Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

27 May, 2009

Belia dipelawa sertai Sukaneka Permotoran 2009 di KPSU lama 7 Jun ini

Mugshot: AWANG ZAINUDDIN AWANG AHMAD

SRI AMAN, Rabu (27 Mei) – Kelab TopGear Motorsport Sri Aman akan menganjurkan Sukaneka Permotoran 2009 bertempat di padang lama Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi (KPSU) Sri Aman pada 7 Jun ini.

Presidennya Awang Zainuddin bin Awang Ahmad ketika dihubungi berkata sejumlah lapan buah acara akan diadakan menerusi penganjuran Sukaneka Permotoran 2009 yang akan bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang ini.

“Acara itu ialah Pertandingan Mengayuh Basikal Dengan Mata Tertutup, Menunggang Motorsikal Paling Perlahan, Berlari Sambil Mengolek Tayar, Menukar Tayar Kereta Pancit Terpantas, Tarik Tali, Iron Man, Pameran Motorsikal dan Skuter.

“Kesemua acara yang diadakan Sukaneka Permotoran 2009 ini adalah bertujuan untuk memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Malaysia Ke-XII Peringkat Sarawak pada hari terbabit,” menurut beliau.

Menerusi Sukaneka Permotoran 2009, para belia dari sekitar bandar Sri Aman kata Awang akan berpeluang untuk menjiwai suasana sambutan Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong berkenaan.

“Atas sebab ini pihak kami ingin mempelawa semua belia dari sekitar bandar ini untuk mengambil bahagian dalam semua acara Sukaneka Permotoran 2009 pada hari berkenaan.

“Penyertaan adalah percuma. Mereka yang berminat perlu datang di padang berkenaan sebelum jam 8 pagi bagi tujuan proses pendaftaran diri dalam mana-mana pertandingan yang ingin mereka sertai kelak,” katanya.

Justeru Awang berharap agar golongan belia dari bandar Sri Aman tidak melepaskan peluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti Sukaneka Permotoran 2009 yang akan dirasmikan oleh Residen Bahagian Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji pada hari tersebut.

Tamat.






No comments:

Post a Comment