Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 May, 2009

SIDS Sri Aman bagi sumbangan gawai kepada pesakit hospital sri aman


Caption: IKHLAS...Roselyn menyampaikan hadiah kepada seorang pesakit sambil disaksikan oleh ahli SIDS Sri Aman dan kakitangan hospital berkenaan ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Isnin (25 Mei) – Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) cawangan Sri Aman telah menyampaikan sumbangan berupa hadiah kepara para pesakit di Hospital Bahagian Sri Aman hari ini.

Kesemua pesakit menerima hadiah berkenaan menerusi Majlis Sumbangan Perayaan Gawai yang bermula pada jam 2.00 petang hari ini sambil disertai oleh para ahli jawatankuasa SIDS cawangan Sri Aman bersama dengan para kakitangan Hospital Bahagian Sri Aman terbabit.

Pengerusinya Roselyn Abunawas ketika ditemui berkata majlis terbabit adalah merupakan salah satu daripada aktiviti tahunan yang diadakan oleh pihak SIDS cawangan Sri Aman pada setiap tahun.

“Bersempena dengan perayaan Gawai Dayak yang akan disambut meriah pada 1 Jun ini maka pihak kami telah mengambil kesempatan untuk melakukan aktiviti amal ini dengan menyampaikan hadiah kepada para pesakit di Hospital Sri Aman.

“Tujuan utamanya ialah agar para pesakit di hospital dapat merasai suasana kemeriahan sambutan perayaan Gawai Dayak berbanding dengan mereka yang sihat dan meraikannya tanpa sebarang masalah kesihatan sebelum ini,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja selesai majlis berkenaan.

Selain itu majlis ini kata Roselyn secara tidak langsung membuktikan kepada semua pihak bahawa SIDS sememangnya amat aktif dalam melaksanakan aktiviti bercorak kemasyarakatan di daerah ini.

Dengan adanya majlis seumpama ini kata beliau, golongan masyarakat yang kurang bernasib baik dalam bandar Sri Aman tidak akan berasa terpinggir dengan adanya sifat keprihatinan yang ditunjukkan oleh pelbagai pihak kepada mereka sepanjang masa.

“Justeru saya berharap agar sumbangan seumpama ini dapat menceriakan semua pesakit-pesakit di Hospital Bahagian Sri Aman disamping membantu menguatkan semangat mereka untuk melawan penyakit dalam diri masing-masing,” katanya.

SIDS cawangan Sri Aman menerusi majlis berkenaan telah menyediakan sebanyak 60 buah bungkusan hadiah untuk disampaikan kepada para pesakit di wad-wad dalam hospital berkenaan.

Hadir sama ialah Penyelia Ketua Jururawat Bahagian Sri Aman, Matron Lim Khim Chu, dan AJK persatuan berkenaan iaitu Florence Briku, Margaret Ann Bajai, Peggy Vera Johnatan Isau, Lita Tukang, Catherine Musa dan lain-lain ahli.

Tamat.


No comments:

Post a Comment