Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 June, 2009

Pertandingan Music Fest sempena Pesta Ikan Bulu 25 - 26 Julai

SRI AMAN, Khamis (25 Jun) – Sambutan Pesta Ikan Bulu 2009 di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman bakal dimeriahkan lagi dengan penganjuran Pertandingan Polynemus Music Fest (Rentak Juara) dan Bakat Terbuka bermula 25 hingga 26 Julai nanti.

Pengurus Pertandingan Polynemus Music Fest, Awang Kelana Awang Mahuddin ketika dihubungi berkata pertandingan itu bertujuan untuk mencungkil bakat orang ramai dalam bidang persembahan musik, silap mata, lawak jenaka, pakaian beragam, pentomen dan lain-lain lagi.

“Polynemus Music Fest misalannya memberi peluang kepada orang ramai khususnya para belia untuk mencuba bakat kumpulan masing-masing menerusi persembahan nyanyian serta muzik.

“Pertandingan ini hanya dibuka kepada kumpulan dari Sri Aman dan Betong sahaja. Menerusi bayaran penyertaan sebanyak RM80 (satu kumpulan), setiap kumpulan hanya dibenarkan mempunyai sebanyak enam orang anggota,” menurut beliau.

Setiap kumpulan menurut Awang harus mempersembahkan Lagu Wajib menerusi genre muzik Slow Rock, Pop Rock, Dangdut atau 60-an namun kumpulan terbabit bebas memilih lagu persembahan masing-masing untuk Lagu Pilihan.

Bagaimanapun setiap kumpulan tidak dibenarkan mempersembahkan lagu bercorak Heavy Metal, berunsur perkauman, unsur dadah dan memuja syaitan walaupun mereka dikehendaki mempersembahkan Lagu Wajib dan Lagu Pilihan pada pertandingan itu nanti.

Hanya 10 buah kumpulan terbaik sahaja yang terpilih untuk ke peringkat akhir Pertandingan Polynemus Music Fest 2009 bersempena dengan sambutan Pesta Ikan Bulu 2009 (24 – 26 Julai) ini nanti.


“Menariknya di sini ialah Pertandingan Bakat Terbuka untuk penduduk Sri Aman dan Betong. Menerusi wang penyertaan sebanyak RM10 seorang, mereka boleh mencuba apa jua jenis bakat mereka menerusi pertandingan itu nanti,” katanya.

“Justeru mereka yang berminat boleh mendapatkan borang penyertaan di Pejabat Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman atau datang sendiri ke Studio Kelana Audio 21B, Apartment Srijaya Park, Sri Aman mulai sekarang,” katanya.

Mereka yang berminat tambah Awang digalakkan untuk menghubunginya sendiri di talian telefon 019-4386432 dan Alhias Muhi di talian telefon 013-8168821 bagi tujuan pertanyaan lanjut serta perolehan borang penyertaan.

“Tarikh tutup penyertaan ialah pada 20 Julai jam 12.30 tengahari. Juara Pertandingan Polynemus Music Fest akan mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta piala, naib johan RM350 beserta piala, tempat ke-3 RM250 beserta piala dan dua hadiah saguhati bernilai RM100.

“Manakala juara Pertandingan Bakat Terbuka pula akan memenangi hadiah wang tunai sebanyak RM200 beserta piala manakala pemenang tempat ke-2 dan ke-3 dalam pertandingan akan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM150 dan RM100 beserta piala,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment