Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2009

BN tidak leka bangunkan hidup rakyat - Harden

SRI AMAN, Selasa (26 Mei) – Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak leka melaksanakan tanggungjawab mereka untuk menjaga kebajikan hidup penduduk di negeri ini demikian menurut Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis.

Menurut beliau pemberian rebat kepada pemilik enjin sangkut di negeri ini menunjukkan bahawa kerajaan BN memahami bebanan yang ditanggung oleh penduduk terutamanya sekali dari kawasan luar bandar ekoran kenaikan harga bahan api pada tahun lepas.

“Kita masih tetap menunaikan janji kita (pemberian rebat) kepada pemilik enjin sangkut walaupun harga bahan api sudah turun pada masa sekarang kerana ianya kewajipan BN untuk berbuat demikian.

“Walaupun pemberian rebat ini mungkin nampak sedikit namun penduduk sekurang-kurangnya dapat menikmati bantuan yang diberikan oleh kerajaan demi menjaga kebajikan hidup mereka,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ehsan kepada Pemilik Enjin Sangkut di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

Selain itu Harden juga mahu penduduk di kawasan luar bandar untuk sentiasa mengikuti perkembangan isu semasa di negara ini dan dunia amnya dari media masa demi mengelakkan mereka mudah terkeliru dengan dakyah yang diutarakan oleh pihak tertentu.

Pemahaman penduduk luar bandar mengenai isu bahan api contohnya menurut beliau adalah amat penting agar mereka dapat mengetahui langkah utama kerajaan untuk membendung isu berkenaan daripada terpengaruh dengan dakwaan pihak tertentu.

“Dengan ini penduduk di kawasan luar bandar akan mengetahui perbezaan peranan antara pihak kerajaan BN dan pihak pembangkang dalam menangani isu ini dari masa ke semasa.

“Kerajaan tidak akan sesekali memudaratkan hidup penduduk. Kita bertindak untuk merangka pelbagai pelan demi tujuan ini dan bukannya hanya pandai bercakap kosong serta melemparkan pelbagai fitnah tanpa ada tindakan susulan,” katanya.

ADUN Lingga, Hajah Simoi Haji Peri, ADUN Bukit Begunan, Mong Dagang, Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji dan pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi turut hadir sama dalam majlis berkenaan.

Terdahulu seramai 1,382 pemilik enjin sangkut daripada kawasan daerah Sri Aman, Pantu dan Lingga menerima wang rebat yang mencatatkan nilai keseluruhan berjumlah RM578,990 pada majlis itu.


Tamat.





No comments:

Post a Comment