Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

02 April, 2009

Najib boleh handle tugas Pak Lah - Jabu


LUBOK ANTU, Khamis (2 April) - Kerajaan negeri yakin Perdana Menteri yang baru iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak akan meneruskan perancangan pembangunan terhadap penduduk di kawasan luar bandar di Sarawak selepas ini menurut Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang.

Beliau percaya bahawa Najib adalah seorang pemimpin yang amat prihatin dan akan meneruskan segala rancangan pembangunan di kawasan luar bandar yang telah dirancangkan sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan negeri akan memberi sokongan padu kepada kepimpinan Najib sama seperti sokongan terhadap bekas-bekas Perdana Menteri yang terdahulu termasuk Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

``Rakyat di Sarawak sudah pasti mahu Perdana Menteri yang baru ini akan meneruskan projek pembangunan kepada penduduk di luar bandar dalam negeri ini.

``Kita juga berterima kasih kepada sistem politik Barisan Nasional (BN) kerana peralihan kuasa antara Abdullah dan Najib berjalan dengan lancar,'' katanya kepada pemberita ketika diminta untuk mengulas mengenai peralihan kuasa antara Abdullah kepada Najib yang dijadualkan mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri esok.

Beliau terdahulu telah merasmikan Program Gotong Royong Membersihkan Sungai bersama para penduduk dari 10 buah rumah panjang di sini serta upacara `miring' di Hulu Sungai Jengi, Ulu Engkari, Batang Ai, Lubok Antu hari ini.

Jabu juga percaya Najib akan meneruskan projek pembangunan Abdullah dan berusaha menjadikan Wawasan 2020 menjadi realiti.

“Kerajaan negeri juga mengucapkan terima kasih kepada Abdullah di atas sumbangan beliau terhadap negeri ini selama ini dan percaya penganti beliau iaitu Najib akan meneruskan projek pembangunan beliau disamping menjadikan Wawasan 2020 sebagai sebuah realiti,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai tuduhan yang dilemparkan oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kepadanya, Jabu memberitahu bahawa pemimpin pembangkang itu hanya tahu berkhayal dan bercakap lebih daripada pemikiran dirinya sendiri.

Katanya, seorang pemimpin yang datang ke negeri ini bagi tempoh mungkin sekali setahun tetapi kemudiannya mendakwa memahami serta mengetahui adat budaya masyarakat di sini adalah khayalan serta pembohongan.

``Mana mungkin orang sebegini boleh memahami budaya dan adat resam kami malah orang ini hanya omong-omong kosong sahaja,'' katanya.Tamat.

No comments:

Post a Comment