Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

16 May, 2009

nilai rampasan dadah meningkat - Mohmad

SRI AMAN, Jumaat (15 Mei) – Pihak polis telah berjaya merampas dadah termasuk pil psikotropik yang dianggarkan bernilai RM1,124,068 bagi sepanjang tempoh tahun 2008 di negeri ini kata Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mohmad Salleh.

Daripada nilai anggaran jumlah keseluruhan ini menurut beliau, RM471,387 adalah merupakan nilai bagi rampasan syabu berjumlah 1,346.82 gram sambil diikuti oleh rampasan terhadap 45,984 biji pil psikotropik yang mencatatkan nilai berjumlah RM321,888.

“Pihak kita juga telah merampas sebanyak 1,654 biji pil Ecstacy bernilai RM115,780 dan 541.24 gram ganja bernilai RM108,248 untuk sepanjang tahun 2008.

“Ia turut diikuti dengan rampasan terhadap 4,138 biji Erimin 5 bernilai RM82,760 dan 226.7 gram Ketamine bernilai RM24,005. Tiada rampasan dibuat terhadap heroin bagi sepanjang tempoh tahun lepas,” katanya ketika berlangsung sidang media di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman semalam.

Bagaimanapun nilai rampasan dadah termasuk pil psikotropik oleh pihak polis bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun 2008 kata Mohmad didapati telah meningkat bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun ini.

Pihak polis menurut beliau telah berjaya merampas dadah yang mencatatkan nilai anggaran sebanyak RM830,392 bagi bulan Januari hingga April tahun ini berbanding RM571,168.50 bagi tempoh bulan Januari hingga April tahun lepas.

“Pil psikotropik masih merupakan nilai rampasan yang tertinggi dari semua jenis dadah apabila sejumlah 45,985 biji dirampas dengan nilai RM397,446 tahun ini (Januari-April) berbanding 32,488 biji pil dengan nilai RM227,416 bagi tempoh tahun lepas,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment