Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 May, 2009

Penduduk Selantik bakal nikmati jeti sungai sendiri


Mugshot: HEAROLD ERNEST

SRI AMAN, Rabu (13 Mei) – Penduduk rumah panjang Selantik Ili dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman bakal memiliki kemudahan jeti di sungai berhampiran rumah panjang mereka apabila kerajaan telah meluluskan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM15,000 kepada mereka baru-baru ini.

Tuai rumahnya, Hearold Jimbai Ernest ketika ditemui berkata Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Selantik Ili telah mengemukakan permohonan terbabit kepada kerajaan semenjak tiga tahun yang lalu sebelum berjaya memperolehinya dua minggu lepas.

“Penantian penduduk Selantik Ili untuk memiliki jeti sendiri akhirnya tercapai. Terima kasih kepada kerajaan kerana telah memberi peruntukkan MRP kepada kami bagi tujuan pembinaan jeti berkenaan,” katanya.

Penduduk rumah panjang Selantik Ili katanya sebelum ini terpaksa bergantung kepada kawasan sungai yang berdekatan untuk mendapatkan bekalan air bagi tujuan urusan harian masing-masing.

Bagaimanapun ketiadaan jeti menurut Jimbai sebelum ini telah menyukarkan penduduk rumah panjang tersebut untuk melaksanakan kerja membasuh pakaian, mandi dan mengambil air bagi tujuan keperluan dapur rumah masing-masing.

“Disebabkan oleh masalah sumber air bukit yang kotor dan sering kering maka penduduk di sini telah memilih kawasan sungai yang berhampiran bagi tujuan urusan kerja rumah masing-masing.

“Sebab itulah amat penting adanya kemudahan jeti bagi tujuan urusan harian ini. Dengan adanya peruntukkan itu kelak maka penduduk Selantik Ili akan melaksanakan kerja membina kemudahan jeti di sungai berkenaan dalam tempoh terdekat kelak,” katanya.

Rumah panjang Selantik Ili, Pantu yang terletak kira-kira 50 kilometer dari kawasan bandar Sri Aman kini mempunyai sejumlah 25 buah keluarga. Hampir 90 peratus daripada jumlah keluarga di situ bergantung kepada sumber air bukit dan sungai bagi tujuan keperluan harian masing-masing.

Tamat.

No comments:

Post a Comment