Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

28 July, 2009

Bulan Sabit Merah bagi sumbangan kepada mangsa kebakaran Buyong Panjai


Caption: PRIHATIN...Mas Mashore (tengah) bersama Tr Kiling (baju hitam) dan para ahli BSM cabang Sri Aman bergambar di hadapan barangan bantuan kepada mangsa kebakaran lewat petang kelmarin.

BETONG, Selasa (28 Julai) – Kejadian kebakaran yang memusnahkan Rumah Kiling, Buyong Panjai, Lidong, Skrang, Betong lewat petang hari Ahad lalu telah mendapat simpati daripada Bulan Sabit Merah (BSM) cabang Sri Aman apabila pertubuhan tersebut menyampaikan bantuan kepada keluarga mangsa lewat petang kelmarin.

Rombongan BSM cabang Sri Aman yang diketuai oleh Pengerusi Bencana Alam, Mas Mashore Haji Maslem ketika turun padang ke lokasi kejadian telah menyampaikan sumbangan berupa beras, mee segera dan pakaian terpakai kepada 200 orang mangsa kejadian kebakaran berkenaan.

Hadir sama ketika menyampaikan bantuan berkenaan ialah Naib Pengerusi II BSM cabang Sri Aman, Paul Lu, Bendahari Kehormat, Tay Soon Seng dan para ahli BSM cabang Sri Aman yang lain.

Mashore ketika ditemui menjelaskan bahawa sumbangan ini bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang dilanda musibah berhubung kejadian malang tersebut.

“Dengan adanya bantuan berupa makanan dan pakaian terpakai ini, pihak BSM cabang Sri Aman berharap agar semua mangsa yang terlibat dapat memanfaatkan barangan terbabit sebaik yang mungkin,” menurut beliau.

Beliau juga berharap agar orang awam, kakitangan kerajaan dan individu badan bukan kerajaan untuk tampil menyumbangkan pakaian terpakai kepada pihak BSM cabang Sri Aman bagi disalurkan terhadap para mangsa kebakaran terbabit kelak.

Justeru mereka yang mahu berbuat demikian boleh menghubungi BSM cabang Sri Aman ketika waktu pejabat dari jam 2 petang hingga 5 petang menerusi talian telefon 083-323628 atau menghubungi beliau sendiri di talian 013-5798912.

Terdahulu sejumlah 28 buah pintu rumah panjang Buyong Panjai musnah menerusi kejadian kebakaran yang dipercayai muncul dari kawasan beranda atas keluarga Tanang Sa bermula jam 6 petang pada hari Ahad lalu.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Betong yang menerima panggilan kecemasan pada jam 6.22 petang itu kemudiannya berjaya mengawal api kebakaran dalam tempoh 50 minit dengan kekuatan 14 orang anggota dan dua trak jentera pemadam kebakaran.

Tamat.

No comments:

Post a Comment