Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

19 April, 2009

Mussen tak isi kuota Menteri Muda Pertanian - Masing

SRI AMAN, Ahad (19 April) – Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr James Jemut Masing menyangkal spekulasi yang menyatakan bahawa Malcom Mussen Lamoh akan mengisi kuota jawatan Menteri Muda Permodenan Pertanian bagi menggantikan mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot yang meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Mussen, 49, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai yang baru setelah berjaya menewaskan calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) iaitu Jawah Gerang dengan kelebihan 1,854 majoriti undi menerusi pilihan raya kecil kawasan terbabit pada 7 April lalu.

Spekulasi mula timbul selepas itu apabila terdapat pihak yang mendakwa bahawa Malcom bakal diberikan kepercayaan untuk mengisi jawatan menteri muda terbabit berdasarkan kepada pengalaman beliau sebagai jurutera di Jabatan Pertanian Sarawak sebelum ini.

“Spekulasi atau khabar angin itu tidak benar kerana kuasa untuk menentukan mereka yang layak bagi mengisi jawatan menteri atau menteri muda dalam kabinet Kerajaan Negeri ini terletak di tangan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud

“Lagipun pihak PRS belum lagi memilih nama mereka yang layak untuk dihantar kepada Ketua Menteri bagi mengisi kuota jawatan menteri muda berkenaan...jika ada pun kita tidak dapat mendedahkan perkara ini kepada anda (media),” katanya.

Masing juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Hari Easter anjuran PRS Bahagian Bukit Begunan di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu kedudukan Mussen dalam PRS menurut beliau juga akan ditentukan menerusi Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti terbabit yang dijangka berlangsung dalam tempoh sebulan mulai sekarang.

“Beliau (Mussen) sehingga kini belum mempunyai sebarang jawatan dalam PRS dan kita akan dapat tahu sebaik sahaja selesai Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dalam tempoh bulan ini nanti,” katanya.

Majlis yang telah dirasmikan oleh Masing ini turut dihadiri oleh ADUN Bukit Begunan, Mong anak Dagang, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Bujang Ladi dan pengerusi jawatankuasa majlis, Ex-Kanselor Jiram Gendang.

Tamat.

No comments:

Post a Comment