Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

03 April, 2009

Dua keluarga mangsa kebakaran terima bantuan TBS Simanggang


Caption: IKHLAS...Shamsul (kanan) sedang menyampaikan bantuan kepada wakil mangsa (kiri) sambil disaksikan oleh Karim (tengah) ketika berlangsungnya upacara penyampaian bantuan itu baru-baru ini.

SRI AMAN, Jumaat (3 April) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman kelmarin telah menyampaikan bantuan barang keperluan asasi kepada dua buah keluarga yang terlibat dalam kejadian kebakaran di Kampung Hulu Sri Aman baru-baru ini.

Ketua cawangan TBS Sri Aman, Shamsul Bahri bin Manap ketika ditemui berkata bantuan terbabit adalah berupa makanan seperti beras, kicap, gula, telur ayam, minyak masak, biskut dan sebagainya.

Ianya menurut beliau bertujuan untuk membantu mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Dayang Zeliha Awang Ali dan Julai Sabang apabila kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran yang bermula sekitar jam lalu sekitar jam 12.30 pagi pada 29 Mac lalu.

Kejadian kebakaran terbabit juga telah meragut nyawa Seta Jali, 80, iaitu ibu mertua kepada Julai Sabang yang dipercayai mati di tempat kejadian kerana terperangkap di dalam rumah menantunya ketika berlaku kejadian berkenaan.

“Dengan adanya bantuan makanan ini, pihak kami berharap agar keluarga mangsa kejadian terbabit dapat menjalankan urusan kehidupan seharian seperti biasa tanpa sebarang masalah,” katanya.

Selain itu kata Shamsul, pihak TBS Sri Aman juga akan menyampaikan bantuan susulan berupa wang ringgit dalam tempoh yang terdekat ini untuk mengurangkan bebanan keluarga mangsa.

Bantuan wang ringgit hasil sumbangan TBS Sri Aman ini nanti katanya berupaya membantu keluarga mangsa untuk membeli barangan penting bagi tujuan kehidupan seharian masing-masing.

Majlis penyampaian bantuan barangan keperluan asasi kepada keluarga mangsa ini turut disaksikan oleh Pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Sri Aman, Karim Mohammad.

Tamat.



No comments:

Post a Comment