

Justeru Masir berharap agar semua rakyat di daerah Sri Aman menghargai semua hasil projek pembangunan yang telah diberikan oleh kerajaan kepada mereka dan tidak sesekali mudah menerima hasutan pihak pembangkang di masa akan datang.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis merasmikan program tagang berkenaan telah mengumumkan peruntukkan bernilai RM10,000 kepada dua buah rumah panjang yang terlibat dalam projek berkenaan bagi tahun 2010 manakala Masir pula mengumumkan peruntukkan bernilai RM5,000 bagi tahun ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment