Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 April, 2009

Perlu ada Taman Negara di Lingga kata Simoi


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Jumaat ( 17 April) – Penemuan Simanggang iaitu anak spesis Orang Utan yang ditemui merayau di tepi jalan kawasan Lingga pada minggu lalu telah menguatkan lagi kepercayaan wakil rakyatnya iaitu Hajah Simoi Haji Peri tentang kewujudan spesis haiwan primat berkenaan di kawasannya.

Anak Orang Utan berkenaan yang ditemui oleh seorang budak lelaki berusia 10 tahun itu telah pun diserahkan kepada Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kuching pada 15 April lalu.

“Arwah ayah (Haji Peri) bersama dengan abang saya iaitu Shaharom pernah terserempak dengan sekumpulan Orang Utan di Hutan Entulang dan Skait, Lingga pada sekitar tahun 60-an dahulu ketika mencari Dama (cecair untuk melekatkan ulu parang atau pisau).

“Kisah ini telah pernah arwah ayah sampaikan kepada saya sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1996 dahulu walaupun pada zahirnya tidak ramai orang yang pernah terserempak dengan kumpulan haiwan primat terbabit semenjak 40 tahun yang lalu di Lingga,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Bagaimanapun apabila Simanggang ditemui merayau bersendirian di Lingga pada minggu lalu, penemuan itu kata beliau secara tidak langsung telah menguatkan lagi kepercayaan beliau bahawa wujudnya spesis Orang Utan di kawasan Lingga selama ini.

Walaupun berasa gembira tentang kewujudan spesis Orang Utan di Hutan Entulang, Skait dan Ulu Lingga, namun Simoi percaya jumlah spesis berkenaan mungkin sudah berkurangan sekarang berbanding 40 tahun yang lalu.

“Atas sebab ini saya akan berusaha untuk mengemukakan cadangan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah Taman Negara dalam kawasan hutan di Lingga bagi mengkaji dan melindungi spesis Orang Utan terbabit.

“Saya tidak mahu orang menyangka bahawa Orang Utan sudah pupus di ketiga-tiga hutan dalam daerah kecil Lingga ini...justeru adalah amat penting kerajaan bertindak cepat untuk mewujudkan Taman Negara di sini untuk melindungi habitat spesis berkenaan,” katanya.

Simoi juga turut menambah bahawa pembinaan Taman Negara berkenaan secara tidak langsung akan menarik kedatangan ramai pelancong ke kawasan Lingga yang ingin menyaksikan spesis Orang Utan di sini.

“Taman Negara Meludam misalannya boleh dijadikan sebagai contoh apabila kawasan hutan terbabit mempunyai habitat spesis monyet berkulit merah yang setakat ini belum lagi terdapat di mana-mana kawasan dalam negara ini.

“Harapan saya ialah apabila Taman Negara dapat diwujudkan di Lingga ianya secara tidak langsung dapat memelihara fauna dan flora yang terdapat dalam ketiga-tiga hutan tersebut disamping menjaga habitat Orang Utan di situ,” katanya.

Tamat.

No comments:

Post a Comment