Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

24 April, 2009

NGO harus bantu kerajaan sebar dasar pembangunan kata Simoi


Caption: TAHNIAH...Simoi (kiri) sedang menyampaikan sijil keahlian KRT kepada Penghulu Haji Abang Mohammad Salleh (kanan sekali) sambil disaksikan oleh Yusli (dua dari kanan) dan Haji Hashim (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (23 April) – Badan Bukan Kerajaan (NGO) seharusnya berperanan untuk menyampaikan dasar pembangunan kerajaan terhadap rakyat di negeri ini dan bukannya bertindak menghasut pemikiran mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berkata Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai salah sebuah NGO di negeri ini misalannya boleh berfungsi untuk menyedarkan dasar kerajaan terhadap rakyat di kawasan masing-masing.

“Kerajaan sejak sekian lama telah memperuntukkan banyak dana atau geran kepada NGO terutamanya KRT demi membolehkan NGO itu memberi impak terhadap peningkatan hidup sosial penduduk di sekeliling kawasan mereka.

“Bagaimanapun ada baiknya NGO membalas kembali sumbangan terbabit selama ini dengan membantu kerajaan menyampaikan segala dasar pembangunan dan isu-isu semasa terhadap rakyat di kawasan mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Penghargaan KRT Kampung Hilir dan seterusnya mengumumkan peruntukkan bernilai RM2,000 kepada KRT tersebut bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Peranan yang dimainkan oleh NGO termasuk KRT kata Simoi lagi secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan politik di Sarawak yang seterusnya dapat menarik kedatangan lebih ramai pelabur asing ke sini.

“Jadi saya berharap agar KRT dapat ‘membuka mata’ mereka berhubung perkara ini. Sumbangan mereka dalam menyampaikan dasar pembangunan terhadap rakyat amat penting adalah amat penting bagi mempertingkat status ekonomi dalam negeri ini,” katanya.

Selain itu beliau juga mahu KRT untuk lebih proaktif dalam melaksanakan aktiviti sosial yang melibatkan golongan belia demi mengurangkan pembabitan golongan tersebut dalam gejala tidak sihat di kawasan masing-masing.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Yusli Nassir dan Pengerusi KRT Kampung Hilir, Haji Hashim bin Pauzan.

Tamat.

No comments:

Post a Comment