Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

07 June, 2009

Taib - amalan kerajaan demokrasi Malaysia terbaik

SRI AMAN, Sabtu (6 Jun) – Amalan sistem kerajaan demokrasi dan Raja Berpelembagaan merupakan satu amalan yang terbaik dan menjadi satu kebanggaan bagi semua rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud berkata Amalan sistem kerajaan demokrasi dan Raja Berpelembagaan terserlah menerusi sambutan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang diraikan pada setiap tahun di negara ini.

“Amalan sistem kerajaan demokrasi dan Raja Berpelembagaan secara tidak langsung telah menyatupadukan seluruh rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

“Semoga dengan dengan suasana aman, sejahtera dan makmur yang berterusan dalam negara ini membolehkan kerajaan untuk melaksanakan konsep 1Malaysia bagi kebaikan semua rakyat,” katanya.

Taib berkata demikian menerusi perutusan dalam buku Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak yang diperoleh pada Majlis Jamuan Teh bersempena sambutan hari berkenaan di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu rakyat Sarawak menurut beliau juga telah menyaksikan transformasi besar kepada pembangunan dalam negeri ini hasil amalan sistem demokrasi yang terus memberi ruang kepada rakyat untuk sama-sama menjayakannya dari masa ke semasa.

“Lagipun kehormanian tanpa mengira pegangan agama, kaum dan politik adalah merupakan tonggak utama di Sarawak yang telah banyak membantu rakyat untuk mengecapi keamanan, kemajuan serta pembangunan yang sedia ada pada hari ini.

“Oleh itu, berlandaskan kepada komitmen yang jitu, rakyat harus memperlengkapkan diri untuk menghadapi semua cabaran yang mendatang agar kemajuan dan pembangunan di negeri ini dapat dikekalkan,” katanya.

Terdahulu Yang Dipertua Negeri, Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin bersama isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Hajah Norkiah telah merasmikan Majlis Jamuan Teh yang diadakan bersempena dengan Hari Keputeraan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-XIII Peringkat Negeri Sarawak di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Taib telah diwakili oleh Menteri Perumahan, Menteri Perumahaan, Datuk Amar Abang Haji Abdul Rahman Zohari Tun Abang Haji Openg pada majlis itu.

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Wilson Baya Dandot, Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Haji Bolhassan Di, wakil rakyat, para pegawai tinggi kerajaan dan ketua kaum dari daerah ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment