Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 May, 2009

Sri Aman perlukan pelan pembangunan lebih hebat dari sekarang - Harden




Caption:

1.PENGHARGAAN...Roland Demong (kiri) sedang menyampaikan cenderamata kepada Harden (tengah) sambil disaksikan oleh Masir (dua kiri) dan Rosylen (kanan sekali) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

2. SELAMAT GAWAI...Harden bersama isteri, Simba Nalang (tengah) sedang bersama-sama dengan para tetamu kehormat dan ahli SDNU dan SIDS Sri Aman meraikan detik sambutan pra gawai ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis menyangkal tuduhan oleh sesetengah pihak terutamanya ketua kaum yang mendakwa bahawa bandar Sri Aman tidak menerima sebarang pembangunan sehingga ke masa sekarang.

Lebih mengecewakan beliau ialah apabila pihak berkenaan iaitu seorang ketua persatuan dan dua orang ketua kaum dari daerah ini telah bertindak menyiarkan dakwaan tidak berasas terbabit menerusi akhbar berbahasa Mandarin pada 18 Mei lepas.

“Adakah mereka tidak nampak apa yang sedang berlaku di (bandar) Sri Aman sekarang? Perlaksanaan projek bandar baru Sri Aman fasa I, projek Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Fasa I dan Stesen Pemantau Benak yang masih dalam proses pembinaan sekarang menunjukkan adanya projek pembangunan di kawasan ini.

“Dakwaan mereka ini adalah salah dan tidak boleh diterima. Bandar Sri Aman ada mengalami proses pembangunan dan bukannya sedang ‘tidur’ sepertimana yang didakwa oleh mereka selama ini,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2009 dan Pekit Kumang Gawai 2009 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Selain itu golongan pengkritik berkenaan menurut Harden sememangnya tidak pernah puas mengungkit kelemahan pihak kerajaan dengan menjadikan media sebagai senjata utama mereka bagi tujuan berkenaan.

“Dulu mereka marah terhadap kerajaan apabila balai bomba dan penyelamat Sri Aman yang lama dahulu tampak sudah uzur dan tidak dapat memenuhi keperluan keselamatan penduduk di daerah ini.

“Bagaimanapun apabila kerajaan telah membina balai bomba yang baru di Jalan Sabu menerusi kos pembinaan melebihi RM20 juta, golongan terbabit pula ‘melenting’ kembali dengan mengatakan bahawa ianya satu pembaziran,” katanya.

Justeru Harden berharap agar penduduk dari sekitar kawasan Sri Aman tidak mudah terpedaya dengan dakwaan yang ditimbulkan oleh golongan terbabit menerusi media cetak seperti akhbar kerana ianya dianggap tidak tepat serta mengelirukan.

Majlis yang merupakan anjuran pihak Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sri Aman turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas dan pengerusi majlis, Roland Demong.

Harden menerusi majlis berkenaan telah mengumumkan peruntukkan berjumlah RM5,000 kepada SDNU dan SIDS Simanggang manakala Masir juga turut mengumumkan peruntukkan dengan nilai yang sama terhadap kedua-dua persatuan terbabit.

Tamat.

No comments:

Post a Comment