Arkib News Utusan Sarawak Sri Aman

Blog ini merupakan arkib berita Utusan Sarawak cawangan Sri Aman. Mail kepada penulis ke ceritasriaman@gmail.com untuk siaran berita secara percuma. Thank u boss. Blog terbaru sekarang ialah www.newsriamannews.blogspot.com.

26 March, 2009

Wan Ahmad mahu MAFREL jangan buat kenyataan tidak bertanggungjawab


Caption: PENGUMUMAN...Datuk Wan Ahmad (dua dari kanan) bersama kakitangan SPR sedang memperkatakan sesuatu kepada pihak pemberita ketika berlangsungnya persidangan media di Pejabat Pelajaran Daerah Kecil Lubok Antu hari ini.

LUBOK ANTU, Khamis ( 26 Mac) – Badan Bukan Kerajaan (NGO) Bebas iaitu Malaysian For Free and Fair Election (Mafrel) sepatutnya lebih bertanggungjawab ketika mengeluarkan sesuatu kenyataan yang boleh mendatangkan kekeliruan dikalangan rakyat kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad bin Wan Omar.

Terdahulu Mafrel menerusi kenyataannya yang dikeluarkan oleh sebuah akhbar tempatan berbahasa Inggeris baru-baru ini mendakwa wujudnya ‘pengundi hantu’ di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Ini kerana sebanyak 96 peratus atau 7,117 daripada 8006 orang pemilih berdaftar bagi kawasan DUN terbabit kata Mafrel mempunyai alamat tempat tinggal yang tidak lengkap dan tidak dapat dikesan sehingga sekarang.

"SPR tidak berhak untuk memindah alamat daftar pemilih di sesuatu kawasan selain tidak berhak untuk menghapuskan nama pemilih yang telah pun meninggal dunia selagi tidak menerima surat kematian yang sah daripada pihak Jabatan Pendaftaran.

“Justeru pihak kami menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Mafrel kononnya wujud pengundi hantu di kawasan DUN Batang Ai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan taklimat sempena persiapan pilihan raya Batang Ai di Pejabat Pelajaran Kecil Daerah Lubok Antu hari ini.

Selain itu kata Wan Ahmad pihak Mafrel seharusnya faham keadaan di kawasan Batang Ai kerana kebanyakan pemilih berdaftar tidak tinggal tetap di sesuatu tempat selain disebabkan faktor pekerjaan (bekerja luar dari kawasan mengundi).

Mafrel katanya haruslah tahu bahawa hanya pemilih ataupun keluarga pemilih (jika pemilih sudah meninggal dunia) sahaja yang berhak untuk membuat sebarang perubahan terhadap senarai daftar pemilih yang dipegang oleh SPR selepas mendapat dokumen pengesahan daripada pihak Jabatan Pendaftaran ataupun polis.

"Bukan mudah untuk menggunakan nama pengundi yang sudah meninggal dunia. Ini kerana mereka ini akan melalui proses pemeriksaan kad pengenalan atau lain-lain dokumen rasmi sebelum mereka dibenarkan untuk mengundi.

“Pihak SPR juga berhak untuk menolak nama seseorang pemilih sekiranya wujud kesangsian di antara status pemilih yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri selain kad pengenalan atau pun lesen memandu.

Wan Ahmad turut menambah bahawa kawasan Dewan Undangan Negeri Batang Ai mempunyai seorang pemilih berdaftar berusia 111 tahun dan 109 tahun manakala dua orang lagi berusia 95 tahun, 14 orang (81 hingga 90 tahun) dan selebihnya pula berusia 79 tahun ke bawah hingga 21 tahun.

“Sebanyak 14 buah sekolah, tiga buah rumah panjang, tiga dewan serbaguna, empat buah tadika dan satu pejabat kerajaan akan dijadikan sebagai pusat mengundi menjelang pilihanraya kecil ini nanti,” katanya.

Tamat.


No comments:

Post a Comment