Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

10 June, 2009

Sekolah itu gedung ilmu kata Nyalau

SRI AMAN, Rabu (10 Jun) - Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak menasihatkan ibu bapa agar tidak keberatan menghantar anak-anak ke sekolah kerana ia merupakan ‘gedung ilmu’ sebagai langkah persiapan awal bagi menghadapi cabaran masa hadapan.

Kata beliau, penyertaan anak-anak ke sekolah adalah amat penting supaya mereka apabila sudah dewasa kelak mampu bersaing dengan belia lain untuk merebut peluang pekerjaan yang diwujudkan oleh pihak kerajaan atau syarikat swasta di negeri ini.

“Ada golongan ibubapa yang gagal menghantar anak-anak ke sekolah dengan sebab bahawa mereka tidak mempunyai asas kewangan yang cukup untuk menampung keperluan pembelajaran anak-anak.

“Alasan seumpama ini tidak masuk akal kerana kerajaan menerusi kementerian pelajaran telah pun menyediakan pelbagai bantuan berupa wang, keperluan pakaian dan alat tulis kepada pelajar yang tidak mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Sukan Darat Sekolah Rendah (SK) Empelam dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Sambil menyifatkan pendidikan dapat mengeluarkan penduduk dari kelompok kemiskinan, penduduk kata Nyalau harus sedar bahawa pendidikan itu juga merupakan keperluan utama dalam diri anak-anak.

Tanpa pendidikan kata beliau, anak-anak akan ketinggalan berbanding mereka yang berjaya mengecapi kejayaan dalam bidang pendidikan di negeri ini apabila Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 kelak.

“Anak-anak adalah pewaris kepimpinan negara pada masa akan datang. Justeru harapan saya ialah agar ibubapa serius menghantar anak-anak ke sekolah demi memenuhi keperluan modal insan di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Engkilili, Dr Johnnical Rayong Ngipa, Pegawai Penerangan Parlimen P.203 Lubok Antu, Geoffery Baja anak Ricky Maba, Pembantu Luar Kanan JASA Engkilili, Edwin Ancheh dan para ketua kaum dari sekitar daerah kecil berkenaan.
Tamat.









No comments:

Post a Comment