Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 April, 2009

Penduduk Pantu sambut baik penganjuran Pesta Ikan Tapah







Mugshot:

1.ROY...Sambut baik
2.COLLIN...Faedah pembangunan
3.JEOFFERY...Pantu akan terkenal

SRI AMAN, Sabtu (18 April) – Penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 bermula dari 24 hingga 26 April di Pekan Pantu, Sri Aman dijangka bakal menarik ribuan orang pengunjung dari seluruh pelusuk negeri ini nanti.

Pesta ini yang buat julungkalinya dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kecil Pantu akan menampilkan acara Pentas Rakyat, Pertandingan Menangkap Ikan dan Udang, Sukan Air, Sukan Rakyat, Gerai Jualan Hasil Pertanian oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pantu, Gerai Jualan dan Pameran Pembangunan.

Rata-rata penduduk Pantu yang ditemui Utusan Sarawak hari ini bersetuju bahawa penganjuran Pesta Ikan Tapah berkenaan bakal memberi nafas baru terhadap pembangunan di kawasan daerah kecil Pantu berkenaan.

“Saya menyambut baik penganjuran Pesta Ikan Tapah di Pantu bermula 24 April ini kerana ianya secara tidak langsung dapat mengubah taraf hidup penduduk di sini dalam tempoh jangka masa panjang,” kata Roy Martin anak Chenggiam, 25, dari Empili, Pantu.

Collin Anis, 38, dari Selantik berpendapat bahawa kerajaan akan menaiktaraf kemudahan infrastruktur di seluruh kawasan daerah kecil Pantu sekiranya pesta ini berjaya mendapat sambutan memberangsangkan dari penduduk.

“Lagipun sungai di kawasan Pantu sememangnya mempunyai banyak jenis ikan yang boleh dijadikan produk eko-pelancongan di negeri ini. Justeru adalah wajar kerajaan menganjurkan Pesta Ikan Tapah di sini,” katanya.

Jeoffery Liang, 25, pula berharap agar kawasan Pantu menjadi lebih terkenal di negeri ini selepas penganjuran Pesta Ikan Tapah kelak sepertimana yang dikecapi oleh Kampung Manggut, Spaoh, Betong yang terkenal menerusi sambutan Pesta Ikan Buntal di situ pada setiap tahun.

“Pembangunan akan cepat masuk ke sini (Pantu) sekiranya nama Pantu mula gah di negeri ini kerana sambutan Pesta Ikan Tapah...ini merupakan berita baik kepada penduduk di kawasan Pantu berhubung pesta itu,” katanya.

Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis bertempat di Pentas Rakyat, Pekan Pantu sekitar jam 8 malam pada 25 April ini.

Tamat.

No comments:

Post a Comment