Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

29 April, 2009

Kursus Keusahawan Penternakan Walit Secara Komersial di Dewan Pejabat Daerah Asajaya, Samarahan 25 Mei ini

SRI AMAN, Rabu – ASRADA Enterprise @ Global Markerting dengan sokongan Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Kuching akan menganjurkan Kursus Keusahawan Penternakan Walit Secara Komersial pada 25 Mei ini bertempat di Dewan Pejabat Daerah Asajaya, Samarahan.

Menurut jurucakap penganjur Zaidil Haji Ripin ketika dihubungi berkata kursus ini bertujuan untuk m,emberi pendedahan kepada teknologi pembinaan rumah burung bagi pengeluaran sarang wallet emas di Sarawak dan mengetahui potensi kawasan, potensi industri, impak penternakan terhadap alam sekitar, pasaran dan bantuan pembiayaan.

“Selain itu kursus ini juga bertujuan untuk memberi pengetahuan dan kemahiran teknik-teknik serta tips pengeluaran sarang burung wallet emas melalui rumah burung.

“Ini secara tidak langsung memberi peluang kepada usahawan bumiputera Sarawak untuk menceburi mbidang pengeluaran sarang burung wallet emas yang berpontensi pada masa sekarang,” katanya.

Semasa pra-pendaftaran para peserta yang berminat kata Zaidil hanya perlu menghantar nama, nombor kad pengenalan, alamat dan nombor telefon dengan menghantar Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau menghubungi beliau sendiri di talian 013-8355673 atau kepada Amat menerusi talian 013-8357880.

“Setiap peserta akan dikenakan yuran penyertaan berjumlah RM100 seorang. Kursus Kursus Keusahawan Penternakan Walit Secara Komersial hanya akan berlangsung selama sehari dan sijil akan diberikan kepada para yang telah mengambil bahagian.

“Proses pendaftaran peserta akan bermula seawal jam 8 pagi pada hari berkenaan dan ceramah mengenai kursus ini akan dikendalikan oleh Unit Pembangunan Usahawan Bumiputera Kuching, Jabatan Hutan, Argo Bank,” katanya.

Tamat.





104 penduduk sertai kursus pengenalan RELA




Caption:

1.UNTUK KENANGAN...Bajuri (duduk tengah) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama dengan peserta Kursus Pengenalan RELA 2009 di perkarangan rumah Nata, Skra Ulu baru-baru ini.

2.PENGHARGAAN...Bajuri (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Tr Nata (kiri) sebaik sahaja tamat kursus Kursus Pengenalan RELA 2009 di Skra Ulu baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (28 April) – Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Daerah Sri Aman telah menganjurkan Kursus Pengenalan RELA 2009 bertempat di Rumah Nata, Skra Ulu, Sri Aman bermula 24 hingga 25 April lalu.

Menerusi kenyataan berita yang dikeluarkan hari ini, Kursus Pengenalan RELA 2009 ini telah membabitkan penyertaan seramai 104 orang penduduk rumah panjang dari sekitar daerah Sri Aman ini.

“Tujuan utama Kursus Pengenalan RELA 2009 ini diadakan adalah untuk menerangkan beberapa perkara asas dalam pertubuhan sukarelawan ini antaranya termasuklah mengenai carta organisasi, peranan, tugas dan tanggungjawab sebagai anggota RELA.

“Kursus Pengenalan RELA 2009 ini turut menerangkan nilai-nilai disiplin yang perlu ada pada setiap anggotanya ketika melaksanakan tugas diri masing-masing,” katanya.

Ceramah mengenai Kursus Pengenalan RELA 2009 di rumah panjang berkenaan ini menurut kenyataan terbabit telah dikendalikan oleh Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adon.

Kesemua 104 penduduk rumah panjang yang menghadiri Kursus Pengenalan RELA 2009 itu adalah merupakan ahli baru pertubuhan RELA Daerah Sri Aman dijangka bakal menghadiri Kursus Asas RELA dalam masa yang ditentukan kelak.

Hadir sama ketika berlangsungnya Kursus Pengenalan RELA 2009 di Ruman Nata, Skra Ulu ini ialah Penolong Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Mejar (RELA) Joshua anak Ijau.

Tamat.

Tapah penghias Pantu


IDENTITI BARU...Mercu tanda Ikan Tapah telah diletakkan di persimpangan jalan masuk menuju ke Pekan Pantu, kira-kira 62 kilometer dari bandar Sri Aman ketika berlangsungnya Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 bermula dari 24 hingga 26 April lalu. Mercu tanda Ikan Tapah ini melambangkan pembaharuan terhadap Pekan Pantu yang selepas ini dijangka mengalami transformasi pembangunan hasil penganjuran pesta itu yang telah juga menarik lebih kedatangan lebih 3,000 pengunjung.


Agama penyumbang keharmonian - Mong


Caption: UNTUK KENANGAN...Reverend Father Chimbie Bunsi (tengah) menyampaikan cenderahati kepada Mong (kanan) ketika berlangsungnya majlis baru-baru ini.

SRI AMAN, Selasa (28 April) – Aspek agama memainkan peranan yang cukup penting ke arah menyumbang kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup penduduk berbilang kaum dalam negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang berkata agama telah mendidik setiap penganutnya untuk melakukan kebaikan disamping menghormati di antara satu sama lain untuk sepanjang masa.

“Tiada agama di dunia ini yang mengajar penganutnya untuk berbuat kejahatan...jika agama sedemikian wujud maka ia haruslah tidak wujud lagi pada masa akan datang demi mengelakkan perpecahan dikalangan penduduk yang mempunyai lain-lain anutan agama sebelum ini,” katanya.

Mong berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Diocese Of Kuching Saint Paul’s Church Banting, Lingga bertempat di sebuah restoran tempatan sini baru-baru ini.

Selain itu aspek keagamaan juga kata beliau secara tidak langsung telah mewujudkan hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan penduduk berbilang kaum dalam negeri ini khususnya Melayu, Cina dan Dayak.

“Bukti wujudnya hubungan perpaduan yang kukuh dikalangan penduduk menerusi faktor keagamaan di negeri ini dapat dilihat ketika mereka menyambut perayaan utama masing-masing secara bersama setiap tahun.

Beliau malahan juga turut mengajak golongan anak jati kelahiran Banting berpendidikan yang yang kini menentap di bandar agar turun padang untuk membantu membangunkan gereja Saint Paul.

“Saya sedar ramai golongan cerdik pandai yang berasal daripada Banting yang kini sudah memperolehi kerja yang baik dan menentap di bandar. Jadi berusaha untuk sama –sama memajukan gereja yang dianggap paling tua di daerah Sri Aman ini,” katanya.

Dalam majlis itu Mong mengumumkan peruntukkan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 bagi membaiki atap gereja Saint Paul’s Banting.

Tamat......

28 April, 2009

Bank Rakyat Sri Aman agih RM17,850 Zakat Asnaf kepada pelajar miskin




Caption:

1. UNTUK ALBUM...Sheikh Yahya (tengah) bersama Roslan (kanan beliau) sedang merakamkan gambar kenang-kenangan bersama wakil penerima sumbangan Zakat Asnaf ketika berlangsungnya majlis hari ini.

2. MANFAATKAN...Sheikh (kiri) menyampaikan cek replika Zakat Asnaf kepada Guru Besar SK Pantu, Louis Aom (kanan) sambil disaksikan oleh Roslan dan Rahman ketika berlangsungnya majlis hari ini.

SRI AMAN, Isnin (27 April) – Bank Kerjasama Rakyat Malaysia atau Bank Rakyat cawangan Sri Aman telah menyampaikan sumbangan Zakat Asnaf bagi tahun 2008 berjumlah RM17,850 kepada 357 orang pelajar miskin beragama Islam dari empat buah sekolah dari sekitar Bahagian Sri Aman dan Betong.

Empat buah sekolah yang menerima sumbangan Zakat Asnaf bagi tahun 2009 ini ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saribas, SMK Pusa, Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu dan SK Pulau Seduku.

SMK Pusa dari Betong mendahului senarai sekolah yang paling banyak menerima sumbangan wang berkenaan apabila Bank Rakyat cawangan Sri Aman menyumbang cek wang Zakat Asnaf bernilai RM14,700 kepada sekolah menengah berkenaan.

Ini diikuti oleh SMK Saribas yang menerima sumbangan cek sumbangan Zakat Asnaf bernilai RM2,450 daripada bank terbabit.

SK Pantu serta SK Pulau Seduku, Lingga menerusi majlis itu pula telah menerima sumbangan wang Zakat Asnaf berjumlah RM200 dan RM500.

Kesemua cek sumbangan Zakat Asnaf bernilai RM17,850 ini telah disampaikan oleh Ketua Wilayah Sarawak, Bank Rakyat iaitu Sheikh Yahya bin Ahmad kepada para wakil sekolah menerusi sebuah majlis yang berlangsung di restoran tempatan dalam bandar Sri Aman hari ini.

Hadir sama bagi menyaksikan Majlis Penyerahan Zakat Asnaf Bank Rakyat 2008 ini turut disaksikan oleh Pengurus Bank Rakyat cawangan Sri Aman, Roslan Ali bersama penolongnya, Abdul Rahman Reduan dan wakil Pegawai Pelajaran Gabungan Sri Aman, Zainal Surat.

Tamat.

Isuzu D-Max Super Commonrail dapat sambutan


Caption: HEBAT...Para kakitangan Freeway Motor sedang memperagakan model kenderaan Isuzu D-Max Super Commonrail sebelum berakhir roadshow terbabit hari ini.

SRI AMAN, Isnin (27 April) – Syarikat Freeway Motor Sri Aman telah menerima tempahan terhadap empat buah model kenderaan Isuzu D-Max Super Commonrail semenjak bermulanya ‘roadshow’ Isuzu D-Max On The Move di hadapan premis Bank Simpanan Nasional (BSN) Sri Aman bermula 25 April lalu.

Jurucakap Syarikat Freeway Motor Sri Aman, Maxwell Lee Teck Koon ketika ditemui berkata empat buah model Isuzu D-Max Super Commonrail yang telah ditempah semenjak bermulanya roadshow terbabit adalah Double Cab 3.0 L 4X4 MT (manual), Double Cab 3.0L 4X2 AT (automatik) dan Double Cab 2.5L (liter) 4X2 MT (manual).

“Dua tempahan telah dibuat terhadap model kenderaan Isuzu D-Max Super Commonrail Double Cab 3.0 L 4X4 MT (manual) manakala satu tempahan masing-masing dibuat terhadap Double Cab 3.0L 4X2 AT (automatik) dan Double Cab 2.5L (liter) 4X2 MT (manual).

“Jumlah tempahan ini menunjukkan bahawa model Isuzu D-Max Super Commonrail mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada orang ramai di sini ketika berlangsungnya ‘roadshow’ Isuzu D-Max On The Move semenjak 25 April lalu,” katanya.

‘Roadshow’ Isuzu D-Max On The Move yang mendapat perhatian lebih daripada 200 pengunjung dari bandar ini turut mempamerkan model kenderaan Isuzu D-Max Super Commonrail iaitu Double Cab 3.0 L 4X4 AT, 2.5L 4X2 MT Type S (edisi terhad) dan Single Cab 3.0 L 4X4 MT Solid White.

Kesemua model D-Max Super Commonrail Double Cab ini dijual pada harga di antara RM78,.856.70 hingga RM101, 531.10 manakala model D-Max Super Commonrail Single Cab pula dijual pada harga RM73,399.73.

Kesemua model kenderaan Isuzu D-Max Super Commonrail ini juga telah mendapat pengiktirafan 1st Overall Champion 2008 AAM Malaysia 4X4 Rally Championship, Asian Auto Bosch Fuel Efficiency Awards 2008 dan Dura-Miles Challenge (Bangkok – K.L – 1501 Kilometer) In One Full Tank.

Kesemua model kenderaan ini boleh didapati dalam lima bentuk warna iaitu Angelic White Solid, Starry Black Mica, Eclipse Metallic, Mercury Silver Metallic dan Gamma Gray Metallic.

Selain itu orang ramai yang menempah model kenderaan Isuzu D-Max menerusi acara Isuzu D-Max On The Move ini juga berpeluang untuk menikmati diskaun bernilai RM500, faedah bernilai 1.99 peratus dan baucer minyak berjumlah RM500.

“Isuzu D-Max On The Move selepas ini akan berlangsung di hadapan BSN, Saratok (28 – 29 April), Jalan Bersatu, Sarikei (30 April – 2 Mei), Wisma Sanyan Carpark (3 – 9 Mei) dan Tapak Hangus, Mukah (10 – 12 Mei),” katanya Maxwell.

Tamat.

Baitulmail derma keperluan makanan kepada keluarga Bakri


Caption: IKHLAS...Shamsul (kanan) menyampaikan bantuan kepada wakil keluarga mangsa (kiri) ketika berlangsungnya upacara penyampaian sumbangan di sini baru-baru ini.

SRI AMAN, Isnin (27 April) – Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) cawangan Sri Aman baru-baru ini telah menyampaikan Sumbangan Bencana Alam kepada keluarga Bakri bin Rapia apabila kediaman mereka musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran di Kampung Hilir pada 19 April lalu.

Sumbangan Bencana Alam berupa barangan keperluan makanan ini telah disampaikan sendiri oleh Pengurus TBS cawangan Sri Aman, Shamsul Bahri Manap kepada wakil keluarga mangsa sambil disaksikan oleh Ketua Kaum Kawasan Kampung Hilir iaitu Haji Abang Mazaman bin Abang Kawi.

Shamsul ketika ditemui berkata sumbangan Bencana Alam oleh pihak TBS ini bertujuan untuk meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga mangsa yang dilanda musibah berhubung kejadian berkenaan.

“Pihak TBS melahirkan rasa simpati berhubung nasib malang yang telah menimpa keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir apabila rumah mereka musnah dijilat api sekitar jam 6.39 petang pada 19 April lalu.

“Justeru atas sebab ini pihak kami telah tampil memberikan sumbangan berupa barangan keperluan makanan kepada keluarga mangsa seperti mana yang telah kami lakukan terhadap lain-lain keluarga mangsa kebakaran yang lain sebelum ini,” katanya.

Beliau juga berharap agar keluarga Bakri Rapia dapat memanfaatkan sumbangan yang disampaikan oleh TBS cawangan Sri Aman dengan sebaik yang mungkin demi kebaikan ahli keluarga mereka selepas ini.

Terdahulu ssembilan anggota bomba bersama dengan sebuah jentera pemadam dari Balai Bomba Sri Aman telah bergegas ke tapak kejadian kebakaran pada jam 7 petang dan tiba di situ kira-kira 26 minit kemudian setelah menerima panggilan kecemasan pada jam 6.58 petang.

Api kebakaran yang memusnahkan kediaman milik keluarga Bakri itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.58 petang dan operasi oleh pihak bomba berkenaan tamat sepenuhnya pada jam 8.32 malam.

Tamat.

Orang Dayak mesti berani usaha pertanian komersial kata Mong


Mugshot: MONG ANAK DAGANG

SRI AMAN, Isnin (27 April) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bukit Begunan, Mong Dagang menasihatkan golongan Dayak terutamanya kaum Iban yang tinggal di rumah panjang agar berani dan penuh yakin mengusahakan bidang pertanian dan ternakan haiwan komersil.

Menurut beliau, masalah kurang yakin pada diri telah dikenalpasti sebagai faktor yang menyebabkan golongan Dayak gagal mengusahakan bidang pertanian dan ternakan komersil di kawasan masing-masing.

“Lagipun mereka terlalu bergantung kepada orang lain untuk mengusahakan bidang pertanian serta ternakan komersial masing-masing...ini secara tidak langsung menyebabkan mereka kurang mahu berdikari,” katanya.

Mong berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Penubuhan Koperasi Sungai Tenggang Sri Aman Berhad di Balai Raya, Rumah Lanchum, Sungai Tenggang, dalam daerah kecil Pantu, Sri Aman baru-baru ini.

Selain itu pembabitan orang Dayak dalam bidang terbabit membolehkan mereka mempertingkatkan taraf ekonomi keluarga dan kawasan penempatan masing-masing dari masa ke semasa.

Ianya sekaligus kata Mong dapat membuka minda orang Dayak yang lain untuk menjejak langkah mereka yang telah berjaya menceburi bidang pertanian serta ternakan haiwan komersial sebelum itu.

“Paling penting di sini ialah kita dapat mengubah pemikiran orang Dayak untuk lebih maju dalam bidang ekonomi disamping mengusahakan bidang pertanian jenis sara diri,” katanya.

Majlis ini adalah merupakan hasil kerjasama daripada pihak Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Sarawak dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Lanchum berkenaan.

Dalam majlis itu Mong juga turut melawat Tapak Ternakan Ikan Keli yang diusahakan oleh penduduk-penduduk rumah panjang Lenchum, Sungai Tenggang semenjak bulan Disember tahun lepas dan juga merupakan projek ikan keli yang terbesar di Sarawak.

Ia dijangka akan mengeluarkan hasil dan sekaligus menambahkan pendapatan lumayan kepada para perserta pada awal bulan Mei tahun ini.

Turut hadir dalam majlis itu Timbalan Pengarah II SKM Encik Liew dan Encik Zaini Haji Asmuni dari Mega Techonolgi Enterprise yang berpengkalan di Melaka yang mahir dalam menternak ikan keli

Tamat…

27 April, 2009

Felecia juara Ratu Pesta Ikan Tapah Pantu 2009


Caption: KENANGAN MANIS...Felicia (duduk tengah) sambil diapit oleh Sharonnica (kiri) dan Livia (kanan) ketika sesi bergambar oleh para pemberita sebaik sahaja tamat pertandingan malam tadi.


SRI AMAN, Ahad (26 April) – Nasib menyebelahi Felecia Chuong dari Telagus apabila beliau dinobatkan sebagai johan Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah yang diadakan buat julungkalinya bersempena dengan sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 di Pekan Pantu, Sri Aman malam tadi.

Felicia muncul johan setelah persembahan dan jawapan yang diajukan oleh pihak penganjur terhadap dirinya berjaya menyakinkan pihak juri hakim untuk memberikan gelaran Ratu Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 ini terhadap beliau.

Kemenangan Felicia ini sekaligus membolehkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500 beserta dengan piala kemenangan.

Sementara itu adik gadis dari Kampung Kesindu, Simunjan iaitu Sharonnica anak Diliu telah dinobatkan sebagai naib juara Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah berkenaan manakala Livia anak Charles dari Muding pula muncul pemenang tempat ketiga.

Sharonnica dan Livia menerusi Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah ini masing-masing membawa pulang hadian wang tunai berjumlah RM300 dan RM200 beserta dengan sebuah piala untuk setiap seorang.

Sembilan orang peserta yang turut mengambil bahagian dalam pertandingan ini ialah Ida Jelamin, Juwita Aldar, Sura Pakoi, Elizabeth Bedai, Jacqualine Unting Entika, Felicia Saili Renang, Lina Pengabang, Cecelia Jackson Geri dan Horija anak Igah.

Kesemua hadiah kemenangan dan saguhati kepada para peserta telah disampaikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis sebaik sahaja selesai pertandingan berkenaan malam tadi.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, Residen Sri Aman, Abang Shamsuddin Abang Seruji dan timbalannya, Desmond Douglas, pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi, Walikota Sri Aman, Piau Inggot dan Pegawai Pejabat Daerah Kecil Pantu, SAO Edward Michael Duk.

Tamat.

Sungai Batang Seterap, Pantu perlu ditagang kata Harden




Caption:

1. TERTARIK...Harden (duduk tengah) bersama para tetamu jemputan yang lain sedang khusyuk menyaksikan acara yang berlangsung di Pentas Rakyat malam tadi.

2.UNTUK ALBUM...Harden (berdiri belakang tengah) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama pemenang Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah malam tadi. Turut kelihatan ialah (dari kanan sekali) Shamshuddin, Masir, Snowdan dan Piau (kiri sekali).


SRI AMAN, Ahad (26 April) – Sungai Batang Seterap, Pantu perlu di’tagang’ bagi memastikan spesis tumbuhan akuatik dan haiwan di dalam sungai terbabit terutamanya Ikan Tapah terus terpelihara dan bebas dari ancaman kepupusan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis berkata demikian berkata demikian ketika berucap merasmikan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 bertempat di Pentas Rakyat, Pekan Pantu, Sri Aman malam tadi.

Tagang adalah merupakan sebuah program perkongsian pintar di antara jabatan pertanian dan penduduk tempatan dalam usaha untuk mengawal, melindungi, memulihara dan mengurus sesebuah kawasan sungai termasuk tumbuhan akuatik.

“Penganjuran pesta ini sekaligus telah menyebabkan spesis Ikan Tapah di Sungai Batang Seterap Pantu akan menjadi lebih popular dikalangan penduduk di kawasan daerah kecil Pantu ini.

“Kita mahu Ikan Tapah terus wujud di Sungai Batang Seterap demi penganjuran Pesta Ikan Tapah di masa akan datang....jadi ada baiknya proses Tagang ini dilaksana di sungai berkenaan bagi tujuan tersebut,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang juga akan mencadangkan projek Tagang terhadap Sungai Batang Seterap, Pantu ini terhadap Jabatan Pertanian bagi tujuan tindakan lanjut.

“Projek Tagang ini juga sekaligus dapat menghalang penduduk dari menggunakan keadah penangkapan yang diharamkan oleh kerajaan termasuk penggunaan bom, bahan kimia, tuba, elektrik dan sebagainya,” tambah Harden.

Hadir sama ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat, ADUN Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan, Residen Sri Aman, Abang Shamsuddin Abang Seruji dan timbalannya, Desmond Douglas, pemangku Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi, Walikota Sri Aman, Piau Inggot dan Pegawai Pejabat Daerah Kecil Pantu, SAO Edward Michael Duk.

Majlis perasmian Pesta Ikan Tapah Pantu malam tadi diserikan dengan Pertandingan Ratu Tapah, persembahan nyanyian oleh artis rakaman Iban tempatan dan persembahan tarian kebudayaan.

Tamat.

25 Mei kemuncak Pesta Ikan Tapah di Pantu

SRI AMAN, Ahad (26 April) – Sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 yang telah berlangsung dari 24 April lalu di Pekan Pantu, Sri Aman telah berakhir secara rasminya pada hari ini (26 April).

Secara keseluruhan lebih 3,000 pengunjung telah membanjiri kawasan Pekan Pantu untuk memeriahkan lagi suasana penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 dengan menyaksikan tujuh buah acara menarik di situ.

Antaranya ialah Pentas Rakyat, Pertandingan Menangkap Ikan dan Udang, Sukan Air, Sukan Rakyat, Gerai Jualan Hasil Pertanian oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pantu, Gerai Jualan dan Pameran Pembangunan.

Bagaimanapun malam tadi boleh dikatakan sebagai kemuncak utama penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 apabila lebih 500 penduduk membanjiri kawasan Pekan Pantu untuk menyaksikan persembahan Ratu Pesta Ikan Tapah dan persembahan nyanyian lagu oleh artis rakaman Iban popular di negeri ini.

Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 yang dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden Hollis di Pentas Rakyat, Pekan Pantu malam tadi ternyata menghiburkan kesemua 500 penduduk yang hadir untuk demi menyaksikan persembahan pelbagai acara menarik.

Walaupun tidak berlakunya sebarang kejadian yang tidak diingini pada malam tadi, penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 yang julungkalinya diadakan di Pekan Pantu ini boleh dianggap berjaya.

Usaha Pejabat Daerah Sri Aman dan Pejabat Daerah Kecil Pantu dalam menganjurkan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 ternyata tidak sia-sia kerana ianya secara tidak langsung telah membuka mata orang luar terhadap Pekan Pantu, Sri Aman yang sebelum ini dianggap sebagai pekan ‘tidur’.

Walaupun sebilangan kecil peniaga mula mengemaskan gerai jualan masing-masing menjelang tengahari hari ini, Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 boleh dianggap sebagai sebuah pemangkin untuk mencetuskan revolusi ekonomi dikalangan penduduknya di situ.

Seorang peniaga tempatan di Pekan Pantu iaitu Shima ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini berharap agar Pesta Ikan Tapah Pantu dapat diadakan semula pada tahun akan datang demi mengubah wajah pekan berkenaan dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Tamat.





Pesta Ikan Tapah sebagai salah satu produk pelancongan terkemuka di Sarawak


Mugshot: SNOWDAN DONALD LAWAN

SRI AMAN, Sabtu (25 April) – Pesta Ikan Tapah Pantu berpotensi untuk dijadikan salah sebuah produk pelancongan terkemuka di negeri ini kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan anak Donald Lawan.

Menurut beliau Pesta Ikan Tapah sememangnya boleh diangkat sebagai sebuah produk pelancongan terkemuka memandangkan kawasan Pantu sememangnya kaya dengan sumber ikan Tapah dan lain-lain sumber hidupan marin yang lain.

“Justeru atas sebab ini saya akan berusaha untuk menjadikan Pesta Ikan Tapah Pantu sebagai sebuah acara pelancongan terkemuka dalam Kalender Pelancongan Sarawak selepas ini,” kata ketika berucap merasmikan acara pertandingan karaoke bersempena dengan Pesta Ikan Tapah Pantu di Pentas Rakyat dalam Pekan Pantu malam tadi.

Selain itu penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu juga secara tidak langsung telah membolehkan kerajaan memberi fokus pembangunan di daerah kecil Pantu dalam jangka masa panjang nanti.

Dengan adanya fokus pembangunan ini, Pekan Pantu menurut beliau tidak lagi akan dianggap sebagai pekan sunyi sebaliknya menjadi sebuah pekan yang menjadi tumpuan orang ramai di masa akan datang.

“Lagipun kerajaan kini akan mula membina jambatan merentangi sungai dari kawasan Pangkalan Pantu untuk menghubungkan penduduk luar bandar ke pekan ini disamping perancangan projek pembekalan elektrik luar bandar (RES) yang akan dilaksana tidak lama lagi.

“Saya menjangkakan sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu akan menjadi lebih menarik pada tahun akan datang dengan adanya kemudahan yang sedang dibina oleh kerajaan pada masa sekarang,” katanya.

Beliau juga menambah sambutan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 telah memberi peluang kepada penduduk di kawasan Pantu untuk menceburi diri dalam bidang penjualan produk kraftangan dan sebagainya.

“Ini secara tidak langsung boleh membantu penduduk untuk belajar cara menjadi seorang usahawan atau peniaga. Jadi saya berharap agar penduduk di sini dapat memanfaatkan pengalaman beniaga yang mereka perolehi menerusi Pesta Ikan Tapah Pantu 2009,” katanya.

Tamat.

Isuzu D-Max Super Commonrail sempena roadshow sri aman 25 - 27 april




Caption:

1.MENARIK...Maxwell sedang memperagakan salah sebuah model kenderaan Isuzu D-Max Super Commonrail ketika berlangsung roadshow berkenaan di sini hari ini.

2.CANGGIH...Gear pemanduan Isuzu D-Max Super Commonrail jenis pacuan empat roda juga boleh diubah kepada sistem pacuan dua roda dengan adanya fungsi butang suis.

SRI AMAN, Sabtu (25 April) – Jika anda sering melakukan pekerjaan lasak yang membabitkan sektor perladangan dan binaan maka model kenderaan keluaran terbaru Isuzu iaitu D-Max Super Commonrail adalah pilihan yang tepat untuk anda.

Dengan menggunakan bahan api Diesel, D-Max Super Commonrail sudah semestinya memberikan kepuasan terhadap para pengguna yang sering menempuhi perjalanan di kawasan pedalaman disamping melakukan kerja perladangan dan binaan.

Justeru orang ramai khususnya penduduk dari sekitar bandar Sri Aman ini berpeluang untuk melihat tujuh jenis model kenderaan D-Max Super Commonrail (model pacuan empat roda dan pacuan belakang) menerusi pameran Isuzu D-Max On The Move yang berlangsung di hadapan premis Bank Simpanan Nasional (BSN) bermula hari ini hingga 27 April kelak.

“Menerusi pameran ini, orang ramai berpeluang untuk melihat tujuh jenis model D-Max Super Commonrail iaitu Double Cab 2.5L (liter) 4X2 MT (manual), 3.0L 4X2 AT (automatik), 3.0 L 4X4 MT, 3.0L 4X4 MT, 3.0 L 4X4 AT, 2.5L 4X2 MT Type S (edisi terhad) dan Single Cab 3.0 L 4X4 MT Solid White.

“Kesemua model D-Max Super Commonrail Double Cab ini dijual pada harga di antara RM78,.856.70 hingga RM101, 531.10 manakala model D-Max Super Commonrail Single Cab pula dijual pada harga RM73,399.73,” kata jurucakap syarikat Freeway Motor Company, Maxwell Lee Teck Koon ketika ditemui hari ini.

Kesemua model kenderaan D-Max Super Commonrail ini menurut beliau telah mendapat pengiktirafan 1st Overall Champion 2008 AAM Malaysia 4X4 Rally Championship, Asian Auto Bosch Fuel Efficiency Awards 2008 dan Dura-Miles Challenge (Bangkok – K.L – 1501 Kilometer) In One Full Tank.

“Kesemua model kenderaan ini boleh didapati dalam lima bentuk warna iaitu Angelic White Solid, Starry Black Mica, Eclipse Metallic, Mercury Silver Metallic dan Gamma Gray Metallic.

“Isuzu D-Max On The Move yang bermula dari jam 8 pagi hingga jam 6 petang ini membolehkan orang ramai menyaksikan demonstrasi produk, pandu uji, pemeriksaan percuma terhadap 36 tempat utama kenderaan peribadi mereka, jualan balik kereta terpakaio dan jamuan ringan,” kata Maxwell.

Selain itu orang ramai yang menempah model kenderaan Isuzu D-Max menerusi acara Isuzu D-Max On The Move ini juga berpeluang untuk menikmati diskaun bernilai RM500, faedah bernilai 1.99 peratus dan baucer minyak berjumlah RM500.

“Isuzu D-Max On The Move selepas ini akan berlangsung di hadapan BSN, Saratok (28 – 29 April), Jalan Bersatu, Sarikei (30 April – 2 Mei), Wisma Sanyan Carpark (3 – 9 Mei) dan Tapak Hangus, Mukah (10 – 12 Mei),” katanya.

Tamat.

Pesta Ikan Tapah di Pantu tarik lebih 3,000 pengunjung


TERTARIK...Dua orang pengunjung sedang tertarik melihat produk pakaian tradisional yang dijual di salah sebuah gerai bersempena dengan penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 yang diadakan di Pekan Pantu bermula 24 April lalu hingga 27 April ini. Pekan Pantu telah menerima lebih 3,000 orang pengunjung semenjak pesta ini bermula secara rasminya pada 24 April lalu. Tujuh buah acara menarik diadakan menerusi acara ini iaitu Pentas Rakyat, Pertandingan Menangkap Ikan dan Udang, Sukan Air, Sukan Rakyat, Gerai Jualan Hasil Pertanian oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pantu, Gerai Jualan dan Pameran Pembangunan.

24 April, 2009

Pesta Ikan Tapah di Pantu meriah





Caption:

1.MERIAH...Orang ramai sedang mengunjungi gerai jualan yang terdapat di tapak penganjuran Pesta Ikan Tapah di Pekan Pantu hari ini.
2.INGIN BELI? Seorang kakitangan PPK Pantu iaitu Petin Naek sedang menunjukkan seekor ikan Tapah yang akan dijual di gerai mereka ketika berlangsungnya pesta terbabit hari ini.

3.CUBA NASIB...Sebahagian pengunjung sedang bermain permainan yang disediakan ketika berlangsungnya Pesta Ikan Tapah Pantu hari ini.

SRI AMAN, Jumaat (24 April) – Ratusan orang pengunjung membanjiri kawasan Pekan Pantu, Sri Aman untuk menyaksikan pelbagai acara menarik yang berlangsung menerusi Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 di situ bermula dari jam 7 pagi hari ini.

Rata-rata para pengunjung yang datang dari Serian, Betong dan Kuching kelihatan begitu ghairah untuk berhimpun di Pengkalan Pantu yang terletak tidak jauh dari kawasan penganjuran utama pesta untuk menyaksikan Pertandingan Menangkap Ikan dan Menjala Udang, Sukan Air dan Sukan Rakyat yang berlangsung di situ.

Manakala di kawasan Pekan Pantu pula para pengunjung berpeluang untuk mendapatkan pelbagai produk tempatan yang menarik disamping menikmati pelbagai juadah makanan dan minuman yang ditawarkan oleh peniaga di situ.

Malahan para pengunjung juga turut dihiburkan dengan peringkat saingan Pertandingan Karaoke yang merupakan salah satu acara Pentas Rakyat dan telah bermula pada jam 2 petang di situ hari ini.

Disamping itu mereka juga akan turut dihiburkan dengan persembahan Nyanyian Penyanyi Jemputan Terkenal Iban, Melayu dan Cina, Tarian Poco-Poco dan Pertandingan Ratu Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 yang juga akan berlangsung pada hari ini.

Seorang pengunjung iaitu James Langgang Jipon, 19, ketika ditemui hari ini menjelaskan bahawa penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu yang buat pertama kalinya diadakan di Pekan Pantu adalah cukup menarik dan mengkagumkan.

“Tahniah kepada Pejabat Daerah Kecil Pantu dan Pejabat Daerah Sri Aman kerana telah berjaya menganjurkan pesta seperti itu di sini...acara yang dianjurkan cukup menarik dan saya cukup berpuashati dengannya,” kata beliau.

Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 di Pekan Pantu yang telah bermula secara rasminya pada hari ini hingga ianya berakhir pada 26 April kelak telah menampilkan tujuh buah aktiviti menarik.

Tujuh buah acara menarik ini ialah Pentas Rakyat, Pertandingan Menangkap Ikan dan Udang, Sukan Air, Sukan Rakyat, Gerai Jualan Hasil Pertanian oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pantu, Gerai Jualan dan Pameran Pembangunan.

Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis akan merasmikan Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 ini bertempat Pentas Rakyat Pantu pada 25 April ini bermula jam 8 malam.

Tamat.

Kontraktor perlu ada banyak link kalau nak berjaya - Simoi


Caption: TAHNIAH...Simoi (tengah) menyampaikan sijil kehadiran kepada seorang peserta kursus sambil disaksikan oleh Mashan (kiri sekali) ketika tamat majlis di sebuah hotel tempatan dalam bandar ini semalam.

SRI AMAN, Jumaat (24 April) – Seseorang perlu mempunyai rangkaian hubungan yang meluas sekiranya mahu menjadi kontraktor yang cukup berjaya dalam sepanjang hidup kerjayanya kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri.

Tanpa rangkaian hubungan yang meluas ini, individu yang menceburi diri dalam kerjaya sebagai seorang kontraktor kata beliau tidak akan mengecapi kejayaan yang cukup memuaskan dalam dirinya di masa akan datang.

“Anda tidak boleh menjadi seorang kontraktor yang berjaya jika tidak mementingkan aspek ini. Justeru adalah amat penting untuk seseorang itu berusaha dengan lebih gigih untuk ‘membina’ rangkaian hubungannya sendiri,” menurut beliau.

Simoi berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Pengurusan Bisnes Kontraktor CIDB Sesi 05 / 09 bertempat sebuah hotel tempatan dalam bandar ini petang kelmarin.

Disamping membina rangkaian hubungannya sendiri, kontraktor kata beliau juga perlu menguasai teknik komunikasi yang berkesan dan disamping memiliki ketrampilan yang menyakinkan.

“Bagaimanapun soal sama ada kontraktor itu mendapat kontrak atau tidak bergantung kepada sejauh mana beliau berusaha untuk mendapatkan projek terbabit.

“Paling penting ialah kontraktor terbabit memiliki kesemua aspek itu dan mestilah rajin berusaha untuk mendapatkan apa yang beliau perlukan sebagai seorang kontraktor di kawasannya sendiri,” katanya.

Kursus Pengurusan Bisnes Kontraktor CIDB Sesi 05 / 09 yang membabitkan sejumlah 29 orang peserta ini telah bermula dari 20 April sehingga kelmarin. Ceramah mengenai kursus ini telah dikendalikan oleh Pengurus MARCOP Enterprise iaitu Mashan Haji Ahmad Rais.

Tamat.


Kempen anti nyamuk di Jalan Belimbing 2 Mei ini

SRI AMAN, Jumaat (24 April) – Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) akan menganjurkan Kempen Anti-Nyamuk dan Gotong-Royong bertempat di Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Jalan Belimbing, Sri Aman pada 2 Mei ini bermula jam 8 pagi.

Menurut kenyataan yang diterima hari ini, kempen itu bertujuan untuk mendidik orang ramai tentang betapa pentingnya aspek menjaga kebersihan di kawasan penempatan masing-masing.

“Orang ramai perlu sedar bahawa kebersihan boleh menyumbang kepada kurangnya risiko masalah kesihatan yang bakal dihadapi oleh mereka lebih-lebih lagi risiko serangan wabak Deman Denggi yang berpunca dari nyamuk Aedes.

“Justeru pihak kami menerusi kempen ini mahu mendedahkan pelbagai maklumat penting kepada orang ramai tentang langkah pengawalan terhadap pembiakan nyamuk Aedes di kawasan masing-masing,” katanya.

Selain itu katanya pihak MDSA juga mahu orang ramai menyedari hakikat bahawa penyakit Demam Denggi dan Denggi Berdarah adalah disebabkan oleh nyamuk Aedes yang membiak di kawasan kotor atau tempat air bertakung.

Adalah amat penting bagi orang ramai untuk membasmi kawasan takungan air berkenaan seperti membakar atau menanam sampah sarap di dalam tanah disamping mempratikkan penggunaan racun pembunuh Jentik-Jentik.

“Justeru program itu nanti dijangka dapat mendidik penghuni di penempatan berkenaan untuk membersihkan kawasan penempatan masing-masing dari masa ke semasa,” katanya.

Kempen Anti-Nyamuk dan Gotong-Royong di JKKK Jalan Belimbing ini nanti akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis pada jam 10 pagi. Bakal turut hadir ialah Ahli Parlimen Sri Aman, Masir Kujat dan Walikota Sri Aman, Piau anak Inggot.

Tamat.

Team anjing di bandar S.A khuatirkan orang ramai


SAMSENG JALANAN...Sekumpulan anjing liar yang terdiri daripada satu ekor anjing betina dan tiga ekor anjing jantan dilihat seriang berkeliaran di kawasan Lot 916, Jalan Hospital dalam bandar Sri Aman ini semenjak seminggu yang lalu. Bagaimanapun kehadiran anjing liar yang sering berkeliaran pada waktu pagi di kawasan ini mula menimbulkan kebimbangan orang ramai yang khuatir kumpulan anjing liar tersebut mungkin boleh menyerang mereka pada waktu yang tidak diduga. Tindakan pantas harus diambil oleh pihak berkuasa tempatan untuk membendung kehadiran anjing liar terbabit. Foto:ZULIA HAJI JEMAT - 24 April

Jeti DID Sri Aman tempat idaman kaki pancing Sri Aman


Caption: UDANG PUN UDANGLAH JANJI ROCK! Edwin kelihatan gembira apabila berjaya ‘menewaskan’ seekor udang ketika memancing di Sungai Batang Lupar dari Jeti Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (23 April) – Dapat menangkap 10 ekor ikan Semilang, tujuh ekor Belukang dan lima ekor udang mungkin sudah cukup memadai untuk seorang ‘kaki pancing’ di bandar ini iaitu Edwin Nanggah.

Walaupun tidak banyak, jumlah tangkapan sebanyak itu sudah cukup untuk memuaskan hati beliau yang selama ini memilih Jeti Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman yang terletak di sepanjang Sungai Batang Lupar sebagai lokasi utama untuk memancing pada malam hari.

“Saya dua lokasi kegemaran untuk memancing di sungai ini. Pertama ialah di Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman dan yang kedua pula di Jeti Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman,” katanya yang kini berkhidmat sebagai Juruhebah Bahagian Iban Stesen RaSA FM atau Radio Televisyen Malaysia Sri Aman.

Buat sementara waktu beliau kini lebih menumpukan perhatian untuk memancing di jeti berkenaan memandangkan kerajaan sedang melaksana projek pembinaan fasa I Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman.

Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman dijangka akan siap menjelang bulan Mei ini membuatkan Edwin tidak sabar untuk cuba memancing di kawasan taman berkenaan selepas ini.

“Kaki pancing di bandar ini seharusnya bersyukur kerana kerajaan telah menyediakan lokasi yang baik untuk melaksanakan aktiviti memancing tanpa mengira masa lebih-lebih lagi apabila siapnya Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman ini kelak.

“Bagaimanapun untuk mengalakkan lagi aktiviti memancing di bandar ini saya rasa ada baik untuk kerajaan mempertingkatkan lagi kemudahan jeti yang terdapat di belakang Jeti Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman ini,” katanya.

Edwin yakin Jeti Jabatan Saliran dan Pengairan Sri Aman dan Taman Tebingan Sungai Batang Lupar Sri Aman mampu menjadi lokasi memancing yang popular di kalangan kaki pancing di masa akan datang.

Tamat.


Skim Rumah Mesra Rakyat untuk keluarga Bakri

Caption: BINCANG...Simoi (kiri sekali) sedang mendengar penjelasan dari mangsa, Bakri (kanan sekali) ketika memantau tapak kebakaran rumah mangsa di sini semalam.

SRI AMAN, Khamis (23 April) – Bebanan yang ditanggung oleh keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir apabila rumah mereka musnah dijilat api pada 19 April lalu akan dapat dikurangkan menerusi pemberian bantuan Skim Rumah Mesra Rakyat selepas ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi binti Haji Peri ketika ditemui berkata beliau akan membawa permohonan Skim Rumah Mesra Rakyat ini kepada Kementerian Perumahan Sarawak bagi membantu keluarga mangsa mendapatkan kediaman baru setelah dilanda musibah terbabit.

“Saya telah menemui mangsa (Bakri) dan beliau telah pun bersetuju untuk memohon Skim Rumah Mesra Rakyat ini dengan kelayakan surat hak milik tanah yang ada padanya.

“Saya yakin pihak kementerian akan meluluskan permohonan ini secepat yang mungkin berdasarkan kepada kes keluarga mangsa selagi permohonan itu menepati syarat dan prosedur yang ditetapkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sebaik sahaja selesai menyampaikan sumbangan wang bernilai RM500 kepada keluarga Bakri dan seterusnya meninjau tapak kebakaran rumah mangsa di Kampung Hilir baru-baru ini.

Sementara itu Simoi juga menasihati semua penduduk dalam DUN Lingga untuk memeriksa kembali sistem pendawaian elektrik dalam rumah masing-masing terutama sekali bagi sistem pendawaian yang sudah berusia melebihi 10 tahun.

“Kehadiran haiwan perosak seperti tikus mungkin boleh menjurus kepada berlakunya masalah litar pintas terhadap sistem pendawaian eletrik dalam rumah penghuni masing-masing.

“Justeru adalah amat penting penghuni rumah memeriksa sistem pendawaian elektrik dalam rumah mereka demi mengelakkan berlakunya kejadian kebakaran di masa akan datang,” katanya.

Tamat.


NGO harus bantu kerajaan sebar dasar pembangunan kata Simoi


Caption: TAHNIAH...Simoi (kiri) sedang menyampaikan sijil keahlian KRT kepada Penghulu Haji Abang Mohammad Salleh (kanan sekali) sambil disaksikan oleh Yusli (dua dari kanan) dan Haji Hashim (kiri sekali) ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Khamis (23 April) – Badan Bukan Kerajaan (NGO) seharusnya berperanan untuk menyampaikan dasar pembangunan kerajaan terhadap rakyat di negeri ini dan bukannya bertindak menghasut pemikiran mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berkata Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai salah sebuah NGO di negeri ini misalannya boleh berfungsi untuk menyedarkan dasar kerajaan terhadap rakyat di kawasan masing-masing.

“Kerajaan sejak sekian lama telah memperuntukkan banyak dana atau geran kepada NGO terutamanya KRT demi membolehkan NGO itu memberi impak terhadap peningkatan hidup sosial penduduk di sekeliling kawasan mereka.

“Bagaimanapun ada baiknya NGO membalas kembali sumbangan terbabit selama ini dengan membantu kerajaan menyampaikan segala dasar pembangunan dan isu-isu semasa terhadap rakyat di kawasan mereka dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Malam Penghargaan KRT Kampung Hilir dan seterusnya mengumumkan peruntukkan bernilai RM2,000 kepada KRT tersebut bertempat di sebuah restoran tempatan dalam bandar ini malam tadi.

Peranan yang dimainkan oleh NGO termasuk KRT kata Simoi lagi secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan politik di Sarawak yang seterusnya dapat menarik kedatangan lebih ramai pelabur asing ke sini.

“Jadi saya berharap agar KRT dapat ‘membuka mata’ mereka berhubung perkara ini. Sumbangan mereka dalam menyampaikan dasar pembangunan terhadap rakyat amat penting adalah amat penting bagi mempertingkat status ekonomi dalam negeri ini,” katanya.

Selain itu beliau juga mahu KRT untuk lebih proaktif dalam melaksanakan aktiviti sosial yang melibatkan golongan belia demi mengurangkan pembabitan golongan tersebut dalam gejala tidak sihat di kawasan masing-masing.

Hadir sama ialah Pegawai Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sri Aman, Mohd Yusli Nassir dan Pengerusi KRT Kampung Hilir, Haji Hashim bin Pauzan.

Tamat.

22 April, 2009

Dakwaan Chong berbaur perkauman - Harden


Mugshot: DATUK FRANCIS HARDEN HOLLIS

SRI AMAN, Rabu (22 April) – Timbalan Setiausaha Agung Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Datuk Francis Harden anak Hollis mendakwa Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen berniat untuk melemahkan sokongan kaum Cina terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Terdahulu Chong menerusi komen yang disiarkan dalam laman web sarawakupdate.com baru-baru ini mendakwa bahawa kaum Cina mula kehilangan kuasa untuk meneraju majlis kerajaan tempatan berhubung isu pengambilalihan jawatan pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (SRDC) oleh Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) daripada SUPP sebelum ini.

Setiausaha Agung, Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu turut mendakwa bahawa Majlis Perbandaran Padawan yang kini dipengerusikan oleh ADUN Batu Kawa, Tan Joo Phoi akan dikuasai oleh parti kaum Dayak dalam tempoh 10 tahun akan datang berhubung khabar angin mengenai persempadan semula kawasan tadbir oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan dan Dewan Bandaraya KuchingUtara sebelum ini.

“Dakwaan Chong itu bersifat perkauman. Itu strategi politik beliau untuk melemahkan sokongan orang Cina terhadap BN khususnya SUPP di negeri ini,” kata Menteri Muda Kemajuan Tanah dan ADUN Simanggang itu ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Katanya, keputusan untuk membahagikan kuasa dalam majlis kerajaan tempatan sebelum ini dibuat atas semangat kerjasama dalam komponen parti BN dan tidak sepertimana yang didakwa oleh Chong sebelum ini.

“Lagipun SPDP adalah sebuah parti berbilang kaum di negeri ini. Dengan kata lain ahli kaum Cina dalam SPDP juga mungkin berpeluang untuk menjadi pengerusi SRDC dan tidak semestinya ahli kaum Dayak sahaja.

“Apa yang ingin saya katakan di sini ialah setiap komponen parti BN diberikan peluang untuk meneraju majlis kerajaan tempatan di negeri ini dan ianya bukan bermaksud orang Cina hilang kuasa terhadap kuasa teraju mereka dalam majlis terbabit,” katanya sambil menambah Parti Rakyat Sarawak (PRS) juga diberi peluang untuk meneraju Majlis Daerah Kapit.

Justeru Harden berharap agar penduduk kaum Cina khususnya di Kuching tidak mudah terpedaya dengan helah politik yang sengaja ditimbulkan oleh Chong demi melemahkan sokongan mereka terhadap BN selepas ini.

Tamat.


Ribut attack Simanggang

SRI AMAN, Rabu (22 April) – Ribut kencang beserta dengan hujan lebat yang turun secara mengejut di bandar ini ternyata mengemparkan orang ramai yang masih sibuk melaksanakan urusan harian masing-masing sekitar jam 6 petang kelmarin.

Pada mulanya orang ramai kelihatan tidak mengendahkan cuaca mendung mula meliputi kawasan bandar ini bermula jam 5.40 petang kerana seolah-olah yakin bahawa hujan lebat akan turun secara biasa tanpa beserta ribut.

Bagaimanapun orang ramai khususnya mereka yang sedang leka menikmati aktiviti minum petang di gerai Tebingan Sungai Sri Aman / Batang Lupar terkejut apabila berlakunya ribut secara mengejut sebelum turunnya hujan lebat kira-kira 10 minit selepas itu.

Ribut kencang itu hampir menerbangkan meja makan dan khemas pelanggan yang disediakan di Tebingan Sungai Sri Aman terbabit sehingga menyebabkan orang ramai bertempiaran lari dari kawasan berkenaan.

Malahan cuaca buruk berkenaan turut menyeret beberapa buah warung menjual makanan sehingga ke laluan tengah Jalan Main Bazaar sehingga hampir menimbulkan masalah lalu lintas di situ ketika berlangsungnya ribut.

Kejadian ribut kencang itu kemudiannya disusuli oleh hujan lebat kira-kira 10 minit kemudian. Utusan Sarawak turut dimaklumkan bahawa ribut kencang berkenaan turut menyebabkan sebatang pokok tumbang tidak jauh dari Jabatan Pelajaran Sarawak Bahagian Sri Aman.

Kejadian ribut kencang beserta dengan hujan lebat itu berlangsung selama setengah jam sebelum ianya reda menjelang jam 7 petang kelmarin tanpa adanya sebarang laporan kemalangan berhubung perkara berkenaan.

Tamat.


Tay harap lebih ramai pihak turun padang bantu keluarga mangsa kebakaran


Caption: RINGANKAN BEBAN...Tay (kanan) menyerahkan bantuan kewangan dan makanan kepada Bakri sambil disaksikan oleh ahli keluarga mangsa dan ahli persatuan terbabit semalam.

SRI AMAN, Rabu (22 April) – Nasib malang yang menimpa keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir apabila kediaman mereka musnah dalam kejadian kebakaran yang berlaku pada 19 April lalu terus mendapat perhatian pelbagai pihak.

Kali ini Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang atau juga dikenali Moral Uplifting Society telah tampil untuk memberikan bantuan berupa sumbang wang bernilai RM200 dan barangan makanan kepada keluarga mangsa kebakaran terbabit semalam.

Sumbangan wang dan barangan makanan ini telah disampaikan oleh Ketua Pergerakan Pemuda dan Ketua Pergerakan Wanita persatuan tersebut iaitu Tay Yu Hock serta Lim Chiang Ngo kepada ketua keluarga mangsa iaitu Bakri Rapia.

Tay ketika ditemui berkata Persatuan Chee Chuan Khor sememangnya aktif dalam membantu mana-mana penduduk yang dilanda kesusahan terutama sekali yang membabitkan kejadian kebakaran sebelum ini.

“Pihak kita sentiasa membantu mereka yang amat memerlukan tanpa mengira latar belakang kaum dan agama. Untuk itu pihak Persatuan Chee Chuan Khor Simanggang telah turun padang untuk meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga mangsa kebakaran tersebut,” katanya.

Selain itu beliau juga berharap agar lebih ramai pihak turun padang untuk sama-sama membantu bagi mengurangkan bebanan yang ditanggung oleh keluarga Bakri Rapia berhubung kejadian kebakaran tersebut.

“Kita mesti prihatin terhadap mana-mana penduduk yang dilanda pelbagai kesusahan untuk sepanjang masa dan inilah kewajipan kita sebagai rakyat Malaysia yang dianggap bermurah hati untuk membantu mereka yang amat memerlukan,” katanya.

Tamat.


JKKK Kampung Masjid sampai derma kilat RM500 kepada keluarga Bakri


Caption: PRIHATIN...Noren (kanan) menyampaikan sumbangan wang kepada Bakri (kiri) sambil disaksikan oleh Zaidil (tiga dari kiri) ketika berlangsungnya majlis semalam.

SRI AMAN, Rabu (22 April) – Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Masjid Baru tampil membantu keluarga Bakri Rapia yang ditimpa musibah apabila kediaman mereka musnah dijilat api menerusi kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Hilir pada 19 April lalu.

JKKK Kampung Masjid Baru yang diketuai oleh Ketua Kampung Abang Noren bin Abang Naruddin telah menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM721 kepada keluarga mangsa kebakaran berkenaan menerusi majlis yang berlangsung pada jam 5 petang kelmarin.

Beliau ketika ditemui pemberita menjelaskan bahawa bantuan terbabit adalah hasil daripada aktiviti kutipan wang derma kilat yang dilakukan oleh pihaknya di sekitar Kampung Masjid Baru bermula 20 April lepas.

“Hasilnya pihak kami telah berjaya mengumpul sejumlah RM721 ini daripada semua penduduk dalam kawasan Kampung Masjid Baru untuk diserahkan kepada keluarga mangsa (Bakri).

“Justeru itu pihak JKKK Kampung Masjid Baru berharap agar keluarga Bakri dapat memanfaatkan sumbangan wang yang disampaikan oleh pihak kami ini dengan sebaik yang mungkin,” katanya.

Hadir sama untuk menyaksikan upacara penyerahan wang derma kilat ialah Pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Parlimen P.201 Batang Lupar, Zaidil Haji Ripin, Ketua Kampung Tanjung Engkabag, Haji Abang Mazaman Haji Kawi dan para ahli JKKK Kampung Masjid Baru yang lain.

Terdahulu rumah milik keluarga Bakri bin Rapia telah musnah dalam kejadian kebakaran yang bermula sekitar jam 6.39 petang pada 19 April lalu. Nilai kerugian kasar akibat kejadian kebakaran terbabit dianggarkan berjumlah RM90,000.

Tamat.

20 April, 2009

Van langgar timbunan tiang konkrit


Caption:KUANG KUANG KUANG...Pembantu mangsa sedang memantau keadaan van yang rosak setelah merempuh timbunan tiang konkrit di sebuah laluan jalan raya di Meludam malam semalam.

SRI AMAN, Isnin (20 April) – Malang tidak berbau buat seorang peniaga bersama pembantu beliau apabila van yang mereka naiki merempuh timbunan tiang konkrit berhampiran sebuah jambatan yang masih dalam proses pembaikan di Meludam, Betong malam kelmarin.

Menurut sumber peniaga bersama pembantunya itu sedang dalam perjalanan pulang dari Meludam menuju ke Sri Aman setelah menjual pakaian di sana sekitar jam 9 malam kelmarin.

Kedua-dua mereka dipercayai terlupa akan wujudnya sebuah jambatan rosak yang menghubungkan jalan Sri Aman – Meludam, Betong walaupun mereka sebelum itu telah menggunakan laluan sementara yang dibina menyimpang dari jalan raya utama tersebut.

Disebabkan oleh kekurangan lampu amaran atau isyarat berhubung kewujudan jambatan rosak terbabit pada waktu malam, kedua-dua mangsa akhirnya merempuh timbunan tiang konkrit yang diletakkan di atas jalan raya berhadapan dengan jambatan rosak terbabit.

“Peniaga berkenaan mengalami kesakitan di bahagian dada kerana terhempap pada stering kenderaan van terbabit manakala pembantu lelakinya pula hanya mengalami luka kecil di bahagian kepala.

“Kedua-dua mereka kesal berhubung kekurangan tanda amaran yang disediakan berdekatan dengan lokasi kerja pembaikan jambatan terbabit sehingga menyebabkan van yang mereka naiki rosak teruk di bahagian hadapan,” kata sumber sambil menambah kedua-dua mangsa terpaksa tidur dalam van sebaik sahaja berlaku kemalangan.

Bagaimanapun kejadian kemalangan terbabit mungkin dapat dielakkan sekiranya mereka dapat mengingati lokasi jambatan rosak tersebut ketika memandu melimpasi kawasan berkenaan sebelumnya.

Tamat.

Aminah pembuat keropok berjaya dari Meludam

Caption: MENYELERAKAN...Aminah kelihatan sedang sibuk membuat keropok Ikan, Udang dan Lekor di dalam rumah dengan menggunakan mesin hasil sumbangan JPS untuk dijual di warung persendirian miliknya. Foto:ZULIA HAJI JEMAT

SRI AMAN, Isnin (20 April) – Bidang pembuatan keropok mungkin dianggap biasa dikalangan penduduk kita di sini namun jika diteliti tidak kesemua mereka bijak mengintai peluang peningkatan ekonomi yang mampu mereka diperolehi menerusi bidang terbabit.

Bagi Aminah bin Bohari, 42, dari Kampung Hulu, Meludam dalam Bahagian Betong, kerja pembuatan keropok dianggap sebagai sebuah bidang yang mampu menjana pendapatan seisi keluarga beliau walaupun bidang itu dianggap biasa selama ini.

Ketika ditemui Utusan Sarawak hari ini, ibu kepada enam orang anak ini telah mula melibatkan diri dalam bidang pembuatan Keropok Ikan Kering, Lekor dan Udang secara tradisional bermula dari tahun 2005 dahulu.

“Suami saya, Sidek bin Nen, 46, adalah merupakan seorang nelayan sepenuh masa. Atas sebab ini ada baiknya saya melibatkan diri dalam bidang pembuatan keropok demi mempertingkatkan status ekonomi kami sekeluarga,” katanya sambil menambah kesemua keropok terbabit dijual kepada penduduk di warung milik beliau di hadapan rumah keluarganya sendiri.

Kata lagi Aminah lagi beliau kemudiannya menghadiri kursus pembuatan keropok kering dan lekor yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Perikanan Sarawak (JPS) selama seminggu pada tahun 2007 demi mempertingkatkan teknik pembuatan keropoknya.

Tuah menyebelahi dirinya apabila pihak JPS menyumbangkan mesin pengadun keropok, pengisar ikan, pemotong keropok, alat pembungkus keropok, peti ais dan alat penimbang berat kepada beliau sebaik sahaja selesai menghadiri kursus terbabit.

“Dengan adanya mesin yang disumbangkan oleh JPS, saya kini tidak perlu lagi menggunakan teknik pembuatan keropok secara tradisional kerana mesin ini secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mutu dan kualiti keropok yang dihasilkan oleh saya.

“Apa yang penting bagi saya untuk meneruskan kerja pembuatan keropok ini ialah mendapatkan bekalan bahan mentah (ikan dan udang) daripada suami saya sendiri atau membelinya daripada pemborong berdekatan,” menurut beliau.

Memandangkan keropok Ikan Kering, Lekor dan Udang hasil buatannya kini kian mendapat sambutan orang ramai, Aminah berhasrat untuk melabelkan produk keropoknya sendiri disamping mempertingkat kualiti pembungkusannya di masa akan datang.

“Syukur Alhamdullilah Ikan Kering, Lekor dan Udang mula mendapat sambutan memberangsangkan daripada penduduk tempatan. Produk saya ini juga turut ditempah oleh lain-lain peniaga yang mahu memasarkan produk ini kepada para pelanggan,” katanya.

Tamat.

19 April, 2009

Simoi harap keluarga mangsa terus redha

SRI AMAN, Isnin (20 April) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Hajah Simoi Haji Peri berharap agar keluarga Bakri Rapia dari Kampung Hilir terus tabah menghadapi segala dugaan Allah apabila kediaman mereka musnah dijilat api menerusi kejadian yang berlaku lewat petang kelmarin.

“Setiap kejadian itu adalah atas kehendak Allah S.W.T. Jadi saya berharap agar keluarga mangsa dapat menghadapi kejadian malang ini dengan hati yang terbuka dan tenang,” katanya ketika dihubungi Utusan Sarawak hari ini.

Terdahulu mangsa sedang menunaikan solat sembahyang Maghrib sekitar jam 6.39 petang semalam apabila beliau terdengar bunyi litar pintas elektrik di dalam ruang rumah sehingga menyebabkan kesemua lampu dalam rumahnya terpadam.

Mangsa iaitu Bakri kemudiannya bertindak membawa anak perempuan beserta cucunya keluar dari rumah setelah melihat api mula muncul dari bahagian dalam rumahnya sendiri.

“Saya terkejut apabila mendapat tahu tentang kejadian ini. Sebagai seorang wakil rakyat DUN Lingga, saya amat kecewa apabila sudah berlaku empat kejadian kebakaran di kawasan ini bermula dari bulan Januari hingga sekarang.

“Saya berharap agar keluarga Bakri terus redha dalam menempuh dugaan ini. Kepada penduduk dalam kawasan DUN Lingga, saya nasihatkan agar mereka semua berhati-hati selepas ini ketika melakukan urusan harian masing-masing di rumah terutamanya yang membabitkan penggunaan bahan api atau perkakasan elektrik,” katanya.

Simoi akan turun padang pada hari Rabu ini bagi meninjau tapak kejadian kebakaran terbabit dan seterusnya menemui semua ahli keluarga mangsa kebakaran tersebut untuk mengetahui keadaan serta masalah mereka.

“Saya cukup bersimpati apabila mendapat tahu musibah mangsa. Saya akan mengenalpasti masalah keluarga mangsa kebakaran tersebut dan akan berusaha mencari jalan bagi membantu mereka,” katanya.

Tamat.

Rumah keluarga Bakri, Kpg Hilir musnah dalam kebakaran


Caption: MUSNAH...Dua orang anggota bomba sedang bertugas memadamkan api kebakaran yang memusnahkan kediaman Bakri Rapia dari Kampung Hilir malam semalam.

SRI AMAN, Isnin (20 April) – Kediaman milik keluarga Bakri bin Rapi musnah dijilat api menerusi sebuah kejadian kebakaran yang berlaku di Kampung Hilir Sri Aman lewat petang kelmarin.

Kejadian kebakaran terbabit dipercayai berlaku ketika Bakri sedang menunaikan solat sembahyang Maghrib bermula dari jam 6.39 petang di dalam rumahnya sendiri bersama anak perempuan, menantu serta seorang cucunya.

Ketika menunaikan solat sembahyang berkenaan, mangsa tiba-tiba terdengar bunyi litar pintas elektrik di dalam ruang rumah sebelum kesemua lampu dalam rumahnya terpadam sendiri.

“Mangsa kemudiannya api mula muncul setelah lampu rumah terpadam dan bertindak membawa semua ahli keluarga keluar dari rumah terbabit demi menyelamatkan nyawa masing-masing,” kata sumber dari tempat kejadian.

Sementara seorang jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian ketika dihubungi mengesahkan pihaknya telah menerima panggilan berhubung kejadian kebakaran terbabit pada jam 6.58 petang.

Sembilan anggota bersama dengan sebuah jentera pemadam kebakaran katanya telah bergegas ke tapak kejadian kebakaran pada jam 7 petang dan tiba di situ kira-kira 26 minit kemudian.

“Api kebakaran yang memusnahkan kediaman milik keluarga Bakri itu berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 7.58 malam dan operasi oleh pihak kami tamat sepenuhnya pada jam 8.32 petang,” katanya.

Punca dan jumlah kerugian akibat kejadian kebakaran terbabit bagaimanapun masih belum diketahui dan kesemua empat orang ahli keluarga mangsa dilaporkan selamat tanpa ada sebarang kecederaan.

Tamat.

Politik kaum dayak masih belum power - Masing


Caption: PENGHARGAAN...Jiram (kiri) sedang menyampaikan cenderamata kepada Masing (kanan) sambil disaksikan (bermula dari kanan sekali) Mussen dan Mong ketika berlangsungnya majlis malam tadi.

SRI AMAN, Ahad – Politik kaum Dayak masih belum kukuh sehingga ke masa sekarang disebabkan oleh kurangnya faktor ‘kepintaran’ dikalangan penduduknya khusus sekali dari kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Tanah, Dato Sri Dr James Jemut anak Masing berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Hari Easter anjuran PRS Bahagian Bukit Begunan di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Kekurangan faktor ‘kepintaran’ dikalangan penduduk Dayak dari kawasan luar bandar selama ini katanya menyebabkan mereka mudah dimanupulasi oleh pihak tertentu demi kepentingan politik masing-masing.

“Ini menyebabkan orang Dayak berpecah-belah dari segi politik. Kelemahan dari segi ilmu pendidikan selama ini menyebabkan mereka tidak sehati-sejiwa untuk meneraju satu halatuju politik yang sama demi menaikkan status pembangunan orang Dayak,” katanya.

Untuk menyatukan orang Dayak dalam satu halatuju politik yang sama, golongan orang Dayak yang berpendidikan tinggi kata beliau harus turun padang untuk menaiktaraf pendidikan golongan penduduk Dayak di luar bandar.

Selain golongan orang Dayak berpendidikan tinggi, para kakitangan kerajaan juga menurut Masing boleh memainkan peranan mereka untuk menyedarkan penduduk Dayak akan betapa pentingnya untuk bersatu dalam satu halatuju politik yang sama dan seterusnya berjuang bersama Barisan Nasional (BN) untuk memajukan negeri ini.

“Bagaimanapun saya amat kesal sekiranya wujud golongan orang Dayak berpendidikan tinggi yang sengaja menghasut golongan penduduk rumah panjang untuk menentang segala dasar kerajaan.

“Ini menyebabkan ‘penyatuan politik’ semakin rapuh dikalangan orang Dayak. Akibatnya kelak ialah orang Dayak akan terus ketinggalan dari segi pembangunan seperti mana yang dinikmati oleh lain-lain kaum di negeri ini,” katanya yang juga merupakan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Justeru beliau berharap agar orang Dayak di negeri ini dapat berjuang dalam sebuah halatuju politik yang sama demi membolehkan mereka menikmati faedah pembangunan seiring dengan lain-lain kaum di masa akan datang.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Mong anak Dagang, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Bujang Ladi dan pengerusi jawatankuasa majlis, Ex-Kanselor Jiram Gendang.



pilihan raya kecil Penanti itu gimik politik PKR kata Masing

SRI AMAN, Ahad (19 April) – Tindakan Mohammad Fairus Khairuddin meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti di Pulau Pinang adalah merupakan satu gimik politik yang sengaja diada-adakan oleh pihak Parti KeAdilan Rakyat (PKR) kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr James Jemut Masing.

Terdahulu, Fairus, 32, yang juga merupakan Timbalan Ketua Menteri ( I ) Pulau Pulang telah meletak jawatan sebagai ADUN Penanti berkuatkuasa mulai 17 April lalu kerana mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat pasca siswazah dan memberi lebih tumpuan terhadap keluarganya.

“Pihak PKR sengaja mahu menguji sejauh mana sokongan penduduk terhadap parti berkenaan menerusi perletakkan jawatan Fairus sebagai ADUN Peranti mulai 17 April lalu yang akan menjurus kepada pilihan raya kecil selepas itu.

“Gimik politik seperti ini tidak seharusnya diadakan oleh PKR kerana ianya membuang masa dan membazirkan wang ringgit bagi tujuan pilihan raya kecil selepas ini nanti,” katanya kepada pemberita ketika berlangsung Majlis Makan Malam Hari Easter anjuran PRS Bahagian Bukit Begunan di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu Masing yang juga Menteri Kemajuan Tanah merasakan bahawa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu bertindak sesuatu untuk ‘mengharamkan’ perkara seumpama ini.

Beliau juga berpendapat bahawa pilihan raya kecil hanya perlu diadakan jika seseorang wakil rakyat (ADUN atau Ahli Parlimen) terbabit meninggal dunia atau hilang kelayakan berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan di negara ini.

“Kita tidak boleh biarkan perkara seperti ini berterusan kerana jika tidak ianya akan menjadi satu ‘trend’ demi membolehkan berlakunya pilihan raya kecil bagi tujuan mainan politik di masa akan datang,” katanya.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah ADUN Bukit Begunan, Mong anak Dagang, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Bujang Ladi dan pengerusi jawatankuasa majlis, Ex-Kanselor Jiram Gendang.

Tamat.

Mussen tak isi kuota Menteri Muda Pertanian - Masing

SRI AMAN, Ahad (19 April) – Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr James Jemut Masing menyangkal spekulasi yang menyatakan bahawa Malcom Mussen Lamoh akan mengisi kuota jawatan Menteri Muda Permodenan Pertanian bagi menggantikan mendiang Datuk Dublin Unting Ingkot yang meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Mussen, 49, menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Ai yang baru setelah berjaya menewaskan calon Parti KeAdilan Rakyat (PKR) iaitu Jawah Gerang dengan kelebihan 1,854 majoriti undi menerusi pilihan raya kecil kawasan terbabit pada 7 April lalu.

Spekulasi mula timbul selepas itu apabila terdapat pihak yang mendakwa bahawa Malcom bakal diberikan kepercayaan untuk mengisi jawatan menteri muda terbabit berdasarkan kepada pengalaman beliau sebagai jurutera di Jabatan Pertanian Sarawak sebelum ini.

“Spekulasi atau khabar angin itu tidak benar kerana kuasa untuk menentukan mereka yang layak bagi mengisi jawatan menteri atau menteri muda dalam kabinet Kerajaan Negeri ini terletak di tangan Ketua Menteri, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud

“Lagipun pihak PRS belum lagi memilih nama mereka yang layak untuk dihantar kepada Ketua Menteri bagi mengisi kuota jawatan menteri muda berkenaan...jika ada pun kita tidak dapat mendedahkan perkara ini kepada anda (media),” katanya.

Masing juga Menteri Kemajuan Tanah berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Hari Easter anjuran PRS Bahagian Bukit Begunan di sebuah restoran dalam bandar ini malam tadi.

Selain itu kedudukan Mussen dalam PRS menurut beliau juga akan ditentukan menerusi Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi parti terbabit yang dijangka berlangsung dalam tempoh sebulan mulai sekarang.

“Beliau (Mussen) sehingga kini belum mempunyai sebarang jawatan dalam PRS dan kita akan dapat tahu sebaik sahaja selesai Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi dalam tempoh bulan ini nanti,” katanya.

Majlis yang telah dirasmikan oleh Masing ini turut dihadiri oleh ADUN Bukit Begunan, Mong anak Dagang, ADUN Batang Ai, Malcom Mussen anak Lamoh, Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Bujang Ladi dan pengerusi jawatankuasa majlis, Ex-Kanselor Jiram Gendang.

Tamat.

18 April, 2009

JKKK perlu jaga kebersihan - Snowdan


Caption: BINCANG...Abang Shamshuddin (kanan) sedang memperkatakan sesuai kepada Snowdan (kanan) ketika tiba di Pekan Pantu untuk merasmikan Program Gotong Royong Rakan Muda 2009 semalam.

PANTU, Sabtu (18 April) – Penduduk menerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) perlu melaksanakan tanggungjawab menjaga kebersihan di sekitar kawasan penempatan masing-masing untuk sepanjang masa, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balai Ringin, Snowdan Donald Lawan.

Katanya, JKKK yang beroperasi di kawasan rumah panjang amnya perlu bertindak lebih serius dalam menjaga kebersihan di sekitar penempatan mereka demi mengelakkan ancaman wabak penyakit yang mudah merebak seperti Demam Denggi, Kolera, Dysenteri dan Typhoid.

Bagaimanapun Snowdan menjelaskan bahawa penyakit Demam Denggi yang diakibatkan oleh persekitaran kawasan yang tidak bersih seperti takungan air dan sampah sarap merupakan ancaman utama kepada kesihatan pada masa sekarang.

“Demi memastikan mereka bebas daripada ancaman penyakit Demam Denggi maka adalah amat penting bagi pihak JKKK melaksanakan tugas menjaga kebersihan di kawasan masing-masing bermula sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada merasmikan Program Gotong Royong Rakan Muda 2009 bertempat di Pekan Pantu, Sri Aman semalam.

Selain itu katanya aktiviti menjaga kebersihan di kawasan penempatan masing-masing perlulah dilaksanakan atas dorongan JKKK itu sendiri dan bukannya disebabkan oleh sesuatu kempen yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa tempatan.

Jelas Snowdan lagi, JKKK perlu cekap berdikari dan membuat jadual perlaksanaan tugas kebersihan di kawasan masing-masing bagi memastikan para penduduk bebas daripada ancaman pelbagai penyakit berbahaya.


Justeru beliau berharap agar semua pihak mempertingkatkan peranan diri masing-masing untuk membantu kerajaan memberi kesedaran terhadap orang ramai akan kepentingan menjaga tahap kebersihan di kawasan tempat tinggal masing-masing di masa yang akan datang.

Hadir sama ialah Residen Sri Aman, Abang Shamshuddin Abang Seruji, Pegawai Daerah Sri Aman, Mahri Saparwi, Pegawai Pejabat Belia dan Sukan Sri Aman, Synennier Jean Serit, Pegawai Daerah Kecil Pantu dan SAO Edward Michael Duk. Tamat.

Dato Haji Muhammad Asri adakan pertemuan dengan RELA Sri Aman


MENJAMU SELERA...Timbalan Ketua Pengarah Ikatan Relawan Rakyat (RELA) Malaysia, Dato Haji Muhammad Asri bin Yusup (dua dari kanan) bersama Pegawai RELA Daerah Sri Aman, Leftenan Kolonel Bajuri Haji Adom (kanan sekali) sedang berbincang bersama anggota RELA Sri Aman sambil menikmati jamuan makan malam di sebuah restoran dalam bandar Sri Aman baru-baru ini. Asri telah mengadakan lawatan terhadap RELA Sri Aman untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai pergerakan serta aktiviti pasukan berkenaan selama ini. Foto: ZULIA HAJI JEMAT

Penduduk Pantu sambut baik penganjuran Pesta Ikan Tapah







Mugshot:

1.ROY...Sambut baik
2.COLLIN...Faedah pembangunan
3.JEOFFERY...Pantu akan terkenal

SRI AMAN, Sabtu (18 April) – Penganjuran Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 bermula dari 24 hingga 26 April di Pekan Pantu, Sri Aman dijangka bakal menarik ribuan orang pengunjung dari seluruh pelusuk negeri ini nanti.

Pesta ini yang buat julungkalinya dianjurkan oleh Pejabat Daerah Kecil Pantu akan menampilkan acara Pentas Rakyat, Pertandingan Menangkap Ikan dan Udang, Sukan Air, Sukan Rakyat, Gerai Jualan Hasil Pertanian oleh Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pantu, Gerai Jualan dan Pameran Pembangunan.

Rata-rata penduduk Pantu yang ditemui Utusan Sarawak hari ini bersetuju bahawa penganjuran Pesta Ikan Tapah berkenaan bakal memberi nafas baru terhadap pembangunan di kawasan daerah kecil Pantu berkenaan.

“Saya menyambut baik penganjuran Pesta Ikan Tapah di Pantu bermula 24 April ini kerana ianya secara tidak langsung dapat mengubah taraf hidup penduduk di sini dalam tempoh jangka masa panjang,” kata Roy Martin anak Chenggiam, 25, dari Empili, Pantu.

Collin Anis, 38, dari Selantik berpendapat bahawa kerajaan akan menaiktaraf kemudahan infrastruktur di seluruh kawasan daerah kecil Pantu sekiranya pesta ini berjaya mendapat sambutan memberangsangkan dari penduduk.

“Lagipun sungai di kawasan Pantu sememangnya mempunyai banyak jenis ikan yang boleh dijadikan produk eko-pelancongan di negeri ini. Justeru adalah wajar kerajaan menganjurkan Pesta Ikan Tapah di sini,” katanya.

Jeoffery Liang, 25, pula berharap agar kawasan Pantu menjadi lebih terkenal di negeri ini selepas penganjuran Pesta Ikan Tapah kelak sepertimana yang dikecapi oleh Kampung Manggut, Spaoh, Betong yang terkenal menerusi sambutan Pesta Ikan Buntal di situ pada setiap tahun.

“Pembangunan akan cepat masuk ke sini (Pantu) sekiranya nama Pantu mula gah di negeri ini kerana sambutan Pesta Ikan Tapah...ini merupakan berita baik kepada penduduk di kawasan Pantu berhubung pesta itu,” katanya.

Pesta Ikan Tapah Pantu 2009 akan dirasmikan oleh Menteri Muda Kemajuan Tanah, Datuk Francis Harden anak Hollis bertempat di Pentas Rakyat, Pekan Pantu sekitar jam 8 malam pada 25 April ini.

Tamat.

Sri Aman automobile dah terima 8 tempahan Exora

SRI AMAN, Sabtu (18 April) – Syarikat Sri Aman Automobile Sdn Bhd kini sudah menerima sejumlah lapan buah tempahan terhadap model kenderaan pelbagai guna (MPV) terbaru keluaran Proton iaitu Exora.

Pengarah Jualan syarikat Sri Aman Automobile, Maxwell Lee Teck Koon ketika dihubungi hari ini berkata empat daripada enam buah tempahan kenderaan Proton Exora telah ditempah sebelum berlangsungnya majlis pelancaran yang diadakan serentak di seluruh negara pada 16 April lalu.

“Dua buah unit kenderaan Proton Exora model 1.6 AT Hi-Line (H-Line) dan dua buah unit lagi bagi kenderaan Proton Exora model 1.6 AT Medium-Line (M-Line) telah ditempah sebelum berlangsungnya majlis pelancaran pada 16 April lalu.

“Manakala itu empat buah unit lagi kenderaan Proton Exora 1.6 AT H-Line pula telah ditempah oleh orang ramai ketika berlangsungnya majlis pelancaran model kenderaan MPV terbaru keluaran Proton terbabit,” katanya.

Selain itu katanya premis syarikat Sri Aman Automobile Sdn Bhd sehingga kini telah menerima sejumlah 700 orang pengunjung yang hadir bagi melihat sendiri model kenderaan Proton Exora terbabit semenjak berlangsungnya majlis pelancaran itu hingga hari ini.

Terdahulu Proton Exora model 1.6 AT H-Line mempunyai kelebihan berbanding dengan model 1.6 AT M-Line dari segi penyediaan aksesorinya iaitu Seat and Door Trim Finishing (leather), Front Fog Lamps, Rear Spoiler, Front Seat Armrest, Cruise Control, GPS, DVD / LCD Monitor dengan SD/MMc slot USB dan Tinted Glass.

Proton Exora model 1.6 AT H-Line solid dijual dengan harga RM77,948 manakala model 1.6 AT M-Line solid pula dijual dengan harga RM71,948 dan kenderaan terbabit boleh didapati dalam enam bentuk warna iaitu Solid White, Blue Haze, Pyrite Brown, Gala Blue, Tranquility Black dan Genetic Silver.

Tamat.

Perlu ada Taman Negara di Lingga kata Simoi


Mugshot: HAJAH SIMOI HAJI PERI

SRI AMAN, Jumaat ( 17 April) – Penemuan Simanggang iaitu anak spesis Orang Utan yang ditemui merayau di tepi jalan kawasan Lingga pada minggu lalu telah menguatkan lagi kepercayaan wakil rakyatnya iaitu Hajah Simoi Haji Peri tentang kewujudan spesis haiwan primat berkenaan di kawasannya.

Anak Orang Utan berkenaan yang ditemui oleh seorang budak lelaki berusia 10 tahun itu telah pun diserahkan kepada Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Kuching pada 15 April lalu.

“Arwah ayah (Haji Peri) bersama dengan abang saya iaitu Shaharom pernah terserempak dengan sekumpulan Orang Utan di Hutan Entulang dan Skait, Lingga pada sekitar tahun 60-an dahulu ketika mencari Dama (cecair untuk melekatkan ulu parang atau pisau).

“Kisah ini telah pernah arwah ayah sampaikan kepada saya sebelum dia meninggal dunia pada tahun 1996 dahulu walaupun pada zahirnya tidak ramai orang yang pernah terserempak dengan kumpulan haiwan primat terbabit semenjak 40 tahun yang lalu di Lingga,” katanya kepada Utusan Sarawak hari ini.

Bagaimanapun apabila Simanggang ditemui merayau bersendirian di Lingga pada minggu lalu, penemuan itu kata beliau secara tidak langsung telah menguatkan lagi kepercayaan beliau bahawa wujudnya spesis Orang Utan di kawasan Lingga selama ini.

Walaupun berasa gembira tentang kewujudan spesis Orang Utan di Hutan Entulang, Skait dan Ulu Lingga, namun Simoi percaya jumlah spesis berkenaan mungkin sudah berkurangan sekarang berbanding 40 tahun yang lalu.

“Atas sebab ini saya akan berusaha untuk mengemukakan cadangan kepada pihak Kerajaan Negeri untuk mewujudkan sebuah Taman Negara dalam kawasan hutan di Lingga bagi mengkaji dan melindungi spesis Orang Utan terbabit.

“Saya tidak mahu orang menyangka bahawa Orang Utan sudah pupus di ketiga-tiga hutan dalam daerah kecil Lingga ini...justeru adalah amat penting kerajaan bertindak cepat untuk mewujudkan Taman Negara di sini untuk melindungi habitat spesis berkenaan,” katanya.

Simoi juga turut menambah bahawa pembinaan Taman Negara berkenaan secara tidak langsung akan menarik kedatangan ramai pelancong ke kawasan Lingga yang ingin menyaksikan spesis Orang Utan di sini.

“Taman Negara Meludam misalannya boleh dijadikan sebagai contoh apabila kawasan hutan terbabit mempunyai habitat spesis monyet berkulit merah yang setakat ini belum lagi terdapat di mana-mana kawasan dalam negara ini.

“Harapan saya ialah apabila Taman Negara dapat diwujudkan di Lingga ianya secara tidak langsung dapat memelihara fauna dan flora yang terdapat dalam ketiga-tiga hutan tersebut disamping menjaga habitat Orang Utan di situ,” katanya.

Tamat.

SMK Rosli Dhoby juara debat ala parlimen 2009

Caption: TAHNIAH...Ellen juara Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman semalam. Turut kelihatan ialah Pegawai Pelajaran Gabungan Sri Aman, Walter Lamat Kiyai (kanan beliau) dan naib pengerusi majlis berkenaan, Haji Mohd Lela Haji Alamsiah.

SRI AMAN, Jumaat (17 April) – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Sibu yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rosli Dhoby muncul juara Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman hari ini.

SMK Rosli Dhoby yang dibarisi oleh Fiona Maurice, Marcos Pope, Ainina Diana, Lizza Yusuf dan Hamizah muncul juara menerusi bahas berjudul Kestabilan Politik Peneraju Utama Kestabilan Ekonomi dan Sosial Negara sekaligus menewaskan PPD Bintulu yang diwakilili oleh SMK Bandar Bintulu pada pertandingan akhir tersebut.

Dengan memegang peranan sebagai pihak pembangkang menerusi pertandingan ini, SMK Rosli Dhoby berhasil membawa pulang sebuah piala kejuaraan, piala iringan serta sijil untuk setiap seorang.

Hadiah kepada para pasukan juara hingga pemenang ketiga telah disampaikan oleh Ketua Sektor, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Sarawak iaitu Ellen @ Manium Engang yang sekaligus merasmikan majlis penangguhan pertandingan tersebut.

Terdahulu sejumlah 10 buah pasukan PPD bagi setiap bahagian dalam negeri ini telah mengambil bahagian dalam Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman semenjak 15 April lalu.

10 buah pasukan terbabit adalah PPD Kuching, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Bintulu, Miri dan Kapit. PPD Limbang bagaimanapun tidak menghantar pasukan mereka pada pertandingan tersebut.

Pada peringkat separuh akhir pertandingan tersebut, pasukan PPD Sibu yang diwakili oleh SMK Rosli Dhoby telah berjaya menyingkirkan saingan SMK Wira Penrissen dari PPD Samarahan untuk mara ke peringkat akhir manakala PPD Bintulu menerusi SMK Bandar Bintulu pula menyingkirkan saingan SMK Bahasa Malaysia dari PPD Betong.

Pasukan tuan rumah iaitu SMK Sri Aman yang mewakili PPD Sri Aman bagaimanapun tewas dalam saingan peringkat awal Pertandingan Bahas Bahasa Malaysia Ala Parlimen 2009 Peringkat Negeri Sarawak itu.

Tamat.


16 April, 2009

Proton Exora dilancar hari ini!




Caption: MENARIK! Lee (kiri sekali) bersama kakitangannya menunjukkan tanda bagus di hadapan Proton Exora menerusi majlis pelancaran yang berlangsung di premis syarikat Sri Aman Automobile Sdn Bhd hari ini.

SRI AMAN, Khamis (16 April) – Syarikat Sri Aman Automobile Sendirian Berhad, pengedar sah bagi syarikat Proton telah melancarkan model terbaru Kenderaan Pelbagai Guna (MPV) iaitu Proton Exora bermula hari ini hingga 18 April kelak.

Sri Aman Automobile telah memperkenalkan model kenderaan Proton Exora ini menerusi sebuah majlis pelancaran di premis syarikatnya yang turut dilancarkan secara serentak di seluruh negara yang bermula seawal jam 8 pagi hari ini.

“Model keluaran terbaru Proton ini boleh didapati dalam dua jenis iaitu Exora 1.6 AT Hi-Line (H-Line) dan Exora 1.6 AT Medium-Line (M-Line),” menurut Pengarah Jualan syarikat Sri Aman Automobile, Maxwell Lee Teck Koon ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran itu.

Kenderaan Proton Exora ini menurut beliau hanya dijual dalam bentuk gear automatik dan menawarkan ciri penggunaan enjin, keselamatan, ruang kenderaan dan aksesori menarik yang semestinya dapat memberikan kepuasan terbaik terhadap penggunanya selepas ini.

Ditawarkan bagi tujuan kegunaan semua peringkat golongan pengguna di sini, Proton Exora ini kata Lee boleh didapati dalam enam buah warna iaitu Solid White, Blue Haze, Pyrite Brown, Gala Blue, Tranquility Black dan Genetic Silver.

“Bagaimanapun Proton Exora model 1.6 AT H-Line mempunyai kelebihan berbanding dengan model 1.6 AT M-Line dari segi penyediaan aksesorinya iaitu Seat and Door Trim Finishing (leather), Front Fog Lamps, Rear Spoiler, Front Seat Armrest, Cruise Control, GPS, DVD / LCD Monitor dengan SD/MMc slot USB dan Tinted Glass.

“Proton Exora model 1.6 AT H-Line solid dijual dalam harga RM77,948 manakala model 1.6 AT M-Line solid pula dijual dengan harga RM71,948 dan jika diteliti harga kedua-dua model ini hanya dibezakan dengan nilai melebihi RM6,000,”jelas beliau.

Justeru Lee berharap agar orang ramai dari sekitar bandar Sri Aman ini tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan sendiri dengan lebih dekat model kenderaan Proton Exora di premis syarikat Sri Aman Automobile dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang sehingga 18 April ini.

“Mereka yang ingin tahu lebih lanjut mengenai model kenderaan ini boleh menghubungi saya sendiri di talian 019-8170686 atau menghubungi syarikat kami menerusi talian 083-323368,” katanya.

Jamuan makanan ringan dan minuman juga turut disediakan terhadap orang ramai yang datang ke majlis pelancaran model kenderaan Proton Exora itu di premis syarikat tersebut.

Tamat.

Tanah penduduk Sengkuang Ulu, Sengkuang Ili dan Kenyungan Batu Lintang, Sri Aman diceroboh syarikat balak!

SRI AMAN, Khamis (16 April) – Penduduk dari kawasan Batu Lintang, Sri Aman telah membuat dua laporan di Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman semalam berhubung dakwaan mengenai tindakan sebuah syarikat pembalakan di sini yang menceroboh kawasan tanah mereka sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, DSP Mat Jusoh bin Muhammad ketika dihubungi hari ini mengesahkan bahawa pihaknya telah pun menerima dua buah laporan berhubung kejadian berkenaan yang telah dibuat oleh penduduk terbabit semalam.

Menurut beliau laporan berhubung kejadian terbabit akan dirujuk kepada pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dan Unit Perlindungan Keselamatan Harta (SAPU) untuk memastikan sejauh mana kebenaran kes tersebut.

“Polis akan menyiasat laporan yang dibuat oleh penduduk dari kawasan Batu Lintang tersebut. Bagaimanapun pihak kita akan memastikan sejauh mana kebenaran laporan penduduk berhubung kes ini hasil bantaun SFC dan SAPU,” katanya sambil menambah kejadian yang serupa juga pernah berlaku di kawasan Pantu sebelum ini.

Sementara itu pihak pemberita pada hari telah mendapat tahu bahawa kes pencerobohan tanah terbabit telah membabitkan penduduk dari rumah panjang Sengkuang Ulu, Sengkuang Ili dan Kenyungan.

Para penduduk mula mendapat tahu mengenai kes terbabit sekitar jam 8 pagi pada 11 April lalu apabila mereka mengesan kehadiran jentera berat di kawasan tanah mereka dalam hutan berdekatan.

“Pihak kami kemudiannya mengadakan mesyuarat tergempar pada hari yang sama di rumah panjang kami dan bertindak menemui para pekerja syarikat pembalakan yang bertindak menceroboh tanah kami.

“Hasil siasatan kami mendapati bahawa syarikat pembalakan terbabit telah melaksanakan aktiviti pembalakan mereka di tanah kami semenjak dua bulan yang lalu dan enggan membayar wang ganti rugi berhubung perkara tersebut,” kata seorang penduduk iaitu Slyvester.

Tamat.