Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 June, 2009

Sedia bangunkan tanah - Nyalau

Edwin Raoh
ENGKILILI, Jumaat (26 Jun) - Masyarakat Dayak terutamanya kaum Iban yang memiliki Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang luas di negeri dinasihat agar bersedia untuk memajukan tanah mereka itu menerusi projek pertanian secara komersial kata Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak.

Masyarakat kaum Iban katanya memiliki tanah yang luas selama ini dan adalah amat wajar sekiranya mereka memajukan tanah itu dengan mengusahakan projek penanaman kelapa sawit dan lain-lain bentuk projek pertanian komersial.

“Mereka boleh menjayakan rancangan itu menerusi kerjasama dengan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak (SALCRA) bagi tujuan projek pertanian komersial di atas tanah mereka.

“Ianya dilihat lebih baik untuk tujuan peningkatan taraf ekonomi keluarga pemilik tanah terbabit daripada membiarkan tanah itu tidak dikerjakan serta tidak mengeluarkan hasil kepada keluarga mereka sendiri,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jalan Kampung di Balai Raya Memaloi, Skrang, dalam daerah kecil Engkilili, Sri Aman baru-baru ini.

Pihak SALCRA menurut Nyalau telah banyak mengubah serta menaikkan taraf hidup masyarakat di luar bandar apabila mereka dapat menerima dividen wang hingga mencecah puluhan ribu ringgit untuk setiap rumah panjang dalam tempoh setahun.

“Saya berasa gembira apabila mendengar masyarakat rumah panjang Asan, Memaloi yang menyertai SALCRA pada tahun lalu telah menerima kira-kira sepuluh ribu ringgit untuk sebuah keluarga.

“Ini satu bukti bahawa projek pembangunan tanah terhadap pemilik tanah NCR mampu memberikan hasil terhadap mereka sendiri dan sekaligus juga mampu memberi pendapatan yang lumayan kepada para peserta yang SALCRA,” katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menghalang tindakan masyarakat luar bandar untuk mengusahakan tanah mereka secara kecil-kecilan sekiranya mempunyai jumlah modal yang cukup untuk memajukan tanah yang terbiar itu secara sendirian.

Dalam majlis itu Nyalau mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM10,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Asan, Memaloi manakala RM3,000 pula untuk biro wanita rumah panjang terbabit.

Turut hadir dalam majlis Ahli Dewan Undangan Negeri Engkilili Dr Johnical Rayong anak Ngipa dan para ketua kaum yang lain.

Tamat…..

No comments:

Post a Comment