Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 June, 2009

JKKK perlu utama aspek keselamatan kebakaran nasihat Harden

SRI AMAN, Jumaat (26 Jun) – Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) di daerah ini dinasihat agar tidak mengabaikan aspek keselamatan penggunaan bahan api atau perkakasan elektronik di kawasan penempatan masing-masing untuk sepanjang masa.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata JKKK perlu memainkan peranan utama mereka untuk menyedarkan penduduk dalam kawasan masing-masing tentang bahaya yang boleh muncul disebabkan oleh kejadian kebakaran.

“Kejadian kebakaran boleh meragut harta benda dan nyawa orang ramai sekiranya ia berlaku di kawasan penempatan penduduk akibat kecuaian penggunaan bahan api atau peralatan elektronik.

“Jadi adalah amat penting untuk JKKK menasihatkan penduduk di kawasan masing-masing untuk sentiasa berjaga-jaga dan tidak lalai ketika menggunakan kedua-dua benda tersebut selepas ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Pencegahan Kebakaran bertempat di Surau Kampung Muhibah Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga menasihatkan JKKK untuk mengadakan kerjasama yang lebih erat dengan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi menganjurkan aktiviti ceramah dan latihan penggunaan alat pemadam kebakaran dari masa ke semasa.

“Ianya amat penting supaya penduduk tidak mudah panik dan dapat menangani kejadian kebakaran yang berlaku di kawasan masing-masing menerusi latihan atau maklumat yang telah mereka terima sebelum ini.

“Jadi saya berharap agar JKKK lebih aktif dalam memantau taraf keselamatan penduduk di kawasan masing-masing terutama dari segi tahap kawalan risiko kebakaran demi kebaikan semua pihak di masa akan datang,” katanya.

Terdahulu Harden menerusi majlis itu telah mengumumkan peruntukkan bernilai RM2,000 bagi setiap tujuh buah Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Muhibah dan Rancangan Perumahan Rakyat Sri Aman yang terlibat dalam menganjurkan program terbabit.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Perpaduan dan Intergrasi Nasional Sri Aman, Mohd Yusli Nasir, wakil Pegawai Penguatkuasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Sri Aman, Yusof Kamin, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar kawasan ini.

Penganjuran Program Pencegahan Kebakaran yang mendapat kerjasama daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman ini turut diselitkan dengan aktiviti ceramah pencegahan kebakaran, demonstrasi penggunaan alat pemadam api dan penyampaian cenderamata.

Tamat.





No comments:

Post a Comment