Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

13 July, 2009

Jangan emosi buang undi nasihat Awang


Caption: MANFAATKAN..Awang Tengah sedang menyampaikan geran kerajaan kepada salah seorang wakil JKKK ketika berlangsungnya majlis itu di Dewan Madrasah, Kampung Melayu, Lubok Antu hari ini.

LUBOK ANTU, Isnin (13 Julai) – Penduduk dinasihatkan agar tidak terlalu mudah emosional ketika membuat segala keputusan bercorak politik acapkali berlangsungnya sesebuah pilihan raya di negeri ini.

Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Haji Awang Tengah bin Ali Hasan berkata ini kerana faktor emosional dalam membuat keputusan bercorak politik ketika menjelang sesuatu pilihan raya itu boleh menentukan masa depan golongan generasi muda di negeri ini.

“Ada penduduk yang bertindak mengundi pihak pembangkang secara melulu kerana tidak berpuashati dengan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) ataupun yang marah setelah mindanya dipengaruhi oleh kata-kata hasutan pihak tertentu.

“Jangan biarkan sikap emosi menguasai diri anda ketika membuat keputusan sebegini kerana masa depan pembangunan golongan generasi muda bergantung sepenuhnya kepada keputusan yang kita buat ketika berlangsungnya pilihan raya itu,” menurut beliau.

Awang Tengah menambah bahawa pengumuman peruntukkan bernilai ratusan juta ringgit seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk kawasan Lubok Antu pada 18 Jun lalu menunjukkan bahawa hanya BN sahaja yang mampu melaksanakan projek pembangunan di egeri ini.

Beliau yang juga Menteri Kemudahan Awam berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Berjumpa Rakyat dan Penyampaian Geran Kerajaan 2009 bertempat di Dewan Madrasah, Kampung Melayu, Lubok Antu hari ini.

Selain itu kawasan Batang Ai menurut Awang Tengah juga mula terkenal di Malaysia sebaik sahaja selesai pilihan raua kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan berkenaan pada 7 April.

Populariti Batang Ai menurut beliau mula meningkat di seluruh negara apabila kerajaan Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya Malcom Mussen Lamoh berjaya mempertahankan kerusi DUN terbabit daripada calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) iaitu Jawah Gerang dengan kelebihan 1,854 majoriti undi.

“Pilihan Raya kecil DUN Batang Ai menjadi fokus utama dikalangan seluruh penduduk dalam negara ini apabila ianya menjadi gelanggang satu lawan satu di antara BN dan PKR.

“Bagaimanapun BN menang dalam perlawanan itu. Kelebihannya di sini ialah pilihan raya kecil DUN Batang Ai secara tidak langsung mempromosi kawasan ini ke peringkat lebih tinggi berbanding dahulu,” katanya.

Ianya menurut Awang turut disokong dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang datang menjengok ke kawasan Batang Ai, Lubok Antu pada 18 Jun lepas.

Terdahulu beliau telah menyampaikan geran bernilai RM1.3 juta yang mencakupi 100 buah jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) dan pertubuhan dari sekitar kawasan Batang Ai menerusi majlis yang berlangsung di Kampung Melayu, Rumah Ungkie (Tabau), Rumah Isau (Mepi Pasir) dan Rumah Lagan (Empit) hari ini.

Beliau juga turut mengumumkan peruntukkan bernilai RM300,000 bagi tujuan naiktaraf sisitem peparitan di Kampung Melayu Lubok Antu daripada Jabatan Pengairan dan Saliran dan RM60,000 lagi untuk naiktaraf masjid di kampung berkenaan.

Hadir sama ialah Menteri Muda Perancangan dan Pengurusan Sumber, Haji Mohd Naroden Majais, Speaker Dewan Undangan Negeri, Dato Sri Mohd Asfia Awang Nasar, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau Badak, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen Lamoh dan ADUN Jemoreng, Abu Seman Jahwie.

Tamat.

2 comments:

  1. Saya begitu gembira kerana dapat mengetahui perkembangan Bahagian Sri Aman melalui blog ini walaupun saya berada berada di semenanjung. Semoga blog ini akan terus kekal dan memberikan maklumat yang terkini di Sri Aman.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih di atas komen saudara / saudari.
    Blog ini diwujudkan secara sukarela oleh penulis bagi menghimpunkan berita bukan sahaja dari Utusan Sarawak malahan juga dari Utusan Borneo bagi cawangan daerah Sri Aman ini. Diharap agar saudara / saudari dapat memperkembangkan blog ini kepada rakan2 saudara yang mempunyai pertalian dengan daerah yang dimaksudkan.

    Thanks a lot.

    ReplyDelete