Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

22 April, 2009

Tay harap lebih ramai pihak turun padang bantu keluarga mangsa kebakaran


Caption: RINGANKAN BEBAN...Tay (kanan) menyerahkan bantuan kewangan dan makanan kepada Bakri sambil disaksikan oleh ahli keluarga mangsa dan ahli persatuan terbabit semalam.

SRI AMAN, Rabu (22 April) – Nasib malang yang menimpa keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir apabila kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 19 April lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Kali ini Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang atau juga dikenali Moral Uplifting Society telah tampil untuk memberikan bantuan berupa sumbang wang bernilai RM200 dan barangan makanan kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit semalam.

Sumbangan wang dan barangan makanan ini telah disampaikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita persatuan tersebut iaitu Tay Yu Hock serta Lim Chiang Ngo kepada ketua keluarga mangsa iaitu Bakri Rapia.

Tay ketika ditemui berkata Persatuan Chee Chuan Khor sememangnya aktif dalam membantu mana-mana penduduk yang dilanda kesusahan terutama sekali yang membabitkan kejadian kebakaran sebelum ini.

“Pihak kita sentiasa membantu mereka yang amat memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Untuk itu pihak Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang telah turun padang untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa kebakaran tersebut,” katanya.

Selain itu beliau juga berharap agar lebih ramai pihak turun padang untuk sama-sama membantu bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Bakri Rapia berhubung kejadian kebakaran tersebut.

“Kita mesti prihatin terhadap mana-mana penduduk yang dilanda pelbagai kesusahan untuk sepanjang masa dan inilah kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia yang dianggap bermurah hati untuk membantu mereka yang amat memerlukan,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment