Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

12 June, 2009

Program Derma Darah di Library MDSA pada 14 Jun ini


Caption: IKHLAS...Franky (tengah) ketika sedang menyampaikan produk minuman tajaan daripada syarikat IDS kepada pihak Bulan Sabit Merah Sri Aman di sini hari ini.

SRI AMAN, Khamis (11 Jun) – Orang ramai dipelawa untuk menyertai Kempen Derma Darah anjuran Bank Darah Sri Aman dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Bahagian Sri Aman pada 14 Jun ini.

Kempen derma darah yang akan berlangsung di kawasan perkarangan tingkat bawah bangunan Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman akan bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari.

“Kempen Derma Darah anjuran Bank Darah Sri Aman dengan kerjasama Bulan Sabit Merah Bahagian Sri Aman ini sebenarnya diadakan bersempena dengan Hari Penderma Darah Sedunia pada 14 Jun setiap tahun.

“Dengan kata lain aktiviti kempen derma darah ini akan diadakan serentak di seluruh dunia. Jadi pihak kami berharap agar orang ramai dapat hadir untuk menjayakan aktiviti kempen derma darah berkenaan,” kata Naib Pengerusi II Bulan Sabit Merah, Paul Lu ketika ditemui hari ini.

Selain itu orang ramai yang telah melibatkan diri dalam Kempen Derma Darah ini menurut beliau akan memperoleh sijil penghargaan daripada Ibupejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah.

“Buktikan bahawa anda sebagai rakyat Malaysia yang prihatin. Hadirlah pada kempen derma darah ini nanti bagi menampung keperluan Bank Darah demi membantu mereka yang memerlukan,” katanya.

Terdahulu syarikat IDS telah menaja minuman Malta dan Milo bagi tujuan kegunaan Kempen Derma Darah di kawasan perkarangan tingkat bawah bangunan Perpustakaan Majlis Daerah Sri Aman pada tarikh itu nanti.

Produk minuman Malta dan Milo itu telah disampaikan oleh pengurus syarikat IDS, Franky kepada Bulan Sabit Merah yang diwakili oleh Paul Lu, setiausahanya Charles Tay, Pegawai Perhubungannya, Tan Chun Peng dan para ahli jawatankuasa yang lain.

Tamat.


No comments:

Post a Comment