Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 June, 2009

Jangan pertanding jawatan presiden dan timbalan presiden PRS - Snowdan


Caption: RASMI...Snowdan (tengah) bersama (dari kiri) Abah, Desmond, Masir dan Lamat sedang menyempurnakan upacara Ngiling Bidai ketika berlangsungnya majlis malam Sabtu lalu.

BALAI RINGIN, Isnin (29 Jun) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan tidak menafikan wujudnya persaingan hebat dalam parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk meneraju pucuk pimpinan parti masing-masing.

Namun persaingan yang wujud bagi merebut pucuk kepimpinan parti menurut beliau harus dilakukan secara sihat tanpa meretakkan hubungan dikalangan ahli dalam parti itu sendiri.

“Hubungan di antara parti hendaklah dirapatkan semula sebaik sahaja persaingan untuk merebut jawatan pucuk pimpinan parti itu tamat dan seterusnya memberikan sokongan serta kesetiaan kepada mereka (pemimpin) yang berjaya.

“Pemimpin baru itu pula sebaliknya tidak harus membelakangkan pemimpin dan para penyokongnya yang telah tewas dalam persaingan untuk merebut pucuk pimpinan sebuah parti itu demi kebaikan semua pihak,” katanya.

Snowdan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gawai Ngiling Tikai 2009 anjuran Parti Rakyat Sarawak (PRS) Bahagian N.25 Balai Ringin bertempat di Dewan Serbaguna, Balai Ringin, Serian pada malam Sabtu lalu.

Selain itu beliau juga berharap agar semua ahli biasa dan mereka yang berpangkat tinggi dalam sesebuah parti itu untuk mengurangkan saingan di antara satu sama lain demi mengekalkan kesinambungan pemerintahan BN di negeri ini.

“Justeru, atas sebab ini, saya meminta supaya jawatan presiden dan timbalan PRS tidak dipertandingkan pada Mesyuarat Agung Tritahun (TGM) sama ada pada penghujung tahun ini ataupun tahun depan,” katanya.

Beliau menambah bahawa presidennya, Dato Sri Dr James Jemut Masing dan timbalannya Datuk Joseph Entulu Belaun adalah merupakan dua orang pemimpin parti yang bijak dan boleh mengangkat status PRS ke peringkat yang lebih tinggi dari segi peringkat negeri mahupun persekutuan.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat selaku mewakili Entulu pada majlis itu, Timbalan Residen Sri Aman, Desmond Douglass Jerukan, penasihat PRS Bahagian N.25 Balai Ringin, Donald Lawan, setiausahanya Abah Unggie dan Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman, Walter Lamat Kiyai.

Menerusi majlis itu Snowdan telah menyampaikan peruntukkan wang bernilai RM20,000 kepada Kelab Rando Samaharan, RM20,000 kepada Jawatankuasa Perayaan Khas Sarawak 45 Tahun, RM5,000 kepada PIBG SK Keranggas dan RM2,000 kepada JKKK Sabal Tapang.

Snowdan dan Masir pada majlis itu juga turut menerima sejumlah 36 buah borang permohonan keahlian baru dari Stewart Sigie. Lebih 900 penduduk hadir bagi memeriahkan suasana acara menarik dalam majlis berkenaan iaitu Ngentas Ranyai, Ngiling Bidai, Ngirup Ai Pengayu dan persembahan nyanyian lagu Karaoke.

Tamat.



No comments:

Post a Comment