Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 July, 2009

80 peratus kawasan N.27 Simanggang bakal terima elektrik


Caption: PENGHARGAAN...Harden (kanan) dan Masir (kiri) sedang menerima cenderamata daripada Tr Maja dan timbalan JKKK rumah panjang berkenaan ketika berlangsungnya majlis lewat petang kelmarin.

SRI AMAN, Jumaat (17 Julai) – Kemudahan Bekalan Elektrik Luar Bandar (RES) dijangka akan meliputi hampir 80 peratus kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang jika peruntukkan penyediaan kemudahan elektrik terhadap 168 buah keluarga di kawasan Batu Lintang, Sri Aman ini sudah diluluskan kelak.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat 2009 bertempat di Rumah Maja anak Bala, Kenyungan, Batu Lintang, Sri Aman lewat petang kelmarin.

“Kesemua 168 keluarga ini yang telah memohon RES sebelum ini adalah merupakan mereka yang tinggal bermula dari kawasan Nanga Klassin hingga ke Rumah Richard dalam kawasan Batu Lintang, Sri Aman.

“Usaha penyediaan kemudahan RES terhadap 168 keluarga ini di Batu Lintang akan mula dilaksanakan sekiranya kita sudah mendapat peruntukkan daripada pihak kerajaan kelak,” katanya tanpa menyatakan baki 20 peratus kawasan DUN Simanggang yang belum lagi menerima kemudahan RES ini.

Sementara itu beliau yang juga ADUN Simanggang mahu semua Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan ini agar tidak mudah puas dengan segala kejayaan yang mereka kecapi.

JKKK menurut Harden perlu lebih aktif dalam melaksanakan pelbagai aktiviti bercorak sosial dan ekonomi sebelum mereka mempunyai cukup pengalaman untuk meningkatkan status pembangunan di kawasan pentadbiran masing-masing.

“Justeru saya menyarankan setiap JKKK di kawasan DUN Simanggang agar lebih kerap mengadakan perbincangan di antara satu sama lain untuk mengetahui usaha terbaik bagi memajukan kawasan masing-masing,” katanya.

Harden menerusi majlis itu mengumumkan peruntukkan bagi tahun 2010 bernilai RM3,000 kepada JKKK Rumah Maja manakala RM2,000 lagi untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat yang turut hadir pada majlis itu turut mengumumkan nilai jumlah peruntukkan yang sama untuk tahun 2010 kepada JKKK dan biro wanita rumah panjang berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Residen Sri Aman (Bahagian Pembangunan Sosial), Felicia Tan, Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Sri Aman Parlimen P.202 Sri Aman, Whelton Lumpoi, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat.



No comments:

Post a Comment