Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

30 June, 2009

BN adil terhadap semua kaum kata Harden

Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Selasa (30 Jun) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) bersikap adil terhadap rakyat berbilang kaum di negeri ini dalam melaksanakan dasar dan pelan pembangunan yang menguntungkan semua pihak dari masa ke semasa.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata Projek Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui (SCORE) adalah merupakan salah satu contoh projek pembangunan yang boleh memberi manfaat kepada semua rakyat berbilang kaum di kawasan wilayah tengah Sarawak.

“BN tidak melaksanakan pelan pembangunan yang hanya menguntungkan sesebuah kaum kerana kita merupakan sebuah kerajaan yang dibentuk berasaskan rakyat berbilang kaum dalam negara ini.

“Jadi segala perancangan pembangunan haruslah mengambilkira kepentingan semua kaum tanpa mengira anda ialah Melayu, Cina atau Dayak kerana BN adalah kerajaan rakyat untuk rakyat,” katanya ketika berucap merasmikan Program Info Bestari dan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2009 di Balai Raya Kampung Sabu baru-baru ini.

Selain itu menurut beliau adalah amat penting untuk semua rakyat berbilang kaum dalam negeri ini untuk memanfaatkan segala peluang pembangunan yang telah kerajaan sediakan di kawasan masing-masing selama ini.

Ianya menurut Harden adalah merupakan jalan terbaik bagi membolehkan segala projek pembangunan yang disalurkan oleh kerajaan kepada mereka memberi impak peningkatan taraf hidup kepada rakyat secara menyeluruh selepas ini.

“Justeru adalah amat penting bagi rakyat untuk tidak mudah termakan hasutan oleh pihak tertentu kerana ianya boleh merosakkan pemikiran rakyat yang seterusnya mengagalkan usaha pembangunan kerajaan di kawasan masing-masing,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Penerangan Bahagian Sri Aman, Charles Sigat Asson, Pegawai tadbir Sarawak, Thomas Georgefry Kendawang, Pegawai tadbir Sarawak, Shamsiah Deli serta Penolong Pegawai Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Nicholas Sebastian David.

Harden menerusi majlis berkenaan mengumumkan peruntukkan bagi tahun 2010 berjumlah RM5,000 kepada Jawatankuasa Balai Raya Kampung Sabu bagi tujuan baikpulih balai raya terbabit dan seterusnya menyampaikan sijil tamat Jursus Membuat Manik dan Insentif Pendidikan kepada pelajar cemerlang dari kampung tersebut

Program Info Bestari dan Majlis Ngiling Bidai Gawai Dayak 2009 ini adalah merupakan anjuran Komuniti Bestari Kampung Sabu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Sabu dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Sabu.

Tamat.


No comments:

Post a Comment