Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 May, 2009

Organisasi perlu sedia terima teguran - Masir


Mugshot: MASIR KUJAT

SRI AMAN, Isnin (25 Mei) – Sesebuah organisasi perlu bersedia untuk menerima teguran atau pandangan daripada pihak lain sebagai langkah untuk lebih maju ke hadapan demikian menurut Ahli Parlimen Sri Aman, Masir anak Kujat.

Ini kerana teguran dan pandangan daripada lain-lain pihak kata beliau secara tidak langsung telah menunjukkan wujudnya kelemahan dalam pengurusan sesebuah organisasi terbabit sebelum ini.

“Kegagalan untuk menerima pandangan atau teguran daripada lain-lain pihak sekaligus boleh menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan para ahli dalam sesebuah organisasi terbabit.
“Senario sebegini dapat kita lihat apabila berlakunya perpecahan di kalangan para ahli Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung di sesetengah kawasan rumah panjang kerana tidak sependapat di antara satu sama lain dalam sesuatu perkara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Kursus Peningkatan Profesionalisme Persatuan Belia 2009 anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman bertempat di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini petang semalam.

Selain itu Masir juga mahu setiap ahli sesebuah organisasi berkenaan untuk mengamalkan sikap berpandangan jauh dan saling bekerjasama demi memajukan organisasi mereka dari masa ke semasa.

Dua ciri terbabit menurut beliau adalah amat penting sekiranya organisasi mereka mahu terus kekal bersaing dan berkembang seiring dengan lain-lain organisasi dalam negeri ini.

“Penduduk akan sentiasa menghormati sesebuah organisasi yang mereka lihat sentiasa berkembang dan mampu memberikan khidmat terbaik dari segi aspek sosiologi kepada mereka dari masa ke semasa.

“Jadi setiap ahli organisasi dan pemimpinnya haruslah berpandangan ke hadapan dan bukannya ke belakang. Utamakan keperluan utama organisasi dan bukannya kepentingan peribadi sekiranya mahu terus maju di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan, Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Sri Aman Bahagian Pembangunan Belia, Mohd Israk Ismail, Residen Bahagian Sibu, Sim Kok Kee, Pengerusi SABERKAS Daerah Sri Aman, Haji Buani Haji Affandi, Penghulu Program, Haji Masrol Idi dan para peserta kursus yang lain.

Kursus yang berlangsung selama dua hari itu antara lain bertujuan untuk membina persatuan belia yang berketerampilan dalam bidang kepimpinan, keusahawanan, kemahiran dan pengurusan organisasi dengan memupuk nilai-nilai murni dan gaya hidup berkualiti bagi memperkukuhkan integrasi nasional dan identiti bangsa Malaysia selaras dengan wawasan 2020.
Tamat...

No comments:

Post a Comment