Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

18 April, 2009

JKKK perlu jaga kebersihan - Snowdan


Caption: BINCANG...Abang Shamshuddin (kanan) sedang memperkatakan sesuai kepada Snowdan (kanan) ketika tiba di Pekan Pantu untuk merasmikan Program Gotong Royong Rakan Muda 2009 semalam.

PANTU, Sabtu (18 April) – Penduduk menerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) perlu melaksanakan tanggungjawab menjaga kebersihan di sekitar kawasan penempatan masing-masing untuk sepanjang masa, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan.

Katanya, JKKK yang beroperasi di kawasan rumah panjang amnya perlu bertindak lebih serius dalam menjaga kebersihan di sekitar penempatan mereka demi mengelakkan ancaman wabak penyakit yang mudah merebak seperti Demam Denggi, Kolera, Dysenteri dan Typhoid.

Bagaimanapun Snowdan menjelaskan bahawa penyakit Demam Denggi yang diakibatkan oleh persekitaran kawasan yang tidak bersih seperti takungan air dan sampah sarap merupakan ancaman utama kepada kesihatan pada masa sekarang.

“Demi memastikan mereka bebas daripada ancaman penyakit Demam Denggi maka adalah amat penting bagi pihak JKKK melaksanakan tugas menjaga kebersihan di kawasan masing-masing bermula sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Program Gotong Royong Rakan Muda 2009 bertempat di Pekan Pantu, Sri Aman semalam.

Selain itu katanya aktiviti menjaga kebersihan di kawasan penempatan masing-masing perlulah dilaksanakan atas dorongan JKKK itu sendiri dan bukannya disebabkan oleh sesuatu kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Jelas Snowdan lagi, JKKK perlu cekap berdikari dan membuat jadual perlaksanaan tugas kebersihan di kawasan masing-masing bagi memastikan para penduduk bebas daripada ancaman pelbagai penyakit berbahaya.


Justeru beliau berharap agar semua pihak mempertingkatkan peranan diri masing-masing untuk membantu kerajaan memberi kesedaran terhadap orang ramai akan kepentingan menjaga tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal masing-masing di masa yang akan datang.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Synennier Jean Serit, Pegawai Daerah Kecil Pantu dan SAO Edward Michael Duk. Tamat.

No comments:

Post a Comment