Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 April, 2009

pilihan raya kecil Penanti itu gimik politik PKR kata Masing

SRI AMAN, Ahad (19 April) – Tindakan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti di Pulau Pinang adalah merupakan satu gimik politik yang sengaja diada-adakan oleh pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr James Jemut Masing.

Terdahulu, Fairus, 32, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri ( I ) Pulau Pulang telah meletak jawatan sebagai ADUN Penanti berkuatkuasa mulai 17 April lalu kerana mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan memberi lebih tumpuan terhadap keluarganya.

“Pihak PKR sengaja mahu menguji sejauh mana sokongan penduduk terhadap parti berkenaan menerusi perletakkan jawatan Fairus sebagai ADUN Peranti mulai 17 April lalu yang akan menjurus kepada pilihan raya kecil selepas itu.

“Gimik politik seperti ini tidak seharusnya diadakan oleh PKR kerana ianya membuang masa dan membazirkan wang ringgit bagi tujuan pilihan raya kecil selepas ini nanti,” katanya kepada pemberita ketika berlangsung Majlis Makan Malam Hari Easter anjuran PRS Bahagian Bukit Begunan di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah merasakan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak sesuatu untuk ‘mengharamkan’ perkara seumpama ini.

Beliau juga berpendapat bahawa pilihan raya kecil hanya perlu diadakan jika seseorang wakil rakyat (ADUN atau Ahli Parlimen) terbabit meninggal dunia atau hilang kelayakan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

“Kita tidak boleh biarkan perkara seperti ini berterusan kerana jika tidak ianya akan menjadi satu ‘trend’ demi membolehkan berlakunya pilihan raya kecil bagi tujuan mainan politik di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah ADUN Bukit Begunan, Mong anak Dagang, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Bujang Ladi dan pengerusi jawatankuasa majlis, Ex-Kanselor Jiram Gendang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment