Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 June, 2009

Mussen mahu kerajaan utamakan harapan rakyat Batang Ai

LUBOK ANTU, Khamis (18 Jun) – “Manusia boleh hidup selama 40 hari tanpa makan namun tidak boleh hidup selama 4 hari tanpa air, 4 minit tanpa udara dan 4 saat tanpa harapan,” demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh.

Beliau menyampaikan falsafah itu ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Rumah Manai Jalak, Nanga San Panjai, Lubok Antu di sini hari ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Mussen harapan kini sedang menggunung di dalam diri semua penduduk dalam kawasan DUN N.29 Batang Ai yang mahu kerajaan Barisan Nasional (BN) memberi lebih fokus pembangunan di situ semenjak berakhirnya pilihan raya kecil kawasan berkenaan pada 7 April lalu.

“Penduduk masih memberikan harapan terhadap BN. Buktinya kita (BN) telah berjaya mempertahankan kerusi DUN daripada pihak pembangkang pada pilihan raya kecil di sini pada 7 April lalu.

“Justeru saya berharap agar harapan penduduk menjadi fokus utama kerajaan dengan memperhebatkan usaha pembangunan bagi seluruh kawasan DUN Batang Ai selepas ini,” katanya.

Selain itu golongan generasi muda di kawasan DUN Batang Ai kata Mussen patut memikul tanggungjawab untuk menentukan hala tuju pembangunan di kawasan ini pada masa akan datang.

Golongan generasi muda ini menurut beliau harus bekerjasama dengan kerajaan untuk memastikan kelancaran pelan pembangunan di kawasan DUN Batang Ai dan bukannya berpakat dengan pembangkang untuk meracuni minda penduduk.

“Dengan berlandaskan semangat Gawai, saya meminta semua penduduk di kawasan DUN Batang Ai terutamanya golongan muda untuk bersatu-padu di bawah payung kerajaan BN dalam memajukan kawasan ini dari masa ke semasa,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, para menteri persekutuan, menteri kabinet kerajaan negeri, wakil rakyat BN, para pegawai tinggi kerajaan, ketua kaum dan penduduk dari beberapa buah rumah panjang dalam daerah ini.

Tamat.


No comments:

Post a Comment