Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

14 May, 2009

Pembabitan pelajar IPT dalam penyalahgunaan dadah di Sarawak naik - Mohmad


Caption: PENERANGAN...Mohmad (berbaju kemeja) sedang menerangkan sesuatu kepada pihak pemberita ketika berlangsungnya sidang media di bilik mesyuarat IPD Sri Aman hari ini.


SRI AMAN, Khamis (14 Mei) – Jumlah pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA / IPTS) di Sarawak yang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini telah menunjukkan peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tempoh yang sama bagi tahun lepas.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohmad Salleh berkata pihak polis telah menahan sejumlah 16 pelajar bagi kesalahan bawah Seksyen 12 (2) dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 tempoh bulan Januari hingga April tahun 2008.

Manakala itu bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini, pihak polis pula telah menahan sejumlah 25 orang pelajar bagi kesalahan bawah Seksyen 6 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Daripada jumlah ini, boleh dikatakan bahawa pembabitan jumlah pelajar dalam kes penyalahgunaan dadah telah menunjukkan jumlah peningkatan yang ketara bagi tempoh suku tahun pertama tahun ini berbanding suku pertama tahun lepas.

“Lagipun untuk pengetahuan anda sejumlah 48 orang pelajar telah ditangkap di bawah Seksyen 6, Seksyen 12 (2) dan 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala seorang lagi ditangkap di bawah Seksyen 3 (1) APD (R&P) 1998 untuk sepanjang tahun 2008,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berlangsungnya persidangan media di bilik mesyuarat Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman sebelum mempengerusikan Mesyuarat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik / Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Suku Tahun Pertama Tahun 2009 di situ hari ini.

Mohmad juga turut menambah bahawa bagi sepanjang tahun 2008 sebanyak 2,628 kes dilaporkan dengan 2,893 orang tangkapan dibuat bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952 termasuk 10 kes dengan 17 orang tangkapan di bawah Seksyen 39 B ADB 1952 dan 58 kes dengan 90 orang ditangkap bawah Seksyen 39 A ADB 1952.

“Lagipun pihak kita juga mencatatkan peningkatan sebanyak 17 peratus di bawah ADB 1952 apabila sejumlah 1,121 kes dengan 1,251 tangkapan dibuat bagi tempoh bulan Januari hingga April 2009 berbanding 951 kes dan 1,066 tangkapan bagi tempoh yang sama untuk tahun 2008,” katanya.

Hadir sama ialah Ketua Bahagian JSJ Narkotik Sarawak, Superitenden (Supt) Moses Agat dan penolongnya, DSP Osman dan Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh Muhammad.

Tamat.

No comments:

Post a Comment