Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 May, 2009

Hospital baru sri aman sedang diusahakan - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Isnin (18 Mei) – Kerajaan sehingga kini masih lagi berusaha untuk mencari tapak baru bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru bagi mengantikan hospital yang sedia ada sekarang di Jalan Hospital dalam pusat bandar ini kata Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Terdahulu tiga orang pengerusi persatuan dari daerah ini iaitu Dato Dr Ngu Phiew Seng, Kapitan Tan Choon Poh dan Kapitan Lai Ngee Luk menerusi akhbar tempatan berbahasa Cina pada hari ini telah menyatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) gagal menunaikan janji mereka untuk membina sebuah hospital Sri Aman yang baru semenjak dari tahun 1983 dahulu.

Ketiga-tiga ketua kaum terbabit juga turut menyentuh mengenai kekurangan prasarana kesihatan di hospital berkenaan disamping mendakwa Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman yang baru di Jalan Sabu, Sri Aman adalah merupakan sebuah pembaziran.

“Kerajaan sebenarnya sudah pun membeli tapak tanah bernilai RM7 juta di Jalan Kejatau bagi tujuan pembinaan Hospital Bahagian Sri Aman yang baru namun tapak ini dilihat tidak sesuai bagi tujuan tersebut.

“Sudah tentunya saya sebagai wakil rakyat di sini sedang berusaha untuk mencari tapak tanah yang baru. Bagaimanapun saya ada dua pilihan iaitu cari tapak tanah yang baru atau pun meneruskan rancangan pembinaan hospital terbabit di tapak tanah yang sudah dibeli oleh kerajaan sebelum ini,” katanya.

Untuk itu beliau kini sedang berbincang dengan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mendapatkan peruntukkan bagi tujuan pembinaan hospital baru tersebut yang telah disasarkan tempoh pembinaannya pada tahun 2010 ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang ketika dihubungi Utusan Sarawak juga berkata pihak kerajaan juga sedang dalam proses untuk menambah jumlah mesin dialisis di Hospital Bahagian Sri Aman yang kini hanya mempunyai lima buah mesin sahaja.

Ini menurut Harden adalah bertujuan untuk menampung keperluan kesihatan penduduk terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit buah pinggang dari kawasan daerah ini.

“Lagipun pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman yang baru di Jalan Sabu bukanlah satu pembaziran terutama sekali mengenai jumlah unit kuaters penginapan yang banyak di situ.

“Ianya sebagai satu persediaan untuk menghadapi kes kecemasan yang besar di Sri Aman sehingga memerlukan bantuan anggota bomba dari lain-lain bahagian dalam negeri ini pada suatu hari kelak,” katanya sambil menambah bahawa jumlah kakitangan Jabatan Balai Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman akan ditambah pada masa akan datang.

Justeru beliau berharap agar orang ramai termasuk para ketua kaum di daerah ini untuk menghargai segala kemudahan yang telah kerajaan BN sediakan untuk mereka dan bukannya hanya tahu memberikan komen negatif berhubung hal terbabit.

“Lagipan ketiga-ketiga individu berkenaan seharusnya berjumpa dengan saya untuk mencari jalan bagi menyelesaikan isu ini dan bukannya hanya pandai menggunakan media cetak untuk memburuk-burukkan kerajaan BN semata-mata,” katanya.

Tamat.




No comments:

Post a Comment