Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

09 May, 2009

PBSM Sri Aman belum terima jawapan berhubung permohonan tanah untuk bina bangunan baru


Caption: UNTUK ALBUM...Sim (tengah) bersama rombongan bergambar kenangan sebelum menyampaikan sumbangan hadiah kepada pesakit di Hospital Sri Aman hari ini.

SRI AMAN, Sabtu (9 Mei) – Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) cawangan Sri Aman telah memohon sejumlah satu ekar tanah daripada pihak kerajaan bagi tujuan pembinaan bangunan baru persatuan terbabit yang kini beroperasi di laluan Jalan Hospital, Sri Aman.

Pengerusi PBSM cawangan Sri Aman, Sim Khok Kee ketika ditemui Utusan Sarawak berkata permohonan untuk mendapatkan tanah tersebut telah dikemukakan kepada pihak Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sri Aman sebelum ianya dihantar ke Unit Perancangan Negeri (SPU) semenjak setahun yang lalu.

“Tanah seluas satu ekar atau lebih yang dipohon daripada kerajaan sebelum ini sebenarnya terletak di Jalan Sabu, Sri Aman iaitu sekurang-kurangnya lima kilometer dari pusat bandar ini.

“Bagaimanapun pihak kami sehingga kini belum lagi mendapat sebarang jawapan berhubung permohonan terbabit dan pihak kami akan meneruskan usaha ini bagi tujuan terbabit dari masa ke semasa,” katanya.

Sekiranya permohonan terbabit diluluskan maka pihak PBSM cawangan Sri Aman kata Sim akan mengadakan aktiviti kutipan wang amal daripada pihak tertentu atau orang ramai bagi tujuan pembinaan bangunan baru persatuan tersebut di Jalan Sabu, Sri Aman.

Sementara itu beliau juga mengalakkan orang ramai yang mempunyai masa lapang di bandar ini untuk menyertai PBSM cawangan Sri Aman bagi memantapkan lagi usaha melaksanakan aktiviti kebajikan di sini.

“Sehingga kini PBSM Sri Aman dianggarkan mempunyai lebih kurang 1,000 ahli yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah dan 50 ahli orang dewasa di bandar ini...kita memerlukan lebih ramai ahli supaya dapat melaksana pelbagai aktiviti kebajikan secara sukarela dari masa ke semasa,” katanya.

Terdahulu Sim telah mengetuai rombongan PBSM Sri Aman untuk menyampaikan sumbangan hadiah bersempena dengan sambutan Hari Palang Merah Sedunia 2009 kepada 50 orang pesakit di Hospital Bahagian Sri Aman bermula jam 10 pagi hari ini.

Hadir sama ialah Naib II Pengerusi PBSM Sri Aman, Paul Lu, Setiausaha PBSM Sri Aman, Charles Tay, Pelatih Bahagian Bencana Alam persatuan terbabit, Mas Mashor Haji Maslem, wakil Pengarah Hospital Bahagian Sri Aman, Hajah Jamilah Basri dan Hajah Aminah Jurid.

Tamat.


No comments:

Post a Comment