Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

23 June, 2009

Program Bicara Gemilang di Strap, Pantu 30 Jun ini

SRI AMAN, Selasa (23 Jun) – Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Bahagian Sri Aman akan mengadakan Program Bicara Gemilang bertempat di Rumah Ukat, Jaong Strap, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman pada 30 Jun ini.

Penyelia JASA Bahagian Sri Aman, Whelton anak Lumpoi, ketika dihubungi hari ini berkata Program Bicara Gemilang itu bertujuan untuk membolehkan para pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) menerangkan lebih lanjut tentang dasar-dasar kerajaan terhadap rakyat dari sekitar daerah Sri Aman ini.

“Menerusi Program Bicara Gemilang 2009 yang akan bermula seawal jam 11 pagi pada 30 Jun ini kelak, penduduk khususnya dari sekitar daerah kecil Pantu berpeluang untuk mendengar tentang dasar-dasar pembangunan kerajaan yang akan disampaikan sendiri oleh para wakil rakyat BN.

“Penduduk menerusi majlis ini juga berpeluang untuk meluahkan pandangan dan persoalan (menerusi ketua masyarakat) mengenai hal pembangunan kepada para wakil rakyat mereka,” katanya.

Selain itu kata Whelton, Program Bicara Gemilang 2009 ini secara tidak langsung memberikan peluang kepada penduduk dari sekitar daerah terbabit untuk mengenali sebahagian daripada barisan pemimpin BN mereka dengan lebih dekat.

Dengan adanya perkenalan rapat di antara masyarakat dan pemimpin, jalinan kerjasama yang erat di antara kedua-dua pihak ini katanya akan wujud dan seterusnya membolehkan kerajaan melaksana pelbagai program pembangunan di masa akan datang.

“Hubungan kerjasama di antara penduduk dan kerajaan adalah merupakan satu faktor yang sangat penting bagi membolehkan segala projek pembangunan dilaksanakan dengan lancar oleh kerajaan BN di daerah ini.

“Oleh itu harapan pihak kami ialah agar penduduk dapat mengambil kesempatan menerusi program ini untuk memahami serta mengetahui lebih lanjut tentang dasar pembangunan kerajaan demi kebaikan diri masing-masing di masa akan datang,” katanya.

Program Bicara Gemilang 2009 anjuran JASA di Program Bicara Gemilang bertempat di Rumah Ukat, Jaong Strap ini kelak akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Tamat.


No comments:

Post a Comment