Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

31 July, 2009

Dana RM320 juta untuk pengusaha hasil sejuk beku laut dalam dan akuapuntur - Rohani

PUSA, Jumaat (31 Julai) – Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM320 juta bagi membantu pengusaha hasil sejuk beku laut dalam dan akuapuntur di negara ini menepati syarat eksport produk masing-masing ke Kesatuan Eropah (EU) selepas ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Hajah Rohani binti Abdul Karim berkata daripada jumlah terbabit, RM160 juta adalah merupakan dana yang disalurkan menerusi Agrobank manakala selebihnya pula adalah daripada kerajaan.

“Pihak EU sebelum ini telah memperkenalkan 14 buah prosedur yang sangat ketat untuk pengusaha hasil sejuk beku laut dalam dan akuapuntur di seluruh dunia yang mahu mengeksport hasil sejuk beku laut ke negara kesatuan berkenaan dan kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka mengharamkan eksport pengusaha tersebut ke EU.

“Justeru penyediaan dana secara tidak langsung akan membolehkan para pengusaha kita menyediakan segala prasarana atau kemudahan bagi tujuan penghasilan produk masing-masing yang mematuhi kesemua 14 buah prosedur eksport ke EU selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai menyempurnakan Majlis Perasmian Kiosk Pusa dan Penyerahan Wang Zakat Agrobank bertempat di perkarangan luar bangunan Sabior Land District, Pusa, Betong hari ini.

Selain itu katanya sehingga kini terdapat sejumlah 18 buah syarikat pengusaha hasil sejuk beku laut dalam dan akuapuntur di Malaysia yang telah memohon bantuan dana bagi tujuan berkenaan sebelum ini.

Daripada jumlah keseluruhan syarikat pengusaha yang memohon dana terbabit ini kata Rohani, dua daripadanya tersebut sudah pun diluluskan permohonan dana yang mencapai nilai keseluruhan berjumlah RM7 juta.

“Bagaimanapun pihak Agrobank perlu memastikan syarikat pengusaha yang memohon dana terbabit mematuhi kesemua 14 buah syarat yang dikehendaki oleh EU bagi tujuan eksport hasil sejuk beku laut dalam dan akuapuntur mereka ke sana,” katanya.

Terdahulu Rohani telah menyempurnakan majlis penyampaian wang Zakat Agrobank yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM16,000 kepada 100 orang penduduk, dua buah sekolah, dua buah surau dan sebuah masjid di Pusa.

Hadir sama ialah Residen Bahagian Betong, Romie Sigan Daniel, Ketua Pegawai Sokongan Korporat Agrobank, Mohammad Che Taib, Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Betong, Wilson Engkabang, para penerima zakat dan kakitangan Agrobank dari beberapa buah cawangan dalam negeri ini.

Tamat.









No comments:

Post a Comment