Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

08 June, 2009

Mussen minta janji dipercepatkan

LUBOK ANTU, Isnin (8 Jun) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh berharap agar kerajaan segera melaksanakan projek pembangunan bernilai RM70 juta dalam masa yang singkat ini demi kebaikan rakyat di kawasan DUN ini.

Kerajaan sebelum ini pernah mengumumkan peruntukkan pembangunan bernilai RM70 juta bagi kawasan DUN terbabit ketika menjelang pilihan raya kecil bagi kawasan berkenaan pada 7 April lalu yang diadakan berikutan kematian penyandangnya iaitu Datuk Dublin Unting anak Ingkot sebelum itu.

Barisan Nasional (BN) menerusi calonnya Malcom Mussen Lamoh berjaya mempertahankan kerusi DUN Batang Ai pada pilihan raya kecil terbabit setelah mengalahkan calon daripada Parti KeAdilan Rakyat (PKR), Jawah Gerang dengan kelebihan 1,854 majoriti undi.

“Saya berharap agar kerajaan menunaikan janji peruntukkan pembangunan ini dalam masa yang singkat agar rakyat sebagai tanda terima kasih kerajaan terhadap mereka dalam memastikan kemenangan BN bagi kerusi DUN ini pada pilihan raya kecil lalu,” katanya.

Mussen berkata demikian ketika berucap pada Majlis Lawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Haji Apdal ke Rumah Manai anak Jalak, Nanga San Panjai, Lubok Antu hari ini.

Selain itu beliau juga memohon pihak Kementerian Pelancongan Sarawak untuk memberi fokus penyediaan kemudahan penginapan bagi para pelancong asing yang datang ke kawasan Batang Ai, Lubok Antu.

“Kawasan DUN ini mempunyai pelbagai lokasi tarikan pelancongan yang menarik untuk para pelancong luar seperti Tasik Empangan Hidroelektrik Batang Ai dan Taman Negara Batang Ai.

“Jadi untuk menjadikan lokasi lebih mampu menarik kedatangan lebih pelancong asing di masa akan datang, saya meminta pihak kementerian untuk mempertimbangkan langkah bagi mempertingkatkan jumlah prasarana penginapan seperti hotel atau homestay,” katanya.

Terdahulu Datuk Seri Shafie tiba di Rumah Manai, Nanga San Panjai pada jam 9.30 pagi hari ini sebagai salah satu rangka lawatan ke Lubok Antu.

Hadir sama ialah Menteri Pelancongan Sarawak, Datuk Michael Manyin anak Jaong, Ahli Parlimen Lubok Antu, William Nyalau anak Badak, ADUN Engkilili, Dr Johnnical Rayong anak Ngipa, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, para kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat dan ketua kaum dari sekitar daerah ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment