Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 June, 2009

Pertama dalam sejarah - Bank Rakyat Sri Aman anjur rumah terbuka Gawai dayak


Caption: SILA JAMU...Roslan (berdiri kanan) sedang mempelawa orang ramai untuk menikmati juadah yang disediakan oleh pihaknya ketika berlangsungnya Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2009 di situ hari ini. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Selasa (16 Jun) – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman telah mencipta sejarah apabila muncul sebagai cawangan Bank Rakyat yang pertama di Malaysia dalam menganjurkan Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2009 Bank Rakyat Sri Aman di sini hari ini.

Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2009 yang julungkalinya diadakan oleh pihak Bank Rakyat menerusi cawangannya di bandar Sri Aman ini telah berlangsung di perkarangan hadapan bank berkenaan bermula dari jam 9.45 hingga 11.30 pagi.

Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali ketika ditemui berkata Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2009 ini telah mendapat sambutan lebih daripada 400 penduduk dari sekitar kawasan daerah Sri Aman.

“Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2009 ini dilaksana berlandaskan kepada Konsep Bank Rakyat kepada Rakyat di mana keuntungan yang kita perolehi daripada para pelanggan selama ini dikongsi bersama dengan mereka menerusi majlis hari ini.

“Lagipun penganjuran Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2009 ini juga bertujuan untuk mempromosi Bank Rakyat kepada orang ramai tentang perkhidmatan yang kita tawarkan kepada mereka selama ini,” katanya.

Sambil melahirkan rasa terharu berhubung sambutan luarbiasa oleh orang ramai terhadap penganjuran majlis berkenaan, Bank Rakyat cawangan Sri Aman kata Roslan akan menganjurkan majlis yang sama untuk perayaan Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri selepas ini.

“Sebenarnya kita mensasarkan tamat tempoh majlis ini pada jam 12 tengahari. Bagaimanapun kadar sambutan orang ramai terhadap majlis rumah terbuka hari ini sememangnya berada di luar jangkaan sehingga juadah dan minuman yang disediakan oleh pihak kami habis pada jam 11.30 pagi.

“Dengan penuh rasa bangga dan terharu, Bank Rakyat cawangan Sri Aman ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan kerajaan, swasta dan orang awam yang telah hadir bagi memeriahkan suasana penganjuran majlis ini,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment