Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 June, 2009

A hundred million dollar projects for DUN Batang Ai


Caption: TERTARIK...Najib (tengah) bersama Taib (kanan beliau) dan menteri kabinet persekutuan dan negeri sedang menyaksikan tarian Ngajat Iban sebaik sahaja tiba di rumah panjang San Panjai hari ini.

LUBOK ANTU, Khamis (18 Jun) – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa segala projek yang telah dijanjikan kepada rakyat di sini pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang lalu akan ditunaikan.

Rakyat katanya tidak perlu bimbang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) telah memperuntukkan sebanyak RM75.13 juta bagi tujuan pelaksanaan pelbagai projek di kawasan DUN terbabit yang kini sedang dalam proses perlaksanaan.

Ianya menurut Najib termasuk projek penurapan jalan raya Lubok Antu-Bulo sebanyak RM10 juta yang telah diluluskan perlaksanaannya sekarang manakala RM3 juta lagi (projek pembinaan jalan raya berturap) pula pada tahun depan.

``Kerajaan menerusi Kementerian Kemajuan Wilayah dan Luar Bandar juga melaksana projek membaikpulih sejumlah 233 buah rumah panjang di daerah Lubok Antu dengan kos sebanyak RM3.4 juta.

``RM58 juta telah diperuntukkan untuk tujuan pembinaan kompleks Ibupejabat Polis Daerah Lubok Antu manakala RM1.83 juta pula adalah untuk tujuan pembinaan Kompleks Kuarantin Imigresen dan Kastam (CIQ) Lubok Antu, pejabat daerah Lubok Antu dan Engkilili,'' kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Rumah Manai Jalak, Nanga San Panjai, Lubok Antu di sini hari ini yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kerajaan menurut Najib juga bakal melaksanakan dua projek pembinaan jalan raya yang menelan kos sebanyak RM60 juta di kawasan Batang Ai tanpa menyatakan secara spesifik kawasan jalan yang mahu dibina berkenaan.

“Kerajaan juga telah bersetuju untuk memperuntukkan sebanyak RM630 juta bagi menjadikan kawasan Lubok Antu sebagai Zon Industri Agrikultur umpamanya dalam penternakan ikan.

“Jadi bagi menjamin pasaran untuk industri agrikultur di kawasan ini, kerajaan turut bercadang untuk membekalkan ikan-ikan ternakan air tawar tersebut ke sekolah-sekolah di seluruh negeri ini,” katanya.

Kerajaan menurut beliau juga akan memberi bantuan kepada 1,800 buah rumah panjang di seluruh negeri ini secara berperingkat-peringkat selepas ini.

``Selain datang ke sini untuk mengucapkan terima kasih kepada anda semua, saya juga datang untuk memberikan jaminan bahawa kerajaan BN akan tetap menunaikan janji yang telah nyatakan kepada penduduk semasa pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai yang lalu,'' katanya.

Hadir sama ialah Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud, para menteri persekutuan, menteri kabinet kerajaan negeri, wakil rakyat BN, para pegawai tinggi kerajaan, ketua kaum dan penduduk dari beberapa buah rumah panjang dalam daerah ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment