Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

25 May, 2009

DAP Sri Aman 1st move?

SRI AMAN, Sabtu (23 Mei) – Komen daripada dua orang ketua kaum dan seorang pengerusi persatuan berhubung isu pembinaan hospital baru Sri Aman dan balai bomba baru di akhbar tempatan berbahasa Mandarin pada 18 Mei lalu adalah bermotifkan politik.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis telah mengesahkan tindakan bermotifkan politik daripada ketiga-tiga individu berkenaan ketika ditanya oleh pemberita di sini malam tadi.

“Saya yakin tindakan mereka bertiga itu mempunyai pertalian rapat dengan pilihanraya negeri pada tahun 2010 atau 2011 nanti...mungkin ianya ‘senjata awal’ untuk melemahkan kekuatan Barisan Nasional (BN) yang diteraju oleh Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) di sini (kerusi Dewan Undangan Negeri N.27 Simanggang),” katanya.

Beliau yang merupakan wakil rakyat bagi kawasan DUN Simanggang ini yakin bahawa tindakan awal mereka tidak akan dapat meruntuhkan keyakinan orang ramai terhadap kekuatan BN di kawasan ini.

Ini kerana BN menerusi SUPP menurut beliau telah berjaya membangunkan kawasan DUN Sri Aman dengan pelbagai projek pembangunan yang sedia ada pada masa sekarang sambil disaksikan oleh penduduk di kawasan ini.

“Lagipun projek pembinaan hospital baru Sri Aman sebenarnya diluluskan peruntukkan berjumlah RM200 juta bagi tujuan terbabit pada tahun 1998 dahulu dan RM7 juta daripada jumlah itu telah pun digunakan untuk membeli tanah seluas 20.94 hektar di Kejatau.

“Bagaimanapun projek pembinaan hospital itu tergendala kerana tapak tanah berkenaan adalah jenis gambut dan tidak sesuai bagi tujuan itu...jadi pihak kita sekarang sedang berusaha untuk mencari kawasan tapak tanah yang baru,” katanya sambil menambah bahawa sasaran pembinaan Hospital Sri Aman yang baru adalah pada tahun 2010 ini.

Justeru Harden berharap agar para ketua kaum bertindak secara kontraktif dengan bekerjasama bersama wakil rakyat atau pegawai daerah di kawasan masing-masing berhubung isu perlaksanaan sesebuah projek pembangunan.

Utusan Sarawak juga turut dimaklumkan bahawa dua orang ketua kaum berkenaan bersama pengerusi persatuan di bandar ini akan dipanggil ke Pejabat Residen Bahagian Sri Aman berhubung tindakan mereka itu.

Terdahulu Harden telah merasmikan Majlis Makan Malam Gawai Dayak 2009 dan Pekit Kumang Gawai 2009 bertempat di Dewan Suarah Sri Aman malam tadi.

Majlis yang merupakan anjuran pihak Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) dan Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) cawangan Sri Aman turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, Pegawai Daerah Lubok Antu, Nelson Mujah Girie, Pengerusi SIDS Sri Aman, Roselyn Abunawas dan pengerusi majlis, Roland Demong.

Tamat.




No comments:

Post a Comment