Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 May, 2009

Guru Sarawak harus lebih berpotensi - Dr Julaihi

SRI AMAN, Khamis (21 Mei) – Guru-guru Sarawak sangat berpotensi dan dapat mencapai kedudukan yang lebih baik di masa akan datang dengan syarat mereka ini haruslah sentiasa mempertingkatkan tahap kemahiran serta keilmuan masing-masing dari masa ke semasa.

Pengarah Pelajaran Sarawak, Dr Haji Julaihi bin Haji Bujang berkata tindakan ini perlu kerana dalam sesebuah masyarakat ilmu pada masa sekarang, ilmu pengetahuan bukan lagi dimonopoli oleh seorang guru.

“Mereka (guru) juga tidak dapat lagi mendabik dada dan mengatakan bahawa dialah pakar dalam ilmu dan sumber ilmu kepada anak-anak muridnya.

“Ianya disebabkan oleh kemunculan sumber maklumat yang wujud menerusi teknologi internet seperti Facebook, Twitter, Blog, Youtube dan Portal sehingga menawarkan perolehan sumber maklumat yang banyak pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa bertempat di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Untuk itu katanya para guru harus menguasai dahulu sumber ilmu daripada kemudahan internet ini sebelum ianya disampaikan kepada anak-anak murid ketika berlangsungnya sesi pembelajaran di kelas.

Kegagalan berbuat demikian kata Julaihi akan mendedahkan kelemahan dirinya sendiri terhadap anak-anak murid sehingga menyebabkan mereka kurang yakin disamping menjadikan sesi pembelajaran di kelas menjadi kurang menarik.

Terdahulu Ketua Menteri Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud telah merasmikan Majlis Perayaan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2009 dengan tema Guru Pembina Negara Bangsa.

Taib menerusi majlis itu juga turut menyampaikan Anugerah Anugerah Tokoh Guru Negeri Sarawak 2009 kepada Alban Sanggat Billie dan Haji Badi Haji Mohd Nuawi.

Hadir sama ialah Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri, Datin Hajah Fatimah Abdullah, para wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, para pegawai kerajaan dan guru dari seluruh negeri ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment