Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 July, 2009

Laluan pejalan kaki di Jalan Club, bandar Sri Aman perlu diperbaiki


Caption: PERLU PERHATIAN...Kerosakan laluan pejalan kaki di Jalan Club ini dirakam semasa berlangsungnya sambutan Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (28 Julai) – Orang ramai meminta jasa baik pihak berkuasa tempatan di bandar ini untuk memperbaiki semula laluan pejalan kaki di Jalan Club berhampiran simpang jalan menuju ke Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman yang telah rosak lebih setahun lalu.

Orang ramai ketika ditemui pemberita apabila berlangsungnya sambutan Karnival Pesta Ikan Bulu Sri Aman 2009 baru-baru ini didapati merungut mengenai kerosakan laluan pejalan kaki di situ yang ternyata menyusahkan pergerakan mereka di kawasan itu.

Paul Langgang, 19, berkata kerosakan laluan pejalan kaki terbabit menyebabkan beliau sering menyimpang ke laluan jalan raya yang secara tidak langsung boleh mengundang bahaya kemalangan jalan raya terhadap dirinya selama ini.

“Saya sering berjalan kaki ke wharf (Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman) pada waktu petang bersama rakan-rakan dengan menggunakan laluan pejalan kaki di sepanjang Jalan Club terbabit.

“Bagaimanapun terdapat satu bahagian kerosakan laluan pejalan kaki di situ yang menyebabkan saya dan rakan-rakan memasuki laluan jalan raya untuk menuju ke Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman sebelum ini,” katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya dikenali sebagai Amin mendakwa bahawa beliau pernah ternampak seorang remaja lelaki tersadung di laluan pejalan kaki berkenaan ketika berlangsungnya Karnival Pesta Ikan Bulu 2009 ini tadi.

Pihak berwajib menurut beliau harus memberi fokus untuk memperbaiki semula kerosakan laluan pejalan kaki tersebut ekoran kemalangan kecil yang membabitkan remaja lelaki berkenaan ketika berlangsungnya pesta terbabit.

“Paling penting ialah keselesaan untuk penduduk di bandar ini. Kerosakan laluan pejalan kaki ini harus dipandang serius oleh semua pihak demi mengelakkan berlakunya kejadian yang lebih buruk di masa akan datang,” menurut beliau.

Tamat.

No comments:

Post a Comment