Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 April, 2009

KOBERA akan ditubuh di DUN Lingga

Caption: BERITA BAIK..Simoi sedang mengumumkan penubuhan KOBERA DUN Lingga ketika berlangsungnya majlis berkenaan di Dewan Serbaguna Kampung Hilir hari ini.


SRI AMAN, Jumaat (3 April) – Kerajaan akan menubuhkan Koperasi Bela Rakyat atau lebih dikenali sebagai KOBERA di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga dalam masa terdekat ini.

ADUN Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri mengumumkan perkara terbabit ketika berucap pada Majlis Perasmian Kursus Pra-Pelaksanaan Projek (Gerak Gempur) Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Tahun 2009 Bagi Daerah Sri Aman bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Hilir Sri Aman hari ini.

Sebagai langkah permulaan, kerajaan menurut beliau akan mengenalpasti seramai 50 penduduk berkelayakan dari kawasan DUN Lingga untuk diserapkan dalam KOBERA terbabit dengan berbekalkan dana peruntukkan sebanyak RM30,000.

“Setiap penduduk yang terpilih untuk diserapkan dalam KOBERA DUN Lingga ini buat permulaannya akan diberikan saham bernilai RM100 untuk setiap seorang.

“Ini salah satu daripada usaha pihak kerajaan yang mahu menghapuskan golongan penduduk miskin tegar secara menyeluruh di setiap kawasan DUN dalam negara ini,” menurut beliau sambil menambah bahawa jumlah ahli KOBERA DUN Lingga itu akan ditambah dari masa ke semasa.

Selain itu KOBERA kata Simoi lagi akan membimbing dan memberi peluang perniagaan kepada setiap para ahlinya demi mempertingkat taraf hidup masing-masing pada masa akan datang.

Malah penubuhan KOBERA di setiap kawasan DUN menurut beliau secara tidak langsung juga membolehkan para ahli menyampaikan pelbagai idea atau cadangan untuk mempertingkatkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan masing-masing.

“Kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum ini juga telah memperkenalkan Tabung Bencana Koperasi bernilai RM2 juta khusus untuk memulihkan perniagaan milik para usahawan koperasi yang musnah akibat kejadian bencana alam.

“Ini menunjukkan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak ‘mengula-gulakan’ penduduk dan telah menunjukkan usaha murni mereka untuk membela kebajikan hidup penduduk di negara ini,” katanya.

Hadir sama ialah Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Sarpawi, Pegawai Pembangunan Negeri Sarawak, Mohd Haffizie Putit, Pegawai FELCRA, Annuar Ahim dan Pegawai Hal Ekonomi LKIM, Michael Jopet.

Kursus ini yang disertai seramai 120 peserta bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) Miskin / Miskin Tegar yang berdaftar dalam sistem SPKR mengenai program peningkatan pendapatan dan seterusnya memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan permohonan projek ekonomi yang bersesuaian.

Tamat.

No comments:

Post a Comment