Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 June, 2009

Penduduk Batang Ai perlu ambil peluang bersukan kata Robin

LUBOK ANTU, Khamis (26 Jun) – Penduduk di kawasan Lubok Antu perlu mengambil peluang untuk melibatkan diri dalam bidang sukan yang dianjurkan Kelab Sukan Komuniti (KSK) Batang Ai.

Pengerusi KSK N.29 Batang Ai, Robin Langkau berkata demikian kepada Utusan Sarawak sebaik sahaja selesai menyempurnakan Majlis Penyampaian Hadiah kepada pasukan pemenang Pertandingan Bola Sepak dan Bola Jaring KSK Batang Ai di Kompleks Sukan Lubok Antu baru-baru ini.

Menurut beliau penduduk di kawasan ini tidak seharusnya mensia-siakan peluang untuk menguji bakat sukan dalam diri masing-masing kerana KSK Batang Ai akan sentiasa menganjurkan beberapa jenis pertandingan sukan di kawasan ini pada setiap tahun.

“KSK Batang Ai sering menganjurkan pertandingan bagi beberapa jenis sukan yang paling mendapat sambutan penduduk seperti sepak takraw, bola sepak, bola jaring, bola tampar dan badminton sebelum ini.

“Tujuan utama ialah bagi membolehkan kita mencungkil bakat terpendam penduduk di kawasan daerah Lubok Antu ini menerusi beberapa jenis sukan yang kita pertandingkan untuk mereka...jadi jangan lepaskan peluang untuk mengambil dalam sukan ini,” katanya.

Selain itu Robin juga berharap agar penduduk di kawasan Lubok Antu untuk terus memanfaatkan segala kemudahan bersukan yang telah kerajaan binakan untuk mereka sebelum ini.

Kerajaan menurut beliau telah membelanjakan wang bernilai jutaan ringgit demi membolehkan penduduk melaksanakan aktiviti sukan atau riadah masing-masing pada masa lapang.

“Justeru adalah paling penting untuk kita menghargai segala kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan selama ini kerana ia tidak bernilai sekiranya tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk,” katanya.

Terdahulu Robin telah menyampaikan hadiah wang tunai kepada pasukan Pasek yang muncul juara dalam Pertandingan Bola Sepak Liga KSK Batang Ai dan pasukan Kelab Bola Jaring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lubok Antu yang muncul juara bagi pertandingan bola jaring di situ.

Tamat..

No comments:

Post a Comment