Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

04 April, 2009

Awasi team licik pembangkang - Jabu


Caption: SELAMAT DATANG...Jabu sedang bersalaman dengan penghuni rumah panjang Nanga San, Pandak sebaik sahaja tiba untuk merasmikan majlis pemimpin rakyat di situ hari ini.

LUBOK ANTU, Sabtu (4 April) – Pemilih berdaftar di Batang Ai, Lubok Antu diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan tipu helah yang sengaja dilakukan oleh pihak tertentu yang mungkin mahu mereka tidak membawa kad pengenalan ketika pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) N.29 Batang Ai pada 7 April ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu anak Numpang berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja tamat Majlis Pemimpin Bersama Rakyat bertempat di Rumah Serau Agang, Nanga San Pandak, Lubok Antu di sini hari ini.

Semua pemilih berdaftar di Batang Ai menurut beliau perlu sedar bahawa mereka wajib membawa kad pengenalan diri masing-masing untuk membolehkan mereka membuang undi ketika berlangsungnya Hari Pembuangan Undi (7 April) bagi pilihan raya kecil terbabit.

“Berkemungkinan akan muncul kumpulan ‘tukang kekeliruan’ sebelum Hari Pembuangan Undi ini nanti yang akan cuba memperdaya penduduk di Batang Ai agar tidak perlu membawa kad pengenalan ketika mahu mengundi pada pilihan raya kecil itu kelak.

“Tukang kekeliruan itu sudah semestinya bukan daripada pihak Barisan Nasional (BN). Saya menjangka tukang kekeliruan itu mungkin akan bertindak demikian kerana tidak mahu calon BN mendapat lebih banyak undi berbanding calon pembangkang pada pilihan raya kecil ini nanti,” katanya.

Sementara itu pihak BN kini menurut Jabu juga sedang berusaha keras demi memastikan mereka dapat mempertahankan kerusi DUN N.29 Batang Ai itu nanti daripada pihak Parti KeAdilan Rakyat.

Semua komponen parti BN seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) dan Parti Demokratik Rakyat Sarawak (SPDP) kata beliau sudah turun padang demi memastikan kerusi DUN N,.29 Batang Ai menjadi milik mereka selepas pilihan raya kecil itu.

“Saya berharap agar penduduk di sini tidak memilih pihak pembangkang yang pernah mengadakan mesyuarat di bawah pokok pada pilihan raya kecil itu nanti demi kebaikan pembangunan masa depan mereka,” katanya.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar turut menambah bahawa projek pembinaan jalan raya berturap menerusi peruntukkan bernilai RM19.593 juta hasil dari Pakej Ransangan Ekonomi telah pun mula dilaksanakan dalam beberapa kawasan di Batang Ai.

Ianya termasuklah projek pembinaan jalan raya di kawasan Penempatan Semula Batang Ai (RM9.5 juta) Lubok Antu – Nanga Bulo (RM4 juta), Ulu Lemanak (RM5.093 juta) dan Lubok Antu – Wong Panjai (RM1 juta).

Hadir sama pada majlis itu ialah ADUN Kemena, Dr Stephen Rundhi Ukom, ADUN Bukit Saban, Robert Lawson Chuat, para pegawai kerajaan dan ketua kaum dari sekitar kawasan ini.

Tamat.




No comments:

Post a Comment